Cuaca panas, hati pun panas - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Cuaca panas, hati pun panas

DI warung, di pejabat, di rumah dan di mana sahaja sekarang, orang  ramai mengeluh pasal cuaca panas. Balik rumah, ramai yang lari masuk bilik berhawa dingin atau mandi empat lima kali sehari untuk mendapatkan kesejukan.

Sesetengah pengguna panas hati apabila bil elektrik dan air naik terlalu tinggi, sedangkan kenaikan itu hasil tindakan mereka sendiri. Antara yang untung adalah penjual pendingin udara yang mencatatkan kadar jualan lebih tinggi daripada sebelum ini.

Di banyak tempat, ular pun keluar dari habitat kerana kekeringan dan mencari tempat sejuk, tidak kira dalam kereta, bawah katil atau dalam mangkuk tandas. Akibatnya, bertambah banyaklah kes penangkapan ular dan orang dipatuk reptilia itu.

Ada berpendapat kerana cuaca juga ramai, terutama pelajar, yang terlalu stres hingga kena histeria. Wallahualam! Di kawasan perumahan saya baru-baru ini, penduduk rimas dan berpeluh pada malam hari apabila bekalan elektrik terputus lebih dua jam.

Dalam keadaan ramai yang stres dan rimas akibat panas, jangan sesiapa cari pasal menguji kesabaran. Maka, tidaklah hairan apabila dekat tempat saya tinggal berlaku salah faham dan hilang sabar sehingga seorang pemuda yang muncul di belakang sebuah rumah baru-baru ini dibelasah oleh penduduk kerana disangka penjenayah.

Lelaki itu didapati menyusup macam ular untuk bertemu kekasihnya kerana bapa gadis itu tidak suka dengan lelaki itu. Cerita lelaki itu akhirnya dipercayai penduduk selepas disiasat. Dia dibebaskan, tetapi ‘harga’ yang dibayarnya sangat menyakitkan.

Dia cedera di kepala, hidung, pipi, serta mulut kerana kena belasah dan dibawa ke hospital untuk rawatan. Saya boleh faham bagaimana gabranya lelaki itu apabila dikepung penduduk sebab saya sendiri pernah mengalami keadaan mencemaskan seperti itu.

Nyaris saya kena belasah oleh tuan rumah suatu ketika dahulu. Ia berlaku di tengah malam di Kampung Baharu, Kuala Lumpur, pada tahun 70-an. Saya sedia menceritakannya untuk menjadi iktibar kerana ‘sejarah hitam’ ini sudah lama berlaku dan saya tidak bersalah.

Masa itu saya baru bekerja dan pergi ke rumah kawan yang sewa di bilik bawah sebuah rumah dua tingkat di situ. Untuk tidak mengganggu insan yang sudah di alam mimpi, saya matikan enjin di tepi jalan dan menolak motosikal ke rumah kawan saya itu.

Sampai di tepi dinding rumah, saya pun letak motosikal di situ. Tiba-tiba tangan saya digenggam erat dari belakang oleh seorang lelaki separuh umur. Sebelah lagi tangannya mengangkat apa yang saya nampak seperti belantan.

“Awak curi motosikal ya!,” lelaki itu menjerit di malam yang sunyi sepi itu.

Kalau boleh memang saya nak jerit balik dan lawan, tetapi saya kawal perasaan, bimbang juga belantan hinggap ke kepala atau jiran-jiran keluar. Tak pasal pula saya kena belasah.

“Pak cik, ini motosikal kawan. Saya pinjam,” balas saya, jari menuding arah bilik sewa.

Dia tak percaya, saya diheret ke pintu bilik sewa kawan saya. Pintu diketuknya bertubi-tubi. Belantan masih tinggi atas kepala.

Kawan saya yang dikejutkan daripada lena, keluar bersenoyong.

“Ini kawan awak?” jerit tuan rumah.

“Ya, kenapa?”, jawab kawan saya; jari menonyoh mata.

“Pak cik ni ingat aku curi motosikal,” jelas saya.

0 Komentar untuk " Cuaca panas, hati pun panas "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ