Hentikan menghukum dan melabel Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hentikan menghukum dan melabel Islam

LABEL melabel bukanlah isu baharu, tetapi sering kali ia timbul dan kadangkala menjadi begitu hangat diperdebatkan seolah-olah tiada kesudahannya.

Terbaharu, daripada tajuk status Facebook penulis berkaitan wahabi lantaran menjawab persoalan yang dibangkitkan di Parlimen berkaitan baru-baru ini mengundang pelbagai polemik, sindiran, kecaman dan tuduhan. Hikmahnya ia membuka mata dan minda kita terhadap bahana pemikiran “simplistik” segelintir umat Islam pada hari ini.

Hakikatnya, fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan umat Islam kini yang begitu ghairah untuk menghukum dan melabel serta berkhilaf sesama sendiri.

Mereka juga cenderung untuk cepat membina persepsi hanya bersandarkan pemahaman literal. Bahkan setiap puak berbangga-bangga dengan apa yang mereka miliki, sehingga hilang adab dan akhlak, merendahkan-rendahkan puak yang lain, label-melabel dan sebagainya.

 Benarlah firman ALLAH yang menyatakan bahawa mereka akan terus berselisih, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Hud, ayat 118:

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengehendaki, tentulah Dia menjadikan manusia semuanya umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat sedemikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan.”

Sewajarnya setiap umat Islam perlu kembali bersatu atas nama Islam, menjaga adab berbeza pandangan, dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain atas dasar yang sama, tidak kira dari mana mereka datang, apa jua mazhab mahupun pegangan politik  dan fikrah mereka.

Bukanlah bermakna bersatu itu mereka perlu meleburkan identiti dan mencairkan dalam kelompok lain, tetapi cukuplah dengan masing-masing menjaga adab dan akhlak sebagai seorang Muslim terhadap Muslim yang lain, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW: “Orang Islam itu adalah orang yang orang-orang Islam lain selamat dari (keburukan) lidahnya dan tangannya”. Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Belajarlah untuk berlapang dada, bersangka baik dan menghormati pandangan orang lain walaupun tidak dapat menerimanya, kerana siapakah kita untuk meletakkan hukum terhadap seseorang?

Bahkan kita sendiri pun belum dapat menjamin pengakhiran hidup kita, adakah kita tergolong dalam golongan bahagia atau sebaliknya? Apatah lagi berkenaan syurga dan neraka.

Janganlah kita lupa bahawa seseorang itu boleh berubah pada bila-bila masa sahaja sama ada dari buruk kepada baik, juga dari baik kepada buruk. Begitu juga pandangan kita terhadap sesuatu perkara.

Mungkin kita rasakan pandangan kita benar pada masa ini kerana itulah yang kita terima dan belajar dari pengaruh serta suasana di sekeliling kita. Namun, siapa tahu, suatu hari nanti pandangan itu akan berubah dengan sebab pengaruh lain dan apa yang kita akan belajar dan terima. Semakin luas pandangan dan apa yang dia terima, semakin terbuka fikiran dan pandangan kita.

Lihatlah bagaimana akhlak dan adab seorang imam yang agung, Imam Syafei rahimahullah yang begitu tawaduk dan merendah diri walaupun ilmunya begitu luas: “Pandangan aku betul (setelah aku berijtihad) namun boleh jadi salah, manakala pandangan orang lain salah (pada padanganku) namun boleh jadi betul.”

Sibukkanlah diri kita menghitung dan bermuhasabah terhadap diri sendiri dari kita sibuk menghabiskan masa, malah turut mengundang dosa mencari dan menghebahkan aib-aib orang lain. Ingatlah kata-kata masyhur Saidina Umar al-Khattab: “Hitung dan hisablah diri kamu sebelum kamu dihitung dan dihisab (di hari akhirat).”

Tidaklah kita mahu bertemu ALLAH dengan hati yang sejahtera dan bersih dari segala penyakit hati? Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ash-Syu’ara’ ayat 87-89: “Dan janganlah Engkau hinakan daku pada manusia dibangkitkan hidup semula.

Hari yang padanya harta dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu pun. Kecuali orang-orang yang datang menghadap ALLAH dengan hati yang selamat dan sejahtera (dari segala penyakit hati)”.

Atau kita ingin datang menghadap ALLAH dengan hati yang busuk, penuh dengan kekotoran, penuh dengan hasad dendam, dengki-mendengki, penuh dengan sangka buruk terhadap Muslim yang lain?

Justeru, ayuh saudara-saudaraku seaqidah dan seagama, hentikanlah perdebatan emosi mengenai perkara khilafiah, perdebatan, dan perselisihan yang tidak menguntungkan Islam.

Lebih baik kita saling bermuafakat untuk usaha dakwah yang lebih besar bagi meratakan kefahaman Islam dalam masyarakat yang masih jauh dari memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenar.

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

0 Komentar untuk " Hentikan menghukum dan melabel Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ