Ikhlas rintis amalan baik demi kemaslahatan ummah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ikhlas rintis amalan baik demi kemaslahatan ummah

RASULULLAH SAW bersabda: "Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, maka dia mendapat ganjaran pahala amalan baiknya dan juga memperoleh pahala orang yang ikut melakukannya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Dan sesiapa yang melakukan perbuatan buruk dalam Islam, maka dia akan mendapat dosa daripada perbuatannya itu dan juga dosa orang yang ikut melakukannya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun." (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW mengungkapkan hadis itu tatkala melihat seorang lelaki Ansar membawa bungkusan dan disebabkan bungkusan itu berat hingga hampir-hampir dia tidak mampu memikulnya. Lantas dia sedekahkan bungkusan itu kepada kaum Bani Mudhar yang datang ke Madinah dalam keadaan menyayat hati. Tindakan sahabat Ansar itu kemudian diikut oleh penduduk Madinah lainnya. Mereka berduyun-duyun memberikan sebahagian harta mereka sehingga kelihatan satu longgokan makanan dan satu longgokan pakaian.

Merintis amalan baik 

Walaupun pada zahirnya hadis itu membicarakan mengenai menginfakkan harta, pada hakikatnya ia mencakupi semua amalan sama ada yang baik atau buruk. Tema utama hadis itu adalah merintis kepada melakukan amalan kebaikan. Mereka atau perintis yang memulakan amalan kebaikan kebiasaannya membawa natijah cukup berkesan bagi dirinya dan orang lain. Menariknya, amalan merintis kebaikan tidak hanya akan memperoleh ganjaran pahala untuk dirinya malah akan memperoleh ganjaran pahala daripada orang lain yang mencontohi tindakan itu. Justeru, seorang Muslim sangat dianjurkan untuk merintis dan mempelopori amalan baik termasuk amalan sunah Rasulullah SAW yang mulai dilupai umat Islam. Tidak ketinggalan, amalan berupa inovasi baharu dan terkini itu memberi faedah serta maslahah ummah selama mana ia tidak melanggar syariat Islam.

Amalan sunah dirintis 

Rasulullah SAW, sahabat Perlu diinsafi bahawa merintis amalan kebaikan sewajibnya dilandaskan dengan keikhlasan dan mestilah dimulai daripada diri sendiri terlebih dahulu. Rasulullah SAW dan sahabat adalah perintis kepada amalan kebaikan. Pelbagai amalan sunah yang diamalkan oleh umat Islam sekarang ini telah dirintis dan dimulai oleh Rasulullah SAW serta sahabat. Mereka mengamalkan sunah terlebih dulu dan daripada contoh ditunjukkan amalan itu menjadi ikutan. Saidina Umar al-Khatab telah mempamerkan contoh teladan terbaik sewaktu beliau menjadi khalifah. Diriwayatkan, Saidina Umar mengajak ahli keluarganya hidup dalam keadaan serba sederhana. Pernah Saidina Umar merenggut makanan yang segar daripada tangan mereka, bahkan dari mulut mereka. Bumi seakan bergoyang kencang dan langit bergegar menyimbah bumi ketika Saidina Umar mengetahui seorang ahli keluarganya menuntut keistimewaan. Apabila melaksanakan sesuatu undang-undang atau melarang suatu perkara, Saidina Umar terlebih dulu mengumpulkan ahli keluarga dan memberi peringatan keras dengan berkata: "Sesungguhnya aku telah melarang orang lain daripada perbuatan begitu dan begini kerana masyarakat melihat kalian seperti burung melihat daging.

Jika kalian terjerumus, maka mereka pun akan terjerumus; dan jika kalian takut, mereka pun akan takut. Demi Allah, tidaklah aku mendengar seseorang pun daripada kalian yang melanggar laranganku terhadap masyarakat, melainkan akan kulipatgandakan seksaan baginya kerana hubungan kerabatnya denganku. Oleh itu, sesiapa yang mengkehendaki di antara kalian, bolehlah dia maju dan sesiapa yang mengkehendaki, hendaklah dia mundur." Merintis dan mempelopori amalan kebaikan menjadi keutamaan bagi seorang Muslim, bahkan semangat yang dianjurkan Islam adalah semangat untuk menjadi Muslim yang pertama dalam merintis amalan kebaikan. Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada Hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/143303
0 Komentar untuk " Ikhlas rintis amalan baik demi kemaslahatan ummah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ