Industri pertahanan mampu tingkat pembangunan negara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Industri pertahanan mampu tingkat pembangunan negara

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sewaktu bercakap kepada media selepas latihan tembakan misil Starstreak di Tanjung Logok, Kota Tinggi, Johor, pada 28 Mac lalu berkata: "Perolehan sistem misil Starstreak dan demonstrasi kuasa tembakannya hari ini adalah antara inisiatif dirancang di bawah teras kesiapsiagaan digariskan sebagai satu daripada lima teras yang menjadi hala tuju dan fokus Kementerian Pertahanan (MINDEF) tahun ini." Tidak dinafikan bahawa banyak negara membangun, termasuk Malaysia sedang menjalankan aktiviti perindustrian pertahanan untuk ketenteraan dan ekonomi bertujuan meningkatkan tahap pertahanan negara yang mampu menjadi angkatan kredibel di rantau ini.  

Sesungguhnya, perindustrian pertahanan sedang ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan kecanggihan pertahanan dan teknologi yang berkaitan terutamanya di bidang aeroangkasa dan kepakaran. Pada masa sama, industri ini diyakini mampu memberi kesan kepada ekonomi negara melalui nilai tambah yang tinggi dalam pekerjaan, pembangunan kemahiran dan penembusan rantaian bekalan global. Dari sudut ketenteraan, pembangunan industri pertahanan ditumpukan kepada kemampuan untuk bergantung kepada sumber alat ganti dan sokongan logistik tempatan, pengubahsuaian, pembaik pulih dan peningkatan tanpa (atau dengan minimum) bantuan asing. Sebagai contoh, Malaysia akan melancarkan lebih banyak tawaran 'perimbangan pertahanan' yang akan menyaksikan lebih 60 peratus daripada kandungan dan nilai tempatan serta pemindahan teknologi ke negara kita. Perlu disebut, dalam tempoh 20 tahun kebelakangan, Malaysia sudah menerima dorongan kuat daripada kerajaan untuk mempromosikan industri pertahanan tempatan yang mampu menyokong pembangunan negara dan mencerminkan inisiatif kerajaan menggabungkan keperluan teknologi tinggi, aktiviti nilai tambah dan tenaga pekerja berkemahiran tinggi kepada matlamat pembangunan negara.



ANGGOTA tentera melakukan pelancaran misil ketika Program Penembakan Peluru Berpandu Very Short Range Air Defence (VSHORAD) Starstreak. - Foto Hairul Anuar Rahim


MISIL yang dilancarkan anggota tentera. - Foto Hairul Anuar Rahim

MINDEF tumpu empat aspek 

Dalam hubungan ini, arah tuju MINDEF dalam tempoh masa lima tahun bermula 2015 adalah berpaksikan kepada empat aspek di bawah inisiatif kesiapsiagaan dengan meningkatkan kesediaan aset dan fasiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), meningkatkan kemampuan menempuh ancaman bukan tradisional terutama di Sabah, menambah baik kebajikan anggota dan anggota veteran ATM serta mengukuhkan sektor komersial dan inovatif industri pertahanan negara. Tahun lalu, kerajaan mengumumkan bajet untuk MINDEF pada 2016 sebanyak RM17.304 bilion (USD4 bilion) yang mewakili kira-kira 6.5 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet negara tahun ini dan 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bajet berkenaan kebanyakannya untuk menyokong pembangunan ATM dan program perolehan pertahanan. Selaras perkembangan industri pertahanan global, Perkhidmatan Pertahanan Asia (Defence Services Asia Exibition & Conference, Kuala Lumpur) (DSA) yang akan diadakan pada 18 hingga 21 April di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) merealisasikan harapan kerajaan.

DSA berkembang menjadi acara terkemuka dalam kalendar industri pertahanan negara peserta. Ia terbukti sebagai platform perdana untuk peserta dalam industri pertahanan seluruh dunia mempromosikan produk mereka, berkongsi idea dan teknologi, menjalin perkongsian pintar serta memulakan kerjasama sinergi dan strategik. Pada masa sama, DSA juga menjadi platform utama bagi ketua kerajaan, pegawai tertinggi dan panglima pertahanan dari seluruh dunia untuk berkumpul demi kepentingan kerjasama dua hala serta menggalakkan komitmen lebih tinggi bagi memenuhi tuntutan pertahanan global. Acara dipersembahkan DSA secara konsisten menarik perhatian serta kehadiran orang kenamaan dan pemain industri terkemuka dengan reputasi sebagai 'The VIP Show.'

Misalnya dalam acara yang diadakan sebelum ini, seramai 344 delegasi asing daripada 44 negara menghadiri DSA juga 800 pemimpin dan pemain industri terkemuka Malaysia serta enam kerabat Diraja Malaysia. Menelusuri perkembangan dunia, sewaktu Perang Dingin pada tahun 80-an, keadaan sekuriti global menjadi kebimbangan utama bagi banyak negara di seluruh dunia. Terdapat keperluan, terutama di Asia untuk mewujudkan platform bagi komuniti pertahanan antarabangsa dapat berkumpul dan berusaha meningkatkan kemampuan pertahanan negara mereka di samping memperbaiki hubungan antara kerajaan.

Ketika itu, tidak ada acara seumpamanya di rantau Asia Pasifik. Justeru, penganjur DSA bersetuju mengadakan perkhidmatan dan pameran keselamatan buat kali pertama di Malaysia. Ia satu peluang bagi pameran industri pertahanan dan perancang dari seluruh dunia berkumpul di bawah satu bumbung untuk berkongsi pendapat serta berbincang isu utama dalam pertahanan bersama pakar lain. Pameran pertama DSA diadakan pada 1988 disertai 394 peserta dengan keluasan tapak pameran 6,000 meter persegi. Biarpun dalam skala kecil, acara berkenaan mendapat respon serta galakan positif sebagai persembahan pertama di rantau ini yang membabitkan tri-perkhidmatan dan sektor keselamatan.


KENDERAAN milik tentera antara yang dipamerkan pada DSA 2015. - Foto Farizul Hafiz Awang

Hari ini, kita berbangga kerana DSA adalah antara lima pameran pertahanan terkemuka dan diiktiraf secara meluas sebagai pameran dan perkhidmatan terbesar di Asia. Sesiapapun mengakui bahawa ancaman dan masalah keselamatan dunia dan rantau ini muncul dari pelbagai pihak dan bentuk, antaranya ancaman pencerobohan, keganasan, keselamatan siber dan pertahanan siber, militan IS, penyalahgunaan najis dadah, pelampau agama dan jenayah tradisional yang memerlukan kerjasama antarabangsa yang lebih tinggi. Justeru, ianya merangsang inovasi pertahanan dengan teknologi canggih dari seluruh dunia di samping mewujudkan keperluan untuk meningkatkan kerjasama komunikasi strategik dua hala dalam industri pertahanan. Dalam hubungan ini, pameran DSA yang diiktiraf sebagai acara kebanggaan kerajaan dan rakyat Malaysia kerana kita sudah mencapai merit melalui usaha memperkenal dan menangani masalah berkaitan industri pertahanan. Pada masa sama, DSA dapat meningkat kerjasama dua hala serta menggalakkan tahap komitmen yang lebih tinggi ke arah industri pertahanan global.

Antara aktiviti sempena DSA adalah:

Persidangan meja bulat Panglima Tentera Darat (Chief of Army Roundtable Talk) (ChART) - Acara ini mengumpul panglima tentera dari seluruh rantau untuk berbincang isu semasa. Chemical, Biological, Radiological and Nuclear explosives (CBRNe) - Sejumlah pengarah kesihatan dari seluruh dunia yakin acara ini wajib dihadiri. Cyber Security - Persidangan ini dianjurkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kolaborasi Universiti Warrick, Cyber Security Malaysia dan ditaja BAE Systems. Humanitarian Assistance & Disaster Relief (HADR) - Persidangan yang dianjurkan Markas Angkatan Bersama, menampilkan pembentangan dari pakar polisi di Malaysia dan juga perbincangan berkenaan teknologi baru oleh organisasi korporat tempatan dan antarabangsa. Demonstrasi ketenteraan - ATM akan mempamerkan pelbagai demonstrasi dinamik. Mesyuarat B2B - Peserta pameran diberi peluang menyertai mesyuarat B2B. MDaS Hall - Buat kali pertama, DSA 2016 akan memperkenalkan Dewan Pertahanan dan Keselamatan Malaysia yang terdiri daripada 'pavilion' berasingan daripada penggiat industri pertahanan dan keselamatan dan agensi kerajaan dalam bidang aeroangkasa, maritim, automotif, senjata dan ICT.


MODEL Eurocopter, Tiger Had yang dipamerkan ketika DSA 2015. - Foto Sairien Nafis

Kerjasama teknologi 

Sesungguhnya, DSA memainkan peranan mapan dalam menggalakkan jalinan kerjasama teknologi dengan negara asing dan mewujudkan pelaburan bernilai tinggi. Ia platform ideal bagi penggiat industri pertahanan dan keselamatan mempromosikan produk, bertukar pendapat dan teknologi serta menjalin perkongsian yang menyumbang di dalam industri pertahanan negara. Perjanjian pelaburan dan kontrak yang ditandatangan membuka jalan kepada pelbagai perkongsian strategik yang bermanfaat kepada kedua-dua pihak yang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi malah meningkatkan pertahanan negara serantau. Tidak syak lagi, perkembangan sains dan teknologi merangsang beberapa perkembangan dalam ancaman sekuriti konvensional seperti senjata biologi dan jenayah siber. DSA dapat menangani isu ini dengan mapan. CBRNe yang diperkenalkan ketika DSA 2008 memperlihatkan keprihatinan yang semakin meningkat terhadap ancaman di luar kelaziman, yang didorong perkembangan sains dan teknologi termasuk senjata biologi dan peranti CBRNe. CBRne membentuk satu keupayaan di dalam kompetensi Angkatan Tentera di seluruh dunia.

Kemunculan industri siber tanpa sempadan pula mencetus era baharu jenayah siber yang memerlukan suatu tindakan dan teknologi inovatif, pragmatik dan dinamik oleh ATM khasnya untuk memeranginya. Kesimpulannya, ancaman keselamatan datang dalam pelbagai bentuk yang merentasi sempadan dan keganasan militan adalah ancaman terbesar negara.  Ia menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif di sempadan seperti di Timur Sabah. Begitu juga dengan pengeboman yang dibuat pengebom berani mati seperti IS membangkitkan kesedaran untuk kita meningkatkan kemampuan dalam perisikan pertahanan. Kekuatan pasukan keselamatan dan undang-undang keselamatan negara mencukupi untuk menangani ancaman keganasan.   Kita sentiasa memantau dari semasa ke semasa. Sebenarnya, rakyat jelata adalah penentu kejayaan kerajaan dalam menangani apa juga ancaman dari dalam mahupun luar negara. Mereka sebenarnya benteng pertahanan negara. Mari sama-sama kita menjaga dan mengekalkan kedaulatan dan keselamatan bumi tercinta ini. Bersatu adalah kunci penyelamat yang sukar diganggu gugat sesiapapun.

Penulis ialah Penulis ialah Timbalan Menteri Pertahanan

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/143580
0 Komentar untuk " Industri pertahanan mampu tingkat pembangunan negara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ