DEMI masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Asr, 1 hingga 3) Dalam hidup ini kita ada pelbagai kehendak dan keinginan, sementara setiap kehendak dan kemahuan itu hendaklah diiringi dengan tindakan. Sesuatu keinginan tanpa tindakan tidak akan mendatangkan hasil yang akan memberi faedah kepada kita. Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.30 pagi, Ustaz Mohd Meeftah Anuar menekankan bahawa pentingnya bagi setiap umat Islam untuk menanam azam yang tinggi di dalam diri, supaya dengan adanya keinginan yang tinggi akan menghasilkan perbuatan dan tindakan yang akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
Seseorang Mukmin yang memiliki azam yang tinggi akan lebih bersemangat dalam melaksanakan ibadah dan perbuatan yang akan menjurus kepada hubungan baik dengan Allah SWT. Sebagai contoh sentiasa menanam azam untuk bangkit melaksanakan solat sunat pada malam hari, berazam melaksanakan solat sunat duha, membaca al-Quran, berpuasa dan sebagainya. Kehendak dan keinginan dalam ibadah ini hendaklah sentiasa dipasak dalam diri kita agar dapat melahirkan tindakan dan amalan yang akan menjadikan kita insan soleh dan solehah.
Berpesan tingkat takwa
Orang soleh sering berpesan kepada manusia lain dan selalu mengajak kepada kebenaran supaya dapat bersama-sama menjadi insan yang diredai Allah SWT dunia dan akhirat. Seperti yang dikongsikan melalui Surah Al-Asr, Allah SWT menjelaskan tentang manusia itu akan berada dalam kerugian jika tidak menggunakan kesempatan hidup atau usia yang dimiliki ini untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Bahkan sebagai manusia yang bertakwa kepada-Nya, manusia harus sentiasa saling ingat mengingati antara satu sama lain kerana itu adalah sebahagian daripada nilai keimanan seseorang manusia. Menurut Meeftah, setiap kebaikan yang dilakukan juga hendaklah berbalas dengan penghargaan seperti ucapan terima kasih yang menjadi sebahagian daripada adab yang perlu diamalkan oleh setiap orang beriman.
Hakikatnya dalam kehidupan ini, sebagai manusia yang menjunjung ajaran agama Allah SWT dan mengikuti teladan yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW, kita disaran untuk saling menasihati dan mengingati antara satu sama lain. Seperti yang dinukilkan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada umat Islam yang bermaksud: "Jagalah Allah SWT, nescaya kau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah SWT dan jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah SWT." Baginda mengajar kepada umatnya agar mengikuti segala perintah Allah SWT kerana orang yang taat kepada perintah Allah SWT pasti sentiasa dalam pemeliharaan-Nya.
Justeru, kita hendaklah sentiasa memelihara amal ibadah kepada Allah SWT agar mendapat keberkatan hidup dan akhirat. Mereka yang memelihara ketaatan kepada Allah SWT akan mendapat ketenangan dan kelapangan hati selain diberikan kecukupan rezeki dunia dan kemudahan urusan di dunia ini. Manusia yang sentiasa berusaha membaiki hubungannya dengan Allah SWT, akan mendapat kebaikan dalam hidupnya. Mereka yang sentiasa dalam 'pandangan' dan rahmat Allah SWT akan dikasihi oleh masyarakat, dikurniakan anak yang soleh dan solehah serta di kelilingi orang yang berkasih sayang.
Sentiasa perbaiki diri
Justeru, kita hendaklah sentiasa membuat pembetulan atau penilaian bagaimana hubungan kita dengan Allah SWT dari segi solat dan amal ibadah yang lain, serta amalan zikir yang menterjemahkan ketaatan dan kasih sayang dalam menghidupkan sunah Baginda Rasulullah SAW. Sesungguhnya amat besar kurniaan Allah SWT terhadap hamba yang soleh dan cintakan agama-Nya. Hamba yang taat kepada Allah SWT dengan memelihara dan menjaga setiap suruhan dan meninggalkan larangan-Nya akan mendapat pemeliharaan Allah SWT di dunia dan mendapat ganjaran syurga di akhirat nanti.
Justeru, bagi meraih kasih sayang Allah SWT, kita hendaklah sentiasa memperbaiki diri dan hati dengan selalu beristighfar kepada Allah SWT supaya dengan melakukan amalan tersebut akan menyucikan hati dan akan mudah untuk menerima kebaikan. Akhir sekali, kita semua hendaklah mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan kebaikan walaupun dengan sepotong ayat kerana perkataan atau nasihat yang menyeru kepada kebaikan akan menghasilkan pahala yang berpanjangan. Setiap keburukan dan kejahatan yang dilakukan sungguhpun dilihat kecil pada pandangan kita sebagai manusia, jika ia dimurkai Allah SWT, pasti akan mendapat sebesar-besar pembalasan yang akan menjauhi kita daripada mendapat ganjaran keredaan-Nya di dunia dan akhirat. Penulis ialah Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa IKIMfm
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/150404
0 Komentar untuk " Pasak kehendak, keinginan beribadah "