Kawasan hijau penting dalam perancangan bandar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kawasan hijau penting dalam perancangan bandar

SEMALAM adalah sambutan Hari Bumi, dengan temanya 'Pokok Untuk Bumi'. 

Negara kita sebenarnya sudah mengorak langkah proaktif dengan melaksanakan tindakan untuk menanam pokok melalui kerjasama rakan strategik di seluruh negara. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang bernaung di bawahnya seperti Jabatan Hutan, Jabatan Alam Sekitar bersama-sama guru, pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan menyasarkan penanaman pokok sebanyak 80 juta menjelang 2020 di seluruh negara.

Kini terdapat satu pengiktirafan yang sedang berkembang bahawa alam semula jadi atau kehijauan ini memberikan manfaat cukup besar terutamanya terhadap penduduk bandar dan memainkan peranan penting dalam perancangan bandar yang sihat dan berdaya huni. Kesihatan adalah salah satu angkubah dalam bandar yang berdaya huni yang akhirnya membawa kepada bandar lestari sifatnya.

Penduduk dunia pada hari ini berjumlah melebihi tujuh bilion orang, tetapi separuh daripadanya tinggal di bandar besar dan kecil. Pertambahan penduduk ini membawa bersama-samanya kesan terhadap perubahan iklim yang semakin menyukarkan yang perlu disesuaikan oleh penduduk di seluruh dunia termasuklah di negara kita ini. Pertambahan penduduk bandar di Malaysia yang berjumlah lebih 22 juta, terbabit dalam perubahan ini. Justeru, pada masa ini adalah masa sesuai untuk melakukan perubahan menuju kecekapan dan membawa bersama-samanya menuju ke satu tahap pembandaran yang tinggi dan lestari sifatnya. Kepelbagaian fungsi dan manfaat pokok dan hutan bandar dapat dibahagikan kepada lima kategori utama iaitu integriti ekologi; teater sosial, budaya dan nilai sejarah; keampuhan ekonomi; pembangunan prasarana minda yang membentuk nilai estetika dan arkitektur; dan fizikal serta pengikliman.


KEWUJUDAN kawasan rekreasi hutan bandar memberi peluang untuk warganya beriadah dan berinteraksi. 

Inisiatif kesihatan awam 

Prasarana hijau dibangunkan yang membabitkan semua prasarana semula jadi, separa semula jadi, jaringan sistem ekologi pelbagai fungsi yang terdapat di dalam, di sekeliling atau di antara kawasan bandar. Tumpuan utama prasarana hijau ini ialah berpotensi untuk mengintegrasikan pembangunan bandar, pengekalan alam sekitar dan inisiatif kesihatan awam yang dibina di kawasan bandar untuk rekreasi, mampu mengendalikan aktiviti membabitkan kesihatan secara tidak formal, secara tidak langsung membentuk integriti ekologi kawasan berkenaan.

Sebagai contohnya ialah kawasan rekreasi hutan bandar yang memberi peluang untuk warganya beriadah dan berinteraksi dalam kalangan mereka. Hutan dan kawasan hijau juga bertindak sebagai teater sosial dengan kombinasi pokok yang ditanam dan tasik semula jadi atau buatan misalnya dapat mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan secara berterusan. Di sini juga masyarakat berinteraksi dengan penuh rasa kegembiraan di samping menghirup udara segar yang datangnya daripada pokok yang ditanam tersusun rapi.

Bahan pengajaran, pembelajaran 

Pokok yang ditanam boleh dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar sekolah, universiti dan sesiapa juga yang berminat untuk mengetahui segala rahsia yang terkandung di sebalik pokok dan hutan bandar tadi. Pelajar boleh mengenal spesies, khasiat, kegunaan serta kepelbagaian spesies yang wujud di negara ini sebagai antara negara yang mempunyai kepelbagaian spesies paling tinggi di dunia menerusi kegiatan kokurikulum pada peringkat sekolah dan universiti. Satu faedah yang sering menjadi tumpuan ialah manfaat ekonominya yang meletakkan nilai pasaran kayu balak misalnya untuk dipasarkan demi mendapat pulangan ekonomi yang tinggi. Keampuhan nilai ekonomi itu dapat membentuk sebuah rangkaian dan kegiatan yang memberi pekerjaan dan pulangan lumayan kepada individu serta syarikat yang terbabit di dalam perniagaan ini.


KAWASAN diliputi pokok atau kawasan berhutan membantu menurunkan suhu. - Foto hiasan 

Antara yang paling terkesan terhadap kehidupan harian manusia terutamanya yang tinggal di bandar adalah peningkatan suhu kesan daripada fenomena El-Nino yang sedang melanda kebanyakan negara di dunia termasuklah Malaysia. Kesan peningkatan suhu ini telah menimbulkan keresahan berterusan terhadap manusia. Hasil kajian menunjukkan bahawa suhu akan berkurangan di kawasan yang diliputi pokok atau kawasan berhutan. Pengurangan jumlah suhu ini memberi kesan ketara terhadap penduduk yang berada di sekitarnya. Melalui faedah fizikal dan pengikliman pokok mampu menentang sebarang perubahan iklim yang berlaku.

Pokok mampu menyerap lebihan karbon dioksida (CO2) yang berada di atmosfera kita. Malahan, dalam 0.4 hektar pokok yang matang mampu menyerap CO2 yang dikeluarkan oleh 26,000 batu kereta secara puratanya. Kajian oleh ahli klimatologi bandar juga mendapati berlakunya pengurangan suhu pada waktu tengah hari di antara dua hingga tiga darjah Celsius di bawah pokok berbanding kawasan yang terbuka. Pokok juga mampu menyerap bau dan gas tercemar (nitrogen oksida, ammonia, sulfur dioksida dan ozon) dan menapis partikel terampai yang melekat di daun dan batang pokok.


AKTIVITI menanam pokok mampu mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. - Foto hiasan 

Hutan bandar ekosistem kompleks 

Pokok dan hutan yang wujud juga boleh menjadi manfaat estetika dan arkitektur yang adalah kepelbagaian landskap melalui pelbagai jenis warna, tekstur, bentuk dan kepadatan pokok yang wujud. Semua dijadikan sebagai asas di dalam mereka bentuk bangunan dan infrastruktur lainnya agar menjadikan lebih menarik dan cantik dipandang. Hutan bandar adalah satu ekosistem yang cukup kompleks untuk diuruskan. Hutan bandar mempunyai kedua-dua fungsi dalam kedinamikan landskap bandar dan juga menyatukan fungsi dan pengalaman yang dimiliki oleh bandar itu sendiri. Dalam usaha memberi kefahaman terbaik mengenai hutan bandar, tidak dihadkan amalan kepada ahli hutan bandar semata-mata tetapi juga membabitkan ahli arboris dan hortikulturis.

Hutan bandar dan ahli yang terbabit di dalamnya wajar membabitkan sistem dan amalan serta peluang untuk memperluaskan penyelidikan, inovasi dan kolaborasi pelbagai disiplin. Namun di sebalik pola reruang itu, pokok yang tumbuh merimbun dan menghijau itu sebenarnya menguji akan kekerdilan kita di hadapan Tuhan Rabbul Jalil.

Penulis ialah Prof Madya/Felo Kanan & Ketua Hal-Ehwal Jaringan dan Industri (HEJIM), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/146556
0 Komentar untuk " Kawasan hijau penting dalam perancangan bandar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ