Bila Dr Ramasamy hendak disiasat? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bila Dr Ramasamy hendak disiasat?

SUDAH seminggu berlalu, nampaknya belum ada tindakan daripada pihak berkuasa, khasnya polis, ke atas Dr P Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang celopar itu.

Pemimpin DAP itu menerusi Facebook telah menggelar ulama dan pendakwah tersohor Dr Zakir Naik sebagai syaitan. Berani betul dia buat komen seperti itu!

Umat Islam, termasuk beberapa ulama tempatan, berasa tersinggung dengan viral ‘setan’ itu, dan meminta Dr Ramasamy disiasat.

Sampai sekarang masih senyap. Apakah polis yang selama ini selalu sensitif dengan hal-hal agama, tidak menganggap apa yang dikatakan dalam FB Timbalan Ketua Menteri itu sebagai menghasut dan menghina?

*WALAUPUN ada tentangan dan cubaan menghalang Dr Zakir, siri ceramah pendakwah perbandingan agama berasal dari India itu telah mendapat sambutan hangat.

Baik di Terengganu, Melaka dan tempat-tempat lain – termasuk Stadium Bukit Jalil – berpuluh ribu orang hadir. Tidak kira Islam atau bukan Islam berkumpul secara aman mendengar kuliah pendakwah luar itu.

Sempat juga beliau menyentuh sedikit mengenai politik Islam negara ini dengan mencadangkan Umno dan Pas agar bekerjasama menjadi gabungan umah yang lebih kukuh. Amacam?

*CADANGAN kerjasama dua parti terbesar Melayu itu memang sesuatu yang baik, kena pada tempat dan ketikanya. Tetapi yang baik tidak semestinya dipersetujui oleh semua pihak.

Sepatah kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah: “Pas tidak pernah berhasrat untuk bergabung dengan Umno.”

Kata pemimpin Pas berkenaan beliau menerima pandangan peribadi Dr Zakir dengan hati terbuka, “namun sebagaimana yang semua tahu, Pas tidak akan berganjak dengan pendiriannya sehingga kini...”

*INI musim pilihan raya negeri Sarawak. Semua parti politik, termasuk dari Semenanjung seperti Pas, hendak menguji kekuatan di bumi Kenyalang yang selama ini dianggap simpanan tetap BN.

Lain-lain parti dari Semenanjung pun – DAP, PKR, Amanah – hendak mencuba nasib, dan berazam untuk menumbangkan BN Sarawak di bawah pimpinan Tan Sri Adenan Satem.

Masing-masing bersemangat memenangi hati pengundi untuk membuktikan bahawa Sarawak bukan lagi simpanan tetap Putrajaya. Tetapi, setakat ini Adenan sebagai Ketua Menteri sudah menampakkan kelebihan dan kekuatan.

*ANTARA kelebihan Ketua Menteri ialah menghalang kemasukan beberapa orang pemimpin pembangkang dari Semenanjung, termasuk Mohamad Sabu, Nurul Izzah, Tony Phua, dan timbalan setiausaha agung DAP Datuk Ngeh Koo Ham.

Terkini Khalid Samat yang berjambang, bermisai dan ada iras-iras hero Hindustan pun hanya berjaya menjejakkan kaki setakat di lapangan terbang Kuching, tidak lebih dari itu.

Sekretariat Komunikasi Amanah itu tiba di lapangan terbang berkenaan jam 7.55 menaiki pesawat AK5234, dan dengan pesawat itu juga beliau diminta meninggalkan bumi Kenyalang pada hari yang sama.

Seperti yang dilaporkan media, setakat ini kira-kira 40 orang telah disekat masuk ke negeri paling luas di Malaysia itu. Jangankan hendak berkempen, hendak menyeberang Sungai Sarawak pun tak berdaya!

*PADA ketika beberapa pemimpin pembangkang tidak dibenarkan masuk Sarawak, ada juga ‘orang Malaya’ yang sentiasa dialu-alukan untuk datang ke bumi berkenaan pada bila-bila masa, tidak kira siang atau malam.

Orang itu tidak lain tidak bukan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Seperti yang ditegaskan Adenan pemimpin No.1 itu telah datang tidak kurang 50 kali, setakat semalam.

Datang bukan dengan tangan kosong, sebaliknya membawa bersama pelbagai projek pembangunan bernilai RM3 bilion. “Sebab itu saya sokong Najib!” tegas Adenan mengenai sokongan padu beliau terhadap PM.

Ini musim pilihan raya, datang mesti dengan habuan. Tidak kira macam mana berkobar-kobar pun semangat, kalau datang hanya dengan air liur, siapa pun tidak peduli.

Alkisah, di mana-mana dan bila-bila masa pun, pilihan raya mesti berduit-duit!

*AKHIR kalam, perihal kahwin dan bercerai kini menjadi lebih mudah. Seperti mana diketahui, selama ini kalau hendak kahwin baharu @ poligami datanglah ke negeri Perlis, insya-ALLAH bisa diatur dengan mudah.

Tetapi kalau hendak bercerai, di negeri Perak kini lebih mudah iaitu menerusi aplikasi dalam talian MySolve yang baharu diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Perak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria, dengan kaedah ‘online’ pasangan yang ingin mendaftarkan perceraian mereka tidak perlu datang berulang kali ke mahkamah syariah, hanya layari mysolve.perak.gov.my. Ada sesiapa nak cuba?

0 Komentar untuk " Bila Dr Ramasamy hendak disiasat? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ