ADA beberapa buah berita yang kalau kita faham maksudnya menguatkan lagi ramalan bahawa pilihan raya umum (PRU) akan diadakan tidak lama lagi atau ada pihak sedang melakukan operasi mengelirukan orang ramai.
Media sosial dan arus perdana mula sarat dengan berita dan gambar pemimpin politik pemerintah dari peringkat bawah sehingga kepada Perdana Menteri turun padang melakukan kegiatan mesra rakyat.
Ada yang naik bas sekolah, ada yang melawat orang tua di rumah robek, ada yang menyapu pekarangan masjid, ada memungut sampah dan ada menunggang basikal balik ke rumah dari pejabat.
Sekarang ini dengan adanya platform media sosial macam blog, Facebook, Twitter dan Instagram maklumat dan gambar boleh merebak dengan cepat dan luas.
Ada yang disebarkan orang ramai dan tidak kurang pula oleh pembesar yang suka masuk bakul angkat sendiri.
Rakyat jelata yang ada telefon pintar dan kemudahan wayarles wi-fi boleh dapat maklumat dengan serta-merta. Tak payah tunggu berita televisyen beberapa jam kemudian atau surat khabar keesokan hari. Malah mereka boleh dapat serta-merta melalui siaran langsung internet.
Kita mungkin rasa lucu dan geli hati tengok tingkah laku dan kerenah orang politik pancing undi. Ada yang sampai menyuapkan orang tua makan dengan tangan sambil duduk bertimpuh.
Nampak sangat janggal sebab ada di antara mereka yang makan guna sudu garpu dan duduk di meja. Bila lima tahun sekali berlakon jadi orang kampung maka nampaklah kejanggalannya.
Apatah lagi sekarang gambar dimuat naik ke internet oleh orang biasa yang tidak ada latihan propaganda dan kewartawanan. Dunia tanpa pengarang semakin jadi kenyataan.
Itu apa yang kita dapat tengok dan faham. Ada juga hal-hal yang berlaku di luar pandangan mata umum atau terjadi di depan mata kita tapi kita tak faham. Bila kita sedar benda itu dah busuk dan jadi beban kepada kita.
Inilah yang berlaku dengan skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd sejak diasaskan pada tahun 2009. Hari ini ramai sudah faham macam mana tipu-helah korporat 1MDB menyebabkan negara dan rakyat jelata tanggung hutang sampai RM50 bilion – lima puluh ribu juta ringgit atau RM50,000,000,000.
Untuk elak 1MDB muflis dan dikenakan saman, kerajaan terpaksa ambil alih hutangnya.
Kemudian, untuk cari duit pilihan raya dan bagi gambaran bahawa pelabur yakin kepada pasaran modal kita, sebahagian harta Felda telah dijual di pasaran saham melalui operasi tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun 2012.
Daripada operasi itu lahirlah FGV atau Felda Global Ventures. Di peringkat awal, penjualan harta Felda melalui GFV memang berjaya.
Apa tidaknya. Harga tawaran awam FGV RM4.55 sesaham. Apabila mula diniagakan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012, ia naik sampai RM5.46. Sesiapa yang jual masa itu dapat untung 91 sen setiap satu saham.
Saya tak cakap berkenaan peneroka Felda yang beli 800 saham seorang dan tak dibenarkan jual. Saya cakap berkenaan anak emas yang dapat tawaran istimewa borang merah jambu dan pelabur utama yang dipanggil cornerstone investors yang dipujuk atau diarahkan beli beratus juta saham.
Yang jual dapat durian runtuh tapi yang tak jual atau yang tak dibenarkan jual mereka menderita teruk kerana tidak lama lepas itu saham FGV jatuh merudum. Ini adalah kerana IPO FGV adalah operasi pasaran yang bercirikan market play dan spekulasi. Isu pokok perniagaan bukan tujuan utama.
Hari ini, bukan sahaja harga saham FGV sangat murah – RM2.01 sesaham pada hari Khamis 20 April - malah prestasi perniagaannya juga lemah. Pendapatannya dikhuatiri tidak mencukupi untuk memenuhi janjinya kepada Felda dan peneroka.
Pelabur utama FGV yang kebanyakannya adalah syarikat dan tabung berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) mengalami susut nilai yang teruk manakala yang menjual menderita kerugian.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menderita kerugian RM203.18 juta apabila menjual semua saham FGV yang dimilikinya pada Ogos tahun lalu.
Apa yang membimbangkan saya ialah kemungkinan permainan pasaran ala FGV dan 1MDB diulangi secara diam-diam untuk cari duit pilihan raya.
Saya rasa KWSP dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kali ini terselamat daripada manipulasi kerana rahsia bagaimana mereka diperalatkan sebelum ini sudah diketahui umum.
Tapi saya sangat bimbang Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan institusi-institusi kewangan yang berkaitan dengannya mungkin dijadikan sasaran.
Saya tidak begitu bimbang dengan CIMB kerana Pengerusinya, Datuk Seri Nazir Abdul Razak, telah mempamerkan kemampuan menongkah arus. Yang lain, maaf cakaplah kalau saya kata, saya tak begitu yakin. Harap-harap anggapan saya silap. Wallahuaklam.
0 Komentar untuk " Bahaya GLC/GLIC diperalatkan "