Merancang pengurusan harta melalui hibah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Merancang pengurusan harta melalui hibah



Perancangan kewangan penting kepada setiap individu supaya harta yang dimiliki dapat diuruskan sebaiknya. Kepentingan kepada perancangan yang baik juga dapat membantu kehidupan ahli waris ditinggalkan jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Islam menggalakkan umat merancang kewangan dengan baik supaya kehidupan ahli waris yang ditinggalkan akan terbela dan tidak berlaku persengketaan akibat perebutan harta. Harta adalah amanah yang perlu diuruskan sebaiknya mengikut kaedah perancangan kewangan telah ditetapkan.

Islam membahagikan perancangan harta kepada dua keadaan iaitu semasa hidup dan selepas kematian seseorang muslim. Di antara bentuk perancangan harta semasa hidup ialah wasiat, wakaf, hibah, sedekah, hadiah dan nazar. Manakala pengurusan harta selepas kematian pula dinamakan pembahagian harta pusaka yang tertakluk kepada hukum faraid. Dewasa ini pemberian hibah bukan lagi perkara baru, elemen hibah semakin disebut-sebut malah telah banyak digabungkan bersama pelan perlindungan takaful sebagai khidmat tambahan kepada pelanggan.

Jamin kepentingan pemberi, penerima 

Ternyata aplikasi hibah amat digalakkan kerana dilihat sebagai perbuatan kebajikan yang bakal menjamin kemaslahatan umum seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab dan nabi, dan mendermakan harta yang dicintai kepada kerabatnya, anak yatim, miskin, musafir, orang yang meminta-minta, yang memerdekakan hamba abdi, yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan menyempurnakan janji." (Surah al-Baqarah, ayat 177)

Hibah ialah pemberian seseorang kepada orang lain atau pihak tertentu dan pembahagian itu dilakukan ketika pemberi atau pemilik harta masih hidup atas keinginan sendiri, tanpa paksaan malah tanpa mengharapkan sebarang balasan ('iwad). Pelaksanaan hibah bertujuan untuk jaminan ketenangan hati dan minda kedua pihak iaitu pemberi dan penerima hibah. Biarpun asalnya hibah umpama pemberian, sedekah atau hadiah, namun pelaksanaannya tetap membabitkan akad. Di dalam pelaksanaan takaful, hibah dilihat sebagai pemudah cara bagi ahli waris untuk mendapatkan manfaat takaful kerana penerima hibah akan sepenuhnya berhak ke atas manfaat takaful sekali gus memudahkan lagi proses pemberian manfaat takaful ketika berlakunya tuntutan.

Hibah dalam takaful 

Produk takaful sememangnya telah digabungkan dengan elemen hibah dan telah diamalkan oleh semua pengendali takaful kerana ia berpaksikan amalan sedekah. Pelaksanaan hibah menerusi manfaat takaful diaplikasikan menerusi pemberian manfaat takaful yang akan diperoleh oleh waris. Aplikasi hibah bagi produk takaful yang berkaitan pendidikan, ibu bapa sebagai pembayar sumbangan dikira sebagai pemberi hibah manakala anak dinamakan sebagai peserta takaful pula penerima hibah secara mutlak dan akan mendapat manfaat jika berlaku musibah kepada ibu bapa. Hibah ini dikategorikan sebagai hibah bersyarat kerana hibah manfaat takaful hanya akan berkuatkuasa atau berlaku setelah peserta takaful meninggal dunia. Ilmuwan masih berselisih pendapat dalam hal ini kerana amalan hibah seharusnya dilakukan semasa hidup. Malah, status manfaat takaful juga menjadi pertikaian sama ada ia dikira sebagai harta si mati atau tidak kerana jika dikira harta maka ia perlu dibahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid. Jika sebaliknya, maka memadai dengan hibah yang telah dilakukan sebelum itu. Menurut keputusan Majlis Pengawasan Syariah Bank Negara pada mesyuarat kali ke 34, status hibah dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat kerana hibah itu adalah hibah bersyarat.

Penyelesai masalah harta 

Manfaat takaful pula lazimnya berkaitan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup apabila sijil takaful mencapai tempoh matang, maka manfaat takaful akan dimiliki oleh peserta. Jika peserta telah meninggal dunia sebelum mencapai tempoh matang, maka aplikasi hibah akan berkuatkuasa. Peserta mempunyai hak untuk membatalkan hibah sebelum mencapai tempoh matang. Oleh itu, peserta dibolehkan membuat penamaan dengan menamakan beberapa individu untuk menerima manfaat takaful yang dibayar atas kematiannya sebagai benefiasiari hibah bersyarat secara bertulis. Hibah adalah landasan kepada peserta takaful membuat amalan kebaikan. Hibah sejajar objektif takaful yang membantu peserta yang mengalami musibah dan seterusnya menggunakan dana tabarru' bagi membantu peserta. Masalah berpanjangan membabitkan harta selepas berlaku kematian semakin bertambah dan membimbangkan, maka masyarakat perlu didedahkan dengan cara pengagihan harta semasa hidup.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/217589
0 Komentar untuk " Merancang pengurusan harta melalui hibah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ