Kucing terlepas dari karung - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kucing terlepas dari karung

SAYA kini mendapat maklumat dari akhbar, majalah, buku, TV, radio dan internet. Namun dalam satu jangka masa tertentu, katalah seminggu atau 10 hari, saya terpaksa memilih mana satu media itu yang harus saya ikuti menurut keutamaan saya.

Jelas sekali sejak 10 hari dulu saya bertumpu kepada perihal yang menjadi tumpuan minat rakyat Malaysia, iaitu soal 1MDB dan Panama Papers (Warkah Panama) dan segala yang dicetuskan olehnya baik di dalam mahupun di luar negeri.

Di dalam negeri, kita sudah tahu apa yang diputuskan oleh PAC atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara. Di luar negeri kita telah berhadapan dengan maklumat yang telah dikeluarkan oleh London Stock Exchange (Bursa London) melalui Perkhidmatan Berita Cara-Aturan (Regulatory News Service) atau RNS.

Ia memberitakan bahawa IPIC, kependekan untuk International Petroleum Investment Corporation dan anak syarikatnya Aabar, yang ditubuhkan di Abu Dhabi, tidak ada kena mengena dengan Aabar Limited yang ditubuhkan di British Virgin Island.

Dalam hal ini, berita yang mengatakan sejumlah wang yang besar telah dipindahkan dari entiti-entiti dalaman 1MDB tidak diketahui oleh IPIC/Aabar. Berkaitan dengan ini, dikatakan ada dua warganegara Arab Saudi mempunyai kaitan dengan wang itu.

Mereka sedang disiasat. Apa yang dipercayai ialah mereka memasukkan lebih 100 juta dolar AS ke dalam akaun Aabar Limited. Dari situ, wang itu dipindahkan ke firma Red Granite di Amerika Syarikat.

Umum mengetahui bahawa firma Red Granite merupakan penerbit filem The Wolf of Wall Street tidak berapa lama dulu dengan harga lebih 100 juta dolar AS (kira-kira RM400 juta kini). Sumber-sumber laporan mengatakan ada pihak Arab Saudi yang menyumbang wang untuk membuat filem itu.

Sama ada pihak itu berkebetulan pihak sama yang sedang disiasat kerana kaitan dengan Aabar Limited itu belum dipastikan lagi. Tidak juga dipastikan benar atau tidak sumbangan itu berlaku. Bagaimanapun, Aabar Limited itu sebenarnya sudah dibubarkan dalam bulan Jun 2015, lebih kurang sembilan bulan dulu.

Ini boleh membuatkan penyiasatan dan penyelidikan ke atasnya menjadi sesuatu yang amat rumit.

Di sini, Tony Pua, ahli PAC dari DAP, memberitahu bahawa banyak dokumen tertentu yang dimintanya tidak diberi oleh pihak yang relevan. Kenyataan beliau ini dibuat selepas keputusan PAC ke atas 1MDB diumumkan. Ini mencerminkan bahawa keputusan PAC tidak memerlukan semua ahlinya bersetuju, malah ia hanya berdasarkan majoriti.

Ini bukan luar biasa. Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi negara ini, juga memutuskan sesuatu menurut majoriti. Hakikatnya ialah majoriti ahli PAC adalah terdiri daripada MP-MP  Barisan Nasional.

Dalam susun-atur dunia kini, ada negara-negara yang diberikan pengiktirafan tinggi dalam perihal amanah dan integriti. Yang selalu duduk nombor satu ialah Switzerland, diikuti oleh Sweden, Singapura, Norway dan Finland. Amerika Syarikat (AS), yang kini berpenduduk kira-kira 330 juta, sentiasa menyebut Switzerland sebagai contoh efisiensi dan kualiti amanah dan integriti.

Justeru hanya mereka yang terbukti mempunyai kualiti begitu yang layak dipilih mengetuai negara dan dilantik ke jawatan-jawatan penting, termasuk jawatan peguam negara. Ini bukan calang-calang jawatan. Ia boleh mendakwa ketua kerajaan/negara untuk diadilkan di mahkamah, seperti yang berlaku di AS, Israel, Indonesia, Filipina, Brazil, Peru dan Chile.

Dalam hal ini, saya agak teruja apabila mengetahui bahawa Peguam Negara Switzerland mengambil inisiatif menyiasat apa yang berlaku dalam 1MDB. Kenyataan yang biasa dikeluarkan apabila sesuatu penyiasatan dilancarkan ialah ‘mana-mana pihak yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehinggalah diputuskan sebaliknya’.

Bukan Switzerland saja, Singapura juga dikatakan turut serta. Kedua-duanya menjaga keamanahan dan integriti masing-masing, takut kalau-kalau berlaku penabungan wang dalam mana-mana bank di negara masing-masing terpalit dengan wang haram yang belum diproses dalam sistem percukaian yang halal dari segi undang-undang. Jika berlaku, ia dianggap satu jenayah.

Berkenaan Warkah Panama, senarai nama-nama pemegang akaun di Malaysia amat panjang sekali. Pada umumnya, mempunyai akaun seperti dalam Warkah Panama itu merujuk kepada usaha mengelakkan pendapatan dari dikenakan cukai.

Umpamanya, jika firma X membawa keuntungannya ke Malaysia, tempat asalnya, maka keuntungan itu pasti dicukai 20 atau 30 atau 40 peratus. Ertinya, keuntungan RM500 juta akan tinggal RM300 juta. Oleh itu mempunyai akaun seperti dalam Warkah Panama itu boleh mengelak pembayaran cukai begitu.

Menurut pada keadaan, ini mungkin tidak salah. Namun apabila terdapat badan pelaburan negara yang terbesar yang diketuai Perdana Menteri sendiri tersenarai dalam Warkah itu, tentunya rakyat berhak tahu kewajarannya.

* Tan Sri Adam Kadir mantan Presiden Senat dan Ahli Kabinet

0 Komentar untuk " Kucing terlepas dari karung "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ