SEKALI lagi saya menulis pada minggu ini berkaitan dengan Rang Undang-Undang Persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Ini adalah disebabkan masih ramai yang memperkatakan berkenaan isu ini sejak kebelakangan ini. Perbincangan pula tanpa penguasaan ilmu perundangan, sama ada Perlembagaan Persekutuan mahupun sistem perundangan jenayah negara yang mengamalkan dwi-sistem ini.
Saya perhatikan semakin hari semakin menyerlah penistaan yang dikemukakan jauh lari dari perkara yang sebenar. Kalangan yang memperkatakan isu ini pula sesetengahnya bukanlah orang awam tetapi dalam kalangan ahli legislatif, pengamal undang-undang dan juga mereka yang mempunyai agenda tertentu. Golongan ini sama ada terkeliru dengan asas perundangan negara ataupun mahu mengelirukan khalayak awam.
Salah faham yang sangat besar ialah mengatakan RUU Persendirian ini adalah jalan belakang untuk melaksanakan hudud. Sebagaimana yang kita ketahui pada umumnya kesalahan hudud terdiri dari tujuh kesalahan iaitu murtad, berzina, menuduh zina, meminum arak, mencuri, merompak dan menderhaka.
Dalam sistem taburan kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan bidang kuasa jenayah adalah bidang kuasa Persekutuan manakala bidang kuasa negeri hanyalah terhadap kesalahan-kesalahan melanggar perintah agama Islam dalam kalangan penganut agama Islam. Oleh hal yang demikian kesalahan murtad, berzina, menuduh zina dan meminum arak bagi orang Islam adalah di bawah kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri manakala bagi kesalahan mencuri merompak dan menderhaka ia tetap dalam bidang kuasa Persekutuan. RUU Persendirian ini tidak mengubah struktur ini kerana bagi mengubah struktur ini Pindaan terhadap Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah diperlukan.
Oleh itu adalah tidak tepat mengatakan RUU Persendirian ini adalah jalan belakang melaksanakan hudud kerana beberapa kesalahan hudud masih tidak boleh tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Walaupun mungkin beberapa kesalahan seperti berzina, menuduh zina dan meminum arak boleh dilaksanakan hukuman rotan sebagaimana diperuntukkan hukum syarak tetapi hukuman mati masih tidak boleh dilaksanakan.
Perlulah kita membezakan hukuman sebatan syariah tidaklah sama dengan sebatan yang dijatuhkan mahkamah sivil yang dilaksanakan di penjara. Sebatan sivil ini amat menyeksakan dan mencederakan pesalah.
Seksyen 125 Akta Tatacara Jenayah Syariah memperuntukkan alat sebatan tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter. Sebelum hukuman dilaksanakan pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan dan diperakui pesalah dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu. Jika pesalah hamil tangguhkan hukuman hendaklah dibuat. Orang yang dilantik melaksanakan hukuman hendaklah seorang yang adil dan matang menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah. Sebatan ini boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada dan bahagian sulit.
Sebatan syariah ini amat berbeza dengan sebatan sivil yang mencederakan dan hanya boleh dilakukan terhadap orang Islam sahaja.
Orang bukan Islam tidaklah perlu risau jika hukuman ini boleh dikenakan kepada mereka pula kerana RUU Persendirian tersebut hanya mengehadkan hukuman kepada orang Islam.
Seperkara lagi yang ditimbulkan ialah keperlembagaan RUU Persendirian ini jika diluluskan sebagai undang-undang. Jika dilihat persoalan yang ditimbulkan ini ia seolah-olah bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan iaitu kesamarataan di sisi undang-undang. Golongan ini memperjuangkan tidak boleh ada dua sistem undang-undang berlainan untuk orang Islam dan bukan Islam kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tadi. Namun sebenarnya Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca secara berasingan antara satu perkara dengan perkara yang lain.
RUU Persendirian ini jika diluluskan adalah amat penting dalam kerangka untuk memperkasakan mahkamah syariah. Buat masa ini bidang kuasa jenayah mahkamah syariah hanyalah sekadar tiga tahun penjara lima ribu ringgit denda dan enam kali sebatan. Bidang kuasa ini sebenarnya lebih rendah daripada mahkamah rendah sivil sama ada majistret apatah lagi mahkamah sesyen.
Usahlah terkeliru dengan cakap-cakap yang tidak mempunyai sandaran undang-undang ataupun cuba mengelirukan atau menakutkan orang lain dengan perkara-perkara yang tidak berasaskan fakta sebenar.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
0 Komentar untuk " Jangan terkeliru atau mengelirukan "