Tudung telekung kini pilihan wanita - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tudung telekung kini pilihan wanita

SEBELUM ini, telekung warna-warni menjadi trend dan pilihan ramai wanita untuk memilikinya.

Bagaimanapun, sejak dua tahun kebelakangan ini, tudung serba guna mula mendominasi pasaran, diinovasikan menjadi telekung di mana ciri-cirinya memudahkan wanita menggunakannya ketika menunaikan solat, terutama bagi mereka yang kerap melancong ke luar negara.

Tudung serba guna itu mempunyai saiz yang besar dan labuh, namun ia masih boleh digayakan sebagai tudung seterusnya menjadi telekung, dengan pelbagai pilihan warna dan jenama.

Lebih praktikal

Kakitangan awam, Norhafizah Sahar berkata, sejak tudung telekung berada di pasaran pada 2014, dia mula membelinya kerana tertarik dengan ciri-cirinya yang lebih praktikal dan memudahkannya untuk menunaikan solat ketika ke luar negara.

"Saya memang suka mengembara ke luar negara seperti Indonesia, Vietnam, Australia dan New Zealand. Jadi setiap kali ke sana, saya akan membawa tudung telekung ini kerana ia memudahkan.

"Kalau dulu, saya perlu membawa kain telekung, tetapi kini ia lebih mudah untuk bergerak kerana tudung telekung ini boleh digayakan jadi tudung dan ia boleh dilabuhkan menjadi telekung jika ingin menunaikan solat," katanya.

Bagi suri rumah, Syazana Che Sulaiman, sebelum ini, tudung telekung sukar didapati di pasaran, namun kini ia banyak dijual sama ada secara atas talian (online), mahupun di kedai.

"Saya melihat tudung ini dijual pada 2014 yang diperkenalkan oleh Nur's Collection. Kerana tertarik dengan ciri-cirinya yang unik dan memudahkan sebagai pakaian solat, saya terus membelinya.

"Bila berjalan jauh sama ada berkereta atau menaiki kapal terbang mahupun ketika berbuka puasa di luar, saya akan memakainya sebab ia memudahkan saya untuk menunaikan solat," katanya.

Syazana berkata, dia kini mempunyai tiga helai tudung telekung yang boleh digayakan ke mana-mana sahaja.

"Saya suka tudung telekung ini kerana kainnya selesa dan tidak panas walaupun dipakai di tempat tiada penghawa dingin.

"Saya juga tidak mementingkan jenama, asalkan ia selesa dan cantik," katanya.

Pensyarah, Fazilah Ramzan pula berkata, dia memiliki dua koleksi tudung telekung yang dibeli sekitar 2013 dan 2014.

"Masa tudung ini diperkenalkan, saya terus membelinya kerana reka bentuknya yang mudah dipakai sebagai tudung dan pada masa sama, boleh dijadikan telekung.

"Selain itu, material kain tudung telekung ini juga selesa ketika dipakai ke mana-mana sahaja," katanya.

Menurutnya, sejak ia menjadi trend, tudung telekung ini banyak dilihat dijual secara online.

Permintaan tinggi

Peniaga tudung telekung, Suhaini Mohd Yusof berkata, dia mula menghasilkan tudung telekung menerusi jenama Hanna by Nur's Collection pada 2013, sebagai alternatif kepada telekung travel yang ada di pasaran ketika itu.

"Kebanyakan telekung travel pada masa itu adalah pendek dan materialnya terlalu ringan. Jadi ramai orang kurang gemarkannya kerana ia mudah ditiup angin apabila dipakai ketika menunaikan solat," katanya.

Beliau yang juga Pengurus Nur's Collection berkata, pada masa itu, tidak ada lagi orang menjual tudung telekung.

"Jadi bila Nur's Collection mengeluarkan tudung Hanna, ramai yang membelinya. Pada awal pengeluarannya, kira-kira 100 tempahan diterima setiap hari.

"Namun, kini sejak ia menjadi trend, tempahan semakin berkurangan iaitu sebanyak 100 unit seminggu kerana pada masa sekarang, sudah ramai orang yang pandai menghasilkan tudung telekung dan menjualnya," katanya.

Walaupun permintaan agak berkurangan pada waktu ini, tetapi Suhaini berkata, Nur's Collection tidak putus-putus membekalkan tudung telekung itu.

"Ini kerana, kebanyakan peniaga dan pemborong mengambil bekalan mereka daripada kami. Kami turut membekalkan produk kami kepada pasaran dalam talian seperti Zalora dan Lazada.

"Selain itu, kami juga pernah membekalkannya kepada agensi pelancongan umrah selama setahun pada tahun lalu," katanya.

Menurutnya, tudung telekung Hanna by Nur's Collection itu diperbuat daripada kain lycra yang labuh seperti telekung biasa dan menutup dagu.

"Ia juga boleh dilipat pendek menjadi tudung. Setiap kali pelanggan beli, kami akan sertakan gambar tutorial cara pemakaian Hanna untuk digayakan sebagai tudung," katanya.

Tudung telekung Hanna by Nur's Collection itu mempunyai 20 warna yang dijual pada harga RM70 seunit.

Suhaini turut menerima tempahan tudung telekung mengikut kehendak dan warna pilihan pelanggan, pada harga yang berpatutan.

0 Komentar untuk " Tudung telekung kini pilihan wanita "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ