Budaya amanah dalam kepimpinan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Budaya amanah dalam kepimpinan



PERKATAAN-PERKATAAN daripada bahasa lain antaranya buku, lampu, botol, sekolah, sah, wajib dan beribu patah lagi menjadi sebati dengan kita. Dalam bahasa Indonesia, perkataan sukses, provinsi, 'rekoning' dan seterusnya dipakai. Sering pula, disebabkan ketidakcekapan, perkataan seperti diesel, yang dimaksudkan sejenis minyak bahan pembakar, dipanggil solar, yang sepatutnya bererti tenaga dari matahari.

Diesel sebenarnya ialah nama pencipta minyak itu sedangkan solar ialah istilah 'keseanteroan' dunia yang jelas maknanya. Apabila sudah mengetahui pengertian sebenarnya, solar terus dipakai untuk maksud diesel di Indonesia. Segalanya itu menunjukkan kehidupan kita ini kait-mengait, betul dan salah bercampur-aduk, justeru tamadun dan peradaban kita adalah sebahagian daripada sepenuhnya. Jika kek, ia seiris atau secubit dari sekeping yang genap.

Seminggu dua lepas, telah diberitakan bahawa satu persidangan kebudayaan Melayu telah diadakan di sebuah universiti, katanya UKM. Bila disebut kebudayaan, sering orang terbayangkan tarian-tarian tradisi. Bagi golongan ilmiah, ia bermaksud jauh lebih luas daripada itu, termasuklah apa yang diertikan sebagai tamadun dan peradaban. Pengertian ini menjadi lebih sulit untuk difahami memandangkan tamadun dan peradaban itu sendiri adalah istilah besar, masing-masing telah dijadikan buku tebal dalam semua bahasa utama dunia.

Suatu ketika dulu sebuah kementerian dinamakan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. Disebabkan terdapat pihak tertentu tidak puas hati dengan maksud ‘kebudayaan’ dalam nama itu, maka, sebagai jalan keluar, istilah Kesenian dimasukkan. Bertukarlah ia kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Dengan itu kerajaan secara langsung menjadikan kebudayaan dan kesenian sebagai dua entiti yang berlainan. Ini bukan bermaksud hendak menyatakan yang satu itu betul dan yang lain salah. Jauh sekali. Ia membuktikan segala yang diperkatakan itu bukanlah sesuatu yang mudah.


Saya memilih istilah ‘Persidangan’ untuk merujuk kepada perjumpaan yang memperkatakan tentang kebudayaan itu dan bukan 'Konvensyen', 'Simposium' atau 'Forum', sedangkan pada asasnya istilah-istilah itu memberikan maksud lebih kurang sama. Itulah sebabnya dalam nahu Inggeris, sinonim menjadi sesuatu yang diujikan. Makna sinonim: dua atau lebih perkataan yang bererti sama atau hampir sama.

Untuk maksud ruangan ini, saya memilih ‘budaya’ untuk maksud ‘kebudayaan’ semata-mata kerana ia lebih ringkas, tidak membawa irasan tari-menari saja, sedangkan Kamus Dewan yang berwibawa memberikan pengertian semacam sama untuk kedua-duanya. Pada 1971, P Ramlee dengan daya humornya berkata bahawa kertas kerjanya hanyalah satu halaman. Katanya, 15 tahun sebelumnya iaitu pada 1956, beliau menyediakan kertas kerja setebal 10 halaman untuk Kongres Kebudayaan Melayu Pertama. Hasilnya tidak ada apa-apa, tambahnya. Maka untuk Kongres Kebudayaan Kedua itu, tambah P Ramlee, memadailah satu halaman saja. ‘Entah apa yang akan terjadi, saya pun tak tahu.’

Kongres Kebudayaan Kedua tahun 1971 itu diadakan di Universiti Malaya. Untuk kongres atau konvensyen yang baru diadakan ini (mungkin enggan disebut Kongres Kebudayaan Melayu Ketiga) kata-kata sihat untuk menegakkan tatacara yang murni dalam kehidupan Melayu telah ditegaskan oleh penganjur. Penegasan ini sendirinya bermakna bahawa mutu kehidupan Melayu sudah banyak terhakis.

Secara longgar budaya difahamkan sebagai satu cara hidup. Keseluruhan cara hidup itulah yang menjadi peradaban dan tamadun. Tinggalan-tinggalan kuno Mesir, Yunani, Rom dan China mencerminkan satu peradaban dan tamadun yang amat nyata. Oleh itu kajian akademik arkeologi terus menerus diadakan. Sebagai contoh, sebuah kota kuno Rom yang lengkap terdapat di luaran kota Amman di Jordan. Melihat bangunan dan binaannya memberikan kesimpulan terhadap kehidupan manusia di situ, mungkin 2,500 tahun dulu.

Istana menandakan ada raja yang berkuasa. Rumah-rumah yang teratur menunjukkan rakyat hidup dalam tatacara yang bersistem. Siratan jalan yang dijejaskan oleh tayar 'chariot' atau kereta kuda menunjukkan kuda dan kereta kuda menjadi kemudahan pengangkutan. Teater lengkap bertangga-tangga tinggi sebagai tempat duduk penonton menunjukkan tarian dan persembahan seni menjadi santai kekal dalam kehidupan rakyat. Yang tiada tanda ialah sumber pemakanan mereka, iaitu asas terpenting dalam mana-mana tamadun dan peradaban.

Budaya atau tamadun-peradaban Melayu dengan sendirinya menjadi cemerlang apabila Melayu mencapai kecemerlangan dalam semua lapangan: ekonomi, politik, sosial, akademik, pendidikan, industri, sukan, seni, penciptaan dan pelbagai lagi. Manusia yang memimpin semua lapangan itu, terutama yang paling dominan, tidak boleh berkompromi langsung dalam amanah dan integriti mereka demi menjamin kecemerlangan itu.

0 Komentar untuk " Budaya amanah dalam kepimpinan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ