Dalam sejarah ternampak wajah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dalam sejarah ternampak wajah

SATU kawasan besar dalam sejarah dunia ialah di sebelah timur Laut Mediterranean. Selepas berakhirnya keagungan Greece (Yunani) dan Rome, Empayar Uthmaniah yang bertapak di Turki telah mula meletakkan asasnya di hujung abad ke-13. Ia berkembang hebat, mencakup negara-negara Eropah termasuk Greece (Yunani), Bulgaria, Hungary, negeri-negeri komponen bekas Yugoslavia, Albania hingga santak ke kota Vienna di Austria.

Di bumi Arab, ia melitupi Syria, Israel kini, Palestin, Lebanon, Iraq, Saudi Arabia, Mesir, dan negeri-negeri Arab lain di utara Afrika. Ketika berkunjung ke ibu kota Hungary, Budapest, tidak berapa lama dulu, saya kebetulan berjumpa beberapa orang Turki di tanah tinggi Buda di mana terdapat tinggalan-tinggalan zaman Uthmaniah.

“Lima ratus tahun dulu, kita menjajah tempat ini,” kata salah seorang daripada mereka. Fakta yang jelas dijelaskan lagi.

Di Sarajevo, Bosnia-Herzegovina, seorang wanita muda Islam mengingatkan bahawa orang-orang Islam di situ bukan berketurunan Arab. Mereka ialah orang Slavs yang memeluk Islam pada zaman Uthmaniah. Poket Muslimin yang khusus dan besar ialah di negara Albania, tidak jauh dari situ. Segalanya berlaku dalam tempoh 600 tahun – sehingga 1920-an. Selepas tamat Perang Dunia pertama, mulalah empayar Uthmaniah ini mengalami hakisan.

Mustafa Kamal, seorang pegawai tentera, merebut kuasa dan mengisytiharkan kemerdekaan Turki, atas nama Republik Turki. Namanya ditambahkan Ataturk, bererti Bapa Orang Turki.

Bukankah Turki tidak dijajah? Bukankah Empayar Uthmaniah itu empayar Turki? Benar, jawab Mustafa. “Yang dimaksudkan kemerdekaan ialah kemerdekaan dalam budaya, ekonomi, politik, pendidikan dan semua rantai yang mengikat rakyat Turki.”

Satu pertempuran besar di penghujung dinasti Uthmaniah ialah yang berlaku di Gallipoli 100 tahun dulu di kemuncak Perang Dunia I itu. Gallipoli terletak di hujung tanjung di barat daya Turki. Pertempuran antara Turki bersama Jerman, Austria dan Hungary di satu pihak, dan British, Perancis, Australia, India dan beberapa tanah jajahan British yang lain, di pihak lain, telah menuntut lebih setengah juta mangsa di kedua pihak.

Walaupun sekutu British-Perancis dianggap kalah teruk, namun pihak Turki dan sekutunya sama-sama mengalami jejasan hebat. Cetusan dari akibat itu amat pahit sekali. Ireland di barat England rasa disia-siakan British lalu menuntut dan mendapat kemerdekaan. Tentera dan rakyat Turki juga rasa terikat dan tertindas, mengakibatkan banyak kelemahan yang terserlah dalam perang itu. Tanah-tanah jajahannya di Eropah dan di bumi Arab terkeluar dari empayarnya, masing-masing mengisytiharkan kemerdekaan, satu persatu. Semuanya itu berlaku akibat gangguan Barat yang mengambil kesempatan daripada kelemahan Uthmaniah Turki. ‘Kemerdekaan’ simbolik yang diisytiharkan Mustafa Kamal Ataturk kekal sehingga sekarang sebagai Turki moden.

Tragedi Gallipoli terus diperingati oleh pihak-pihak yang terlibat. Yang paling serius mengenanginya ialah Australia. Beribu-ribu askarnya terkorban di situ. Acara peringatannya diadakan setiap tahun di Australia dan di tempat kejadian, Gallipoli. Menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri tempat pertempuran itu, iaitu tepian pantai yang dikelilingi banjaran bukit, di mana setengah juta orang tertewas, membawa saya kepada pertempuran kini di Syria dan Palestin. Belum begitu lama dulu, Iraq dan Libya telah mendahuluinya.

Saban waktu TV Barat membawa imej ke ruang tamu dan kamar kita tentang kehancuran dan kesedihan di sana. AS dan Barat sudah lama mengaku bahawa pemberontak-pemberontak itu mendapat bantuan wang dan  senjata daripada mereka. Amat jelas sekali. Tidak mungkin penganggur-penganggur boleh bertahan bertahun-tahun melawan tentera kerajaan tanpa bantuan begitu. Nyata sekali segala ini adalah ulangan nasib yang dialami Turki dulu. Perbezaannya hanya terdapat pada hakikat bahawa pemecahan kuasa Islam kini ialah untuk menyelamatkan Israel, biar apa pun sebab-sebab lahir yang dikemukakan. Ketika berkempen baru-baru ini, Hillary Clinton, calon Presiden AS, menegaskan sokongan sebenar beliau ialah kepada Israel, dan bukan kepada Palestin dan Arab. Yang lain-lainnya ialah permainan seni diplomasi saja.

Jumlah mangsa kematian dan kecederaan adalah angka saja kepada mereka. Sejarah telah menampakkan wajah perang berkali-kali. Tidak serik-serik. Yang dipentingkan adalah matlamat mereka.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan Anggota Kabinet

0 Komentar untuk " Dalam sejarah ternampak wajah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ