Iltizam perkasa usahawan Bumiputera - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Iltizam perkasa usahawan Bumiputera

EKUITI Nasional Berhad (Ekuinas) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Iltizam adalah komitmen untuk memperkasakan usahawan Bumiputera melalui keupayaan kapasiti dan mencetus inspirasi kumpulan sasaran untuk merealisasikan potensi serta impian mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Yasir Arafat Syed Abdul Kadir berkata, Iltizam dipacu tiga perkara utama iaitu Keusahawanan, Pendidikan dan Komuniti dan menyasarkan untuk membantu Bumiputera  merealisasikan dan menaiktarafkan kehidupan dan sosioekonomi mereka.

Menurutnya, setakat ini, kira-kira RM13.5 juta dilaburkan melalui pelbagai saluran CSR melibatkan tiga perkara asas tersebut, Ekuinas komited untuk membelanjakan RM18 juta dalam tempoh tiga tahun di bawah Iltizam.

“Melalui Iltizam, Ekuinas membantu perniagaan mikro yang masih belum memenuhi kriteria pelaburan untuk syarikat sederhana yang berpotensi dan meningkatkan daya saing.

“Melalui pendidikan dan peningkatan kemahiran, Ekuinas membantu pelajar  berpotensi tinggi dan graduan dengan menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti serta latihan para graduan Bumiputera  supaya menjadi lebih kompetitif,” katanya.

Tambahnya, Iltizam bertujuan meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah dan menyokong, menggalakkan serta memelihara seni budaya warisan secara mampan.

“Bagi 2016, Ekuinas memperuntukkan lebih daripada RM5 juta untuk Pendidikan, RM500,000 untuk Keusahawan dan RM200,000 untuk Komuniti,” katanya.

Syed Yasir Arafat berkata, terdapat ramai usahawan Bumiputera berpotensi dan mempunyai idea bernas untuk melangkah jauh dalam dunia perniagaan.

“Komitmen kami dalam membantu masyarakat memenuhi mandat korporat Ekuinas. Melalui Iltizam, usahawan terpilih boleh mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik. Usahawan dari perusahaan mikro dan kecil yang berpotensi mungkin tidak berpeluang untuk menjana dana dan kewangan yang diperlukan,” katanya.

Katanya, Iltizam membantu golongan usahawan yang berpotensi tinggi, kemahiran perniagaan terhad dan didorong pihak pengurusan yang dinamik.

“Ekuinas tidak berikan modal kepada usahawan terpilih, namun memberikan sumbangan dalam bentuk kepakaran dalam perundingan pengurusan, perakaunan dan khidmat yang dapat mengurangkan jurang,” katanya.

Setakat ini, di bawah Program Mentor Keusahawanan, Ekuinas memilih Bibah Songket dan Al Quds Travel sebagai syarikat perintis bagi program Ekuinas CSR pada 2013.

“Beberapa staf Ekuinas menawarkan diri membantu mengukuhkan operasi Bibah Songket dalam bidang kewangan, inventori, jualan dan pemasaran, dan  dalam meningkatkan profil syarikat melalui aktiviti media.

“Pada akhir tempoh program tersebut, pernigaan Bibah Songket ini meningkat dengan ketara. Syarikat itu mengambil pendekatan baru dari segi penjenamaan dan pemasaran. Ekuinas juga membantu meningkatkan profil syarikat melalui penglibatan media yang lebih proaktif.

Selain itu, agensi pelancongan Al-Quds Travel adalah pakar pelancongan Islam bagi destinasi domestik dan antarabangsa.

“Di bawah Program Mentor Keusahawan itu, Ekuinas melaksanakan sistem teknologi maklumat menyeluruh untuk mengukuhkan pengurusan kewangan syarikat dan menyokong keperluan perniagaan yang semakin berkembang,” katanya.

Katanya, pada 2015, Ekuinas melantik seorang pakar perniagaan sosial strategik mengkaji dan membangunkan kapasiti dan keupayaan Fatihah Frozen Food meliputi kecekapan kos, strategi pemasaran dan sumber.

“Ekuinas juga menjadikan perintis fesyen Muslimah, EDZ iaitu bergabung dengan sebuah syarikat perunding  membangunkan pelan strategik pertumbuhan EDZ termasuk meningkatkan jualan dan pemasaran, meningkatkan jualan dalam talian dan kemasukan ke segmen baharu," katanya.

Bantu bidang pendidikan

Syed Yasir Arafat berkata, di bawah Pendidikan, Iltizam memberi tumpuan kepada pelaburan dalam pendidikan dan modal insan yang penting dalam memenuhi mandat Ekuinas mewujudkan generasi akan datang melalui dua program iaitu Program Perkembangan Pendidikan dan Program Pembangunan Profesional.

“Pelaburan dalam pendidikan menyediakan peluang membantu pelajar Bumiputera menjadi individu berkelayakan dan mempunyai pengetahuan serta kemahiran yang menjamin peluang pekerjaan baik.

“Di bawah Program Perkembangan Pendidikan, Ekuinas menawarkan peluang kepada golongan muda berpotensi tinggi untuk cemerlang. Ekuinas membantu pelajar layak merealisasikan potensi penuh mereka dengan menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) dan Tabung Pendidikan ILMU,” katanya.

Beliau berkata, Ekuinas memberi sokongan kewangan kepada YPPB selama tiga tahun di mana YPPB memperjuangkan pendidikan akademik dan vokasional dalam pelbagai program mereka.

“Ekuinas menaja pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berpotensi tinggi ke institusi tinggi di bawah ILMU Education Group (ILMU) dan lain-lain di bawah Program Keupayaan Tunas sepanjang 2012 –2014. Antaranya ialah Unitar dan Kuala Lumpur Metropolitan Universiti College.

“Ekuinas menjangkakan menaja pelajar lepasan SPM yang berpotensi tinggi ke institusi ILMU bagi tempoh lima tahun akan datang melalui pembiayaan yuran pengajian dan elaun. Iltizam juga mengendalikan Program Pembangunan Profesional, program berstruktur yang menyasarkan graduan dari keluarga berpendapatan sederhana, baik di bandar mahupun luar bandar,” katanya.

Tambahnya, program itu menawarkan pengalaman bekerja, pembangunan kepimpinan peribadi, kursus bahasa Inggeris dan komunikasi yang diperlukan supaya graduan meningkatkan kebolehan pekerjaan mereka menerusi pengalaman bekerja di Ekuinas dan industri berkaitan.

“Pada 2015 , program ini menerima sebanyak 1,500 permohonan, seramai 120 disenarai pendek bagi Pusat Penilaian. Seramai 59 terpilih dan ditawarkan penempatan dalam syarikat-syarikat portfolio Ekuinas. Sasaran Iltizam adalah  memastikan pengambilan 75 pelatih siswazah bagi 2016,” katanya.

Sesiapa yang berminat menyertai program itu hubungi Ekuinas pengambilan 2016/2017 kini dibuka hingga 17 April.

Memartabatkan warisan

Di bawah program CSR Komuniti, menerusi Program Komuniti Lestari, Iltizam memberi tumpuan kepada pelbagai geran bagi menyokong, menggalakkan dan memelihara seni, budaya dan warisan, serta membantu golongan berpendapatan rendah secara mampan.

“Melalui Program Komuniti Lestari, ia membantu mereka yang berpendapatan rendah meningkatkan kualiti hidup.

“Sebagai contoh , Ekuinas membantu Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan di Damansara Perdana mewujudkan persekitaran kondusif untuk pembelajaran. Anak-anak masyarakat Orang Asli boleh mencapai potensi sebenar dan akhirnya meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Selain itu, pada 2014, Ekuinas menyokong kegiatan Pusaka memelihara seni buatan Rebana Ubi. Dengan bekerjasama dengan Pusaka, Ekuinas membantu memastikan kemampanan tradisi Rebana Ubi melalui pemulihan empat buah Rebana berusia 150 tahun dan mengadakan bengkel latihan bagi perantis baharu.

“Disamping itu, dokumentasi projek dan  peningkatan bilangan persembahan di Kelantan dan di tempat lain memastikan kearifan lokal dan warisan ini terus berkekalan. Kesenian dan kebudayaan membina semangat jati diri dan kekuatan,''  katanya.

0 Komentar untuk " Iltizam perkasa usahawan Bumiputera "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ