Aminulrasyid – jangan kita lupa! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Aminulrasyid – jangan kita lupa!

PADA 26 April 2010, dua orang remaja telah membawa keluar kereta kakak kepada salah seorang daripada mereka. Mereka keluar malam itu untuk menonton perlawanan bola, tanpa pengetahuan keluarga. Mereka tidak ada lesen untuk memandu kereta tersebut kerana baru berumur 15 tahun.

Malam itu, hanya seorang sahaja, Muhamad Azamuddin, yang pulang ke rumah dan ke dakapan keluarga. Seorang lagi, Aminulrasyid Amzah telah ditembak mati oleh anggota polis yang bernama Jenain Subi. Kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid telah dikejar oleh polis dan Jenain telah menembak ke arah kereta tersebut dengan melepaskan 21 das tembakan menggunakan sub-machinegun Heckler & Koch MP5.

Salah satu daripada peluru tersebut terkena Aminulrasyid. Remaja itu mati dengan serta-merta.

Tetapi tragedi ini tidak berakhir dengan kematian Aminulrasyid. Ia tidak berakhir hanya dengan tangisan keluarga yang hilang seorang yang mereka sayangi. Tragedi ini berlarutan, apabila nama Aminulrasyid diseret melalui lumpur, digambarkan sebagai seorang penjenayah yang memang patut ditembak mati.

Apa jenayah besar yang dilakukan oleh Aminulrasyid? Benar, jika mengikut undang-undang dia tidak patut memandu kereta tersebut. Benar, mengikut rakan yang bersamanya, Azamuddin, kereta yang dipandu ada tercalar kereta yang terletak di sebelah kereta kakaknya semasa mereka menonton perlawanan bola. Benar, juga dikatakan bahawa kereta itu tercalar sebuah motosikal dalam perjalanan pulang. Benar juga, apabila dikejar polis, mereka patut berhenti, dan bukan memecut laju.

Mereka hanyalah remaja. Darah panas, tidak berfikir panjang dan mungkin sedikit bodoh. dua orang remaja.

Tetapi mereka digambarkan sebagai penjenayah. Ketua Polis Selangor pada ketika itu mengadakan sidang media. Antaranya, dikatakan bahawa kereta yang dipandu oleh Aminulrasyia cuba untuk ke belakang dan merempuh anggota polis. Juga dikatakan bahawa polis kononnya terjumpa sebilah parang di dalam kereta yang dipandu.

Sebelum apa-apa, pihak polis seperti sudah menghakimi dan membuat keputusan tentang apa yang berlaku. Sebelum siasatan dijalankan, pihak polis sudah memberi gambaran bahawa 21 das tembakan yang dikeluarkan oleh Jenain itu wajar dan tidak ada salahnya.

Apabila orang ramai riuh dan marah dengan apa yang berlaku, barulah kerajaan berbuat sesuatu. Sebuah panel khas ditubuhkan untuk memantau siasatan yang dijalankan oleh pihak polis dalam kes ini. Namun demikian, ia mengambil masa enam tahun untuk keluarga akhirnya mendapat keadilan buat Aminulrasyid.

Jenain didakwa di mahkamah atas pertuduhan homosid, tetapi akhirnya dia dilepaskan dan dibebaskan pada tahun 2012.

Baru-baru ini, mahkamah dalam tuntutan sivil keluarga Aminulrasyid telah mendapati bahawa penggunaan senjata oleh Jenain melanggar prosedur penggunaan senjata pihak polis sendiri.

Mahkamah mendapati memang tidak ada bukti yang dikemukakan tentang parang tersebut. Malahan Ketua Polis Selangor (pada ketika itu) telah didapati melakukan salah laku (misfeasance) dalam perjawatan awam.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan keluarga Aminulrasyid dibayar pampasan sebanyak RM150,000 bagi kesakitan dan penderitaan, RM150,000 sebagai ganti rugi teruk dan teladan, RM10,000 bagi perkabungan, RM4,800 bagi kos pengebumian dan RM100,000 bagi salah laku di perjawatan awam yang disebutkan di atas.

Sehingga kini, walaupun dengan keputusan mahkamah tersebut, tidak ada sesiapa daripada pihak kerajaan walaupun polis yang meminta maaf kepada keluarga Aminulrasyid atas tuduhan-tuduhan terhadap Aminulrasyid. Hanya Jenain sahaja yang meminta maaf kepada keluarga.

Tetapi ini bukan tentang apa yang Jenain buat sahaja. Ia juga tentang nama baik Aminulrasyid juga. Bukan Jenain seorang sahaja yang bersalah pada Aminulrasyid dan keluarga.

Tragedi yang menimpa Aminulrasyid tidak boleh dibiarkan berulang. Namun persoalannya, apakah yang sudah berubah sejak pemergiannya yang dapat menjamin bahawa sejarah tidak akan berulang?



* Penulis seorang peguam di firma guaman di Kuala Lumpur

0 Komentar untuk " Aminulrasyid – jangan kita lupa! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ