Produk szHara kukuh jenama di pasaran tempatan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Produk szHara kukuh jenama di pasaran tempatan

JUS limau hijau (kasturi dan nipis), antara minuman yang menjadi kegemaran ramai masyarakat di Malaysia kerana keenakan dan kesegaran rasanya.

Selain boleh menghilangkan dahaga, ia juga baik untuk kesihatan fizikal dan dalaman manusia.

Namun, tidak banyak syarikat yang menghasilkan limau hijau sebagai pati, kordial, jus minuman atau untuk kegunaan bahan masakan, dan dikomersialkan secara besar-besaran, walaupun permintaannya tinggi.

Kebanyakan produk sedia ada di pasaran menggunakan bahan tiruan dan buatan luar negara.

Melihat perkara itu, SZ Food & Beverage Industries, pembekal, pengedar dan pemborong pati, kordial dan jus milik Bumiputera, menerusi jenama szHara, mengambil peluang memasarkan produk minuman jus limau hijau menggunakan buah limau hijau segar dari ladang.

Ia diterajui Zaizah Ibrahim, selaku pengarah dan sepupunya, Suzana Zakaria yang juga Pengarah Operasi syarikat itu.

Zaizah berkata, mereka memasarkan produk szHara secara agresif sejak Oktober tahun lalu dan membuka gudang di Selayang, Kuala Lumpur.

"SZ Food & Beverage Industries merupakan anak syarikat Hamara Trading, yang bertanggungjawab dalam urusan pemasaran dan pengedaran. Kami memulakan operasi di Skudai, Johor pada 2010 dan mengusahakan pembuatan jus, pati, kordial dan minuman buah-buahan segar tempatan secara sederhana.

"Produk kami adalah pati, kordial dan jus limau hijau, pati durian belanda serta pati, kordial dan jus kedondong asam boi," katanya.

Menariknya, pati, kordial dan jus limau hijau yang dipasarkan syarikat itu, menggunakan 100 peratus perahan limau yang boleh digunakan sebagai bahan dalam masakan, minuman atau mencuci ayam, ikan, daging serta makanan laut, selain berfungsi untuk kesihatan diri.

Bagaimanapun, untuk produk pati durian belanda szHara, ia dihadkan pengedarannya kerana permintaannya terlalu tinggi di pasaran memandangkan khasiatnya yang banyak untuk kesihatan.

Miliki ladang sendiri

Semua produk yang dipasarkan SZ Food & Beverage Industries itu menggunakan buah-buahan segar yang ditanam sendiri di ladang mereka, Bifa Farms.

Suzana berkata, ladang itu adalah kepunyaan saudaranya, Rahmat Mian dan isterinya Habibah Yahya, yang diusahakan sejak 2005 bermula di Gelang Patah, Johor, di atas tanah seluas 50 ekar.

“Pada awalnya, kami menanam limau nipis dan kasturi, kedondong, kelapa serta durian belanda, secara kecil-kecilan di atas tanah ladang tersebut.

“Namun, kini kami mengusahakan tanaman di 1,000 ekar tanah ladang di Muadzam, Pahang dan Kota Tinggi, Johor selepas bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Jabatan Pertanian menerusi perladangan kontrak dan pajakan tanah," katanya.

Pada awal perniagaan mereka, kebanyakan hasil tanaman dari ladang tersebut itu dijual kepada pemborong, sebelum dijual di pasar sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Singapura.

Dalam masa sama, Suzana dan Rahmat turut menghasilkan jus minuman daripada hasil tanamannya, bermula dari pemilihan buah-buahan segar dari ladang, menggunakan sistem bioteknologi dan bebas daripada penggunaan bahan kimia.

Ia dibuat secara manual dan dihantar ke kedai runcit, restoran, kilang dan kantin sekolah di kawasan sekitar selatan serta mempunyai pelanggan tetap yang tersendiri.

“Kami tidak menyangka, produk szHara menerima maklum balas yang baik daripada pelanggan, walaupun pembungkusannya tidaklah begitu cantik ketika itu. Namun, mutu produk yang terbaik, dapat menepati cita rasa pengguna.

“Disebabkan permintaannya yang semakin meningkat, akhirnya selepas enam tahun beroperasi secara sederhana, kami buat keputusan untuk memasarkan produk berasaskan minuman secara besar-besaran kerana kami rasa sayang jika produk yang baik seperti ini tidak dapat dinikmati masyarakat di seluruh Malaysia,” katanya.

Dikomersialkan besar-besaran

Suzana dan Rahmat kemudian melakukan penambahbaikan terhadap produk szHara dengan menjalankan ujian makmal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mendapatkan sijil halal dan khidmat nasihat daripada Mardi bagi memastikan produk itu benar-benar berkualiti, sebelum dikomersialkan secara besar-besaran.

“Dari segi label produk, kami pergi ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mendapatkan nasihat mereka dalam menghasilkan label  pembungkusan yang menarik,” katanya.

Suzana berkata, produk szHara dibuat oleh syarikat induknya, kilang Hamara Trading yang terletak di Skudai dan Kempas, Johor untuk memproses produk perahan, pati, kordial dan jus.

“Insya-ALLAH, pada awal tahun depan ini, kami akan membuka sebuah lagi kilang baharu sama ada di Johor atau Kuala Lumpur bagi menampung permintaan produk yang semakin tinggi,” katanya.

Semua produk szHara yang dijual pada harga antara RM2.50 hingga RM40 kini boleh didapati di pasar raya besar Tesco bermula pertengahan bulan ini, selain Giant dan KK Mart dalam masa terdekat,

Ia juga boleh didapati di halal mart seperti Bismi Mart di Danau Kota, Setapak

Pada tahun ini, Suzana dan Zaizah merancang untuk membawa semua produk szHara di semua pasar raya di Malaysia seperti Mydin, NSK, The Store, Hero, Econsave dan 99 Speedmart dan lain-lain.

"Kami juga berharap jus limau dan kedondong asam boi kami dapat dijual di seluruh rangkaian kedai stesen minyak Petronas, Shell, Petron dan BHP," katanya.

Bakal tembusi pasaran antarabangsa

SZ Food & Beverage Industries kini dalam proses untuk mengeksport produk mereka ke pasaran China, Jepun dan India kerana permintaan tinggi di tiga negara tersebut.

Bagi merealisasikan tujuan itu, syarikat itu mengikuti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menerusi program padanan perniagaan.

Pada masa sama, Suzana berkata, syarikat itu kini dalam proses perbincangan dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Felcra Niaga Sdn Bhd untuk memasarkan produk ke Agrobazaar, Pasar Tani dan HeMART.

“Kami berharap segala urusan untuk menempatkan produk kami ke Agrobazaar, Pasar Tani dan He MART dipermudahkan,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini, szHARA bakal muncul dengan tiga produk baharu iaitu kordial roselle kedondong, jem roselle kedondong dan minuman daun durian belanda bercampur roselle yang berkhasiat untuk badan.

“Proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) ketiga-tiga produk ini sudah siap dan kini di peringkat akhir untuk mendapatkan sijil halal dan kelulusan lain. Di samping itu, Hamara Trading kini dalam proses untuk mendapat sijil HACCP dan ISO 2002," katanya.

Buka peluang kepada syarikat lain

Selain memasarkan produk sendiri, SZ Food & Beverage Industries turut membuka peluang kepada syarikat lain yang mahu menghasilkan jenama sendiri menerusi kontrak pengilangan (OEM).

Suzana berkata, syarikat itu masih membuka ruang untuk mereka yang berminat berbuat demikian.

“Buat masa ini, ada sebuah syarikat telah menyatakan persetujuannya untuk menjadi syarikat OEM yang pertama,” katanya.

Suzana dan Zaizah juga ingin membuka peluang kepada orang ramai tidak kira sama ada ibu tunggal, pelajar atau suri rumah untuk menjadi usahawan dengan menjual produk szHara tanpa modal.

“Namun, kami memilih mereka yang benar-benar minat berniaga dan memenuhi kriteria yang diinginkan.

“Setakat ini, kami berjaya melahirkan enam usahawan. Kami berharap lebih ramai lagi usahawan dapat dibangunkan pada masa akan datang,” katanya.

Mereka berharap agar SZ Food & Beverage Industries boleh berada sebaris dengan produk tempatan yang telah berjaya di dalam dan luar negara.

0 Komentar untuk " Produk szHara kukuh jenama di pasaran tempatan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ