Tutup, tetapi kena buka semula - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tutup, tetapi kena buka semula

*ALKISAH, maka berkatalah Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir bahawa sumbangan derma kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memang datang dari negara itu.

“Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.”

Tambah menteri itu lagi, kepada wartawan yang mengikuti PM ke Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul: “Justeru, setahu kami, isu itu ditutup.”

*ADA pun sekiranya mengikut arahan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, perihal duit Arab Saudi yang masuk akaun PM itu, memang tak perlu diungkit dan diselongkar lagi.

Lagi pun Apandi pada 26 Januari lalu telah membersihkan Najib dari sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion itu.

Hatta, kata yang empunya cerita, siasatan menunjukkan derma yang dimasukkan ke dalam akaun ialah RM2.08 bilion, pada 2013, dan RM2.03 bilion kemudian telah dipulangkan kepada penderma pada tahun yang sama.

Jadi, kata Peguam Negara, PM tidak bersalah, dan tutup kes.

*TETAPI, yang sepatutnya ditutup kini dibuka semula. Perihal PM dan 1MDB, tidak boleh tutup kes sebab Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), mahu perkara itu disiasat semula.

Maka Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan penyiasat Jumaat lepas untuk meneliti laporan PAC berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Bakar berkata, pasukan penyiasat yang diketuai beliau sendiri, akan menyiasat syarikat pelaburan strategik kerajaan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat unsur pecah amanah dan tipu.

Katanya beberapa saksi akan dipanggil, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif IMDB, Datuk Shahrul Azral Ibrahim Halmi bagi membantu siasatan. Tidak dipastikan siapa lagi akan dipanggil, tetapi yang pasti benda yang patut ditutup kini dibuka semula.

*MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersedia untuk berdebat dengan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengenai punca dan juga penyelesaian kepada kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaysia.

Tetapi Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tidak bersetuju berbahas secara terbuka berhubung prestasi buruk skuad kebangsaan ketika ini.

“Secara peribadi, saya tidak pandai berdebat... saya rasa pandangan TMJ disalah tafsir. FAM daripada dulu lagi terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak,” katanya.

Tidak kira perdebatan secara terbuka, menerusi TV, atau perbincangan dalam apa bentuk pun, apa yang disyorkan oleh TMJ itu memang kena pada ketikanya sekarang. Bola sepak kita semakin parah.

Jalan perlu dicari untuk memperbaiki mutu bola sepak yang terumbang-ambing. Sejak dulu kita sibuk dan bersemangat cakap fasal bola, tetapi hakikatnya tidak ada perubahan. Kita terus tercorot di tangga dunia.

*KETIKA bola sepak kebangsaan semakin tidak bermaya, orang kita lebih berminat membeli kelab bola sepak luar negara. Seperti yang dilaporkan media seorang rakyat Malaysia kini menjadi pemilik baharu FC Bari 1908 Itali.

Datuk Dr Noordin Ahmad, 56, seorang ahli perniagaan berkaitan minyak, berlian dan fesyen, telah membeli 50 peratus saham – pemilik terbesar – kelab tersebut, pada harga 12 juta euro @ RM53.159 juta.

Presidennya, Gianluca Paparesta, kini memegang 45 peratus manakala baki lima peratus lagi milik Cosmo Giancaspro. Siapa kata orang Melayu tidak ada duit. Syabas!

*AKHIR kalam, ketika panas membahang seluruh negara Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa masyarakat Islam agar tidak menggunakan khidmat bomoh untuk memanggil hujan.

“Syirik mempercayai kuasa selain ALLAH untuk menurunkan hujan,” tegas beliau ketika mengulas cadangan pihak tertentu supaya digunakan khidmat bomoh dalam keadaan kemarau sekarang.

Apa yang afdal, tambah beliau, adalah memohon terus kepada ALLAH dan berdoa yang sekiranya dilakukannya dengan ikhlas, nescaya ALLAH akan memakbulkan permintaan hamba-Nya.

Beliau mengesyorkan solat Istisqa dan doa beramai-ramai seperti yang diadakan selepas solat Jumaat sejak dua minggu lepas. Orang kita sudah terbiasa berbomoh-bomoh; musim kahwin bomoh juga digunakan untuk menghalang hujan!

0 Komentar untuk " Tutup, tetapi kena buka semula "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ