DALAM memastikan kelangsungan masyarakat negara ini kekal harmoni, bersatu-padu dan aman, pemahaman terhadap sesuatu budaya sangat penting yang perlu keluar daripada stereotaip yang sengaja diperbesarkan oleh mereka yang gemar bermain dengan sentimen pelbagai kaum yang ada. Dalam konteks ini, penulis tertarik dengan pandangan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Goh Sang Seong ketika berucap pada majlis pembentangan projek karya pelajarnya, baru-baru ini. Katanya, untuk melahirkan bakat dalam bidang terjemahan dan interpretasi, mereka perlu memahami pandangan menyeluruh atau worldview yang meliputi kefahaman budaya dalam melaksanakan usaha itu.
Fahami konteks budaya
Usaha memandaikan bangsa adalah penting untuk mereka memahami konteks budaya dan masyarakat yang menghasilkan karya itu agar pembaca dapat merasai nilai yang dibangunkan melalui sesuatu penulisan itu termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Tambahnya, ini tidak terbatas kepada penghasilan karya sahaja tetapi lebih luas dengan melihat kepada misalnya kontroversi nama makanan dan penggunaan nama seniman Melayu kepada makanan tidak halal yang terjadi baru-baru ini yang menggambarkan ketidakpekaan dan kegagalan dalam memahaminya dalam konteks budaya setempat.
Hal ini tepat dan wajar kerana dalam kemajuan dunia masa kini, kita semakin meminggirkan usaha pemahaman budaya sehingga ia diambil sambil lewa. Apatah lagi pengajian kesusasteraan yang menjadi teras kepada kebanyakan proses pemahaman budaya juga semakin kurang mendapat perhatian, terutama untuk melihat karya besar sebagai sumber ilmu memahami sesuatu budaya.
Usaha berterusan
Usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan, manakala kepelbagaian budaya masyarakat bukan saja di negara ini, bahkan di dunia juga perlu difahami dan dikuasai. Kegagalan usaha ini menyebabkan timbulnya salah faham, sikap fanatik dan ekstrem terhadap sesuatu kepercayaan serta cara hidup sendiri, memandang mudah dan rendah budaya orang lain atau menganggap budaya luar dalam konteks ancaman yang melahirkan interpretasi yang boleh menggugat keharmonian. Tatkala kita melangkah masuk dan melalui kehidupan dunia elektronik dan digital pada masa ini dan hadapan, pemahaman budaya ini akan menjadi mekanisme untuk merapatkan pelbagai jurang yang ada dan mendidik anak-anak kita melihat sesuatu dalam konteks yang betul dan wajar.
Dalam konteks ini, karya terjemahan turut memberikan sumbangan besar dalam mendorong masyarakat untuk memahami sesetengah perkara yang dianggap keluar daripada kepercayaan dan nilai budaya. Karya terjemahan ini termasuk konteks interpretasi budaya dalam dunia elektronik, multimedia dan digital, filem, drama, televisyen malah karya popular yang sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan yang sama. Ini juga menjadi benteng untuk kita membanteras nilai yang bertentangan dengan norma dan budaya murni yang ada, sikap keterlaluan serta menentang secara membuta-tuli terhadap sesetengah amalan budaya tanpa memahami konteks sebenarnya sehingga keindahan dan nilai estetika yang tersirat dicemari.
Pendidikan kefahaman budaya perlu diterapkan menggunakan sepenuhnya mekanisme sains dan sastera yang menggabungkan dunia visual dengan keindahan estetika kesusasteraan serta kepintaran teknologi untuk menarik masyarakat memahaminya dengan lebih jelas apatah lagi jika melihatnya dalam konteks meraikan kepelbagaian yang ada. Ini juga menyediakan kita menjadi warga dunia tanpa sempadan, mengekalkan kedamaian sejagat, tidak mudah membuat keputusan dalam penentuan sesuatu dasar tanpa melihat konteks kepelbagaian budaya, apatah lagi mengambil mudah istilah atau nama tanpa memahami sensitiviti yang ada di sekitarnya. Buta budaya jika tidak ditangani akan menimbulkan masalah kepada semua.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/215800
0 Komentar untuk " Fahami pelbagai budaya elak sentimen "