Modal kecil jana pendapatan lumayan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Modal kecil jana pendapatan lumayan

JENAMA terkenal perniagaan perkhidmatan penghantaran lauk pauk sejuk beku tradisional Melayu dan Barat serta menu pantang ini pastinya mampu menarik selera orang ramai untuk kembali membelinya semula.

Pengasas Foodzyla Industries (M) Sdn Bhd (Foodzyla), Norshazilawati Mohd Rodzi merupakan wanita luar biasa yang mampu menjana pendapatan lumayan hanya dari dapur kecilnya sahaja tanpa mempunyai restoran mewah mahupun kafe biasa.

Bermodalkan RM500, Norshazilawati nekad memulakan perniagaan makanan setelah perniagaan menjual tilam kekabu secara atas talian yang diusahakannya menghadapi masalah.

“Perniagaan saya menghadapi masalah kerana pembekal tidak dapat menghantar tempahan yang dibuat. Pada masa sama, saya tidak dapat mengambil tilam tersebut kerana suami terlibat dengan kemalangan jalan raya.

“Ia adalah ujian besar kepada saya kerana selama ini saya menjalankan perniagaan tilam secara kecil-kecilan sahaja dan tidak mempunyai pekerjaan lain,” katanya.

Seingatnya, pada 2013, ketika melayari laman sosialnya, dia sekadar mencuba dengan bertanyakan kepada kenalan sama ada mahu menempah menu berbuka puasa yang akan dihantar selepas dua hari.

“Ramai yang menempah tetapi saya hanya mengambil lima tempahan sahaja kerana tidak yakin untuk memenuhi permintaan yang banyak kerana perlu menghantar sebelum berbuka puasa.

“Alhamdulillah, saya menyediakan menu seperti ayam masak merah, ikan tongkol asam pedas, daging lada hitam, sayur campur dan sambal belacan serta ulam-ulaman. Saya menghantar kepada pelanggan di sekitar Kajang sahaja kerana berdekatan dengan rumah saya,” katanya.

Walaupun ia agak sukar pada mulanya, namun Norshazilawati bersyukur, dalam masa dua minggu, dia menerima tempahan semakin meningkat dan semakin dikenali.

“Kebanyakan tempahan saya adalah mereka yang berkeluarga dan tidak sempat memasak untuk berbuka puasa. Saya gembira apabila mereka menempah kembali setiap masakan dan tidak kisah walaupun saya berbuka puasa di jalanan kerana tidak sempat pulang ke rumah tepat pada waktu berbuka puasa,” katanya.

Tempahan semakin meningkat

Selepas Aidilfitri 2013, tempahan yang diterima semakin meningkat, malah dia menyediakan makanan Barat iaitu Swedish Meat Ball ketika bazar Ramadhan.

“Saya hanya memasak di rumah dan menghantar kepada pelanggan mengikut masa yang ditetapkan mereka. Lebihan makanan saya akan habiskan dan di situ saya melihat ada yang tidak kena terutamanya melibatkan kualiti makanan.

“Saya merasainya sendiri, makanan yang dimakan selepas empat jam, dimana kualiti makanan tersebut tidak sama dengan makanan yang baru dimasak, antaranya sayur layu. Saya juga berkongsi pendapat pelanggan mengenai kualiti masakan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tidak menang tangan menerima tempahan makanan dan dia memvariasikan makanannya.

“Ketika itu lebihan makanan saya akan sejuk bekukan kurang dari 2 jam selepas dimasak untuk dimakan pada sebelah malamnya. Saya dapati ia menunjukkan kualiti makanan yang baik dan rasa masih sama seperti baru dimasak.

“Saya juga membuat kajian dan melakukan pencarian di internet mengenai makanan sejuk beku. Saya dapati ia sangat popular di luar negara, dari situ timbul idea menjalankan perniagaan makanan sejuk beku,” katanya.

Walaupun makanan sejuk beku masih baru di Malaysia, Foodzyla mendapat tempahan yang banyak dari seluruh Malaysia kerana dia memasarkannya melalui internet.

“Saya terkejut, permintaan makanan sejuk beku mendapat permintaan tinggi. Saya berterima kasih kepada suami kerana membeli peti sejuk beku ‘second hand’ untuk menempatkan makanan yang dimasak dengan harga RM300,” katanya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ibu kepada dua anak ini yakin dengan perniagaan yang dijalankan dan melihat potensi perniagaan tersebut akan mendapat permintaan tinggi kerana makanan adalah satu keperluan bagi sebuah keluarga.

“Bagi wanita berkerjaya yang mahukan makanan terbaik kepada anak mereka, ia adalah kekangan untuk memasak kerana kesuntukan masa dan penat bekerja seharian di pejabat.

“Untuk membeli di gerai, bimbang ia akan ada perisa tambahan. Saya mahu memenuhi kehendak mereka dengan makanan sejuk beku sebagai pilihan, mereka hanya perlu memanaskannya sahaja,” katanya yang berasal dari Perak.

40 jenis lauk, 20 menu pantang

Norshazilawati, 31, memanfaatkan apa yang dipelajari ketika belajar di UiTM dengan sebaiknya dan mengaplikasikannya dalam perniagaannya.

“Saya menyediakan lauk sejuk beku siap masak yang boleh dihidangkan untuk dua atau tiga orang. Kami menyediakan 40 jenis lauk makanan tradisional dan Barat serta lebih 20 lauk wanita berpantang.

“Antara masakan yang disediakan ialah creamy butter chicken, tongkol asam pedas, kurma ayam, ayam masak merah, daging blackpaper, ayam masak merah, ayam halia, kari ayam, daging salai masak lemak, tetel daging asam pedas dan cendawan masak cili api,” katanya.

Menariknya, Foodzyla juga menyediakan kambing bakar sejuk beku, Swedish meatball, spagetti dan tradisi premium iaitu patin tempoyak Temerloh, talapia salai masak cili api dan ikan sepat lemak nenas.

Katanya, masakannya tidak mempunyai ajinamoto, bahan pengawet dan pewarna dan tahan lebih setahun dalam keadaan sejuk beku.

“Bagi memastikan makanan sedap dan pembayaran pelanggan berbaloi, saya sendiri akan ke pasar di Teluk Intan untuk mendapatkan ikan sungai manakala ke Hutan Melintang untuk mendapatkan ikan segar.

“Saya sanggup tunggu di pasar jam 7 pagi untuk melihat sendiri ikan yang baru naik dari laut. Saya tidak mahu ikan lama kerana ia tidak segar,” katanya.

Tambahnya, setiap hari, dia memerlukan 20 kilogram daging, 20 ekor ayam dan 20 kilogram ikan untuk dimasak bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya menerima 200 tempahan pada setiap hari dan lebih 50 makanan pantang. Saya perlu menjaga kualiti makanan supaya pelanggan berpuas hati,” katanya.

Hikmah setiap cabaran

Walaupun masih 'hijau' dalam perniagaan makanan, Norshazilawati tidak terlepas menghadapi cabaran.

“Saya menerima cabaran tersebut dengan hati yang terbuka kerana saya yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya pernah berpanas dan berhujan sewaktu menghantar makanan, kena marah kerana lewat.

“Semuanya tidak dipandang remeh dan penambahbaikan dilakukan kerana ia beri motivasi kepada saya,” ujarnya.

Katanya, pengurusan masa penting kepadanya kerana perlu memasak seawal 7 pagi, mengambil tempahan dan menghantar pada hari yang sama.

“Semuanya perlukan ketelitian dan kebersihan amat diutamakan. Saya akan memasak sendiri dan dibantu tiga pekerja dan dua penghantar makanan.

“Saya menggunakan perkhidmatan bas dan ejen untuk menghantar tempahan dari luar Lembah Klang. Alhamdulillah, Foodzyla juga telah mempunyai stokis dan masih memerlukan ejen dari seluruh negara bagi mereka yang berminat,” jelasnya.

Katanya, pengalaman tidak boleh dilupakan ialah dapurnya terbakar, namun dia bersyukur tidak mengalami kecederaan.

Tempahan ke luar negara

Menurut Norshazilawati, Foodzyla kini mempunyai ‘central kitchen’ yang lebih selesa di Saujana Impian, Kajang.

“Saya melaburkan kira-kira RM15,000 untuk menyewa kedai dan dijadikan central kitchen. Ia lebih selesa untuk memasak dan menempatkan lebih lima peti sejuk beku,” katanya.

Dia bersyukur kerana Foodzyla bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah ia terkenal di luar negara.

“Kami menerima tempahan dari beberapa negara yang mahu masakan Melayu. Malah, Foodzyla juga menjadi pilihan untuk dibawa melancong.

“Kebanyakan pelanggan kami menempah Foodzyla untuk dibawa ketika ke Korea, Jepun, Vietnam, Indonesia, Paris dan negara-negara lain. Kini Foodzyla juga boleh didapati di Halal Mart di Putrajaya dan Shah Alam,” katanya.

Ditanya mengenai persaingan pengusaha lain dalam bidang makanan sejuk beku dan panas, Norshazilawati yakin dengan masakannya yang diusahakan dengan sepenuh hati.

Katanya, resipi adalah olahan sendiri mengikut cita rasanya dan yakin ia dapat menambat hati pelanggannya.

“Bagi memantapkan lagi perniagaan ini, saya mahu membuka kafe yang lebih selesa dalam masa tiga tahun akan datang. Saya juga akan melanjutkan pelajaran dalam perniagaan ini kerana mahu memberikan yang terbaik kepada pelanggan saya,” katanya.

Foodzyla menerima tempahan setiap hari, sesiapa yang berminat boleh menghubungi 0196624266 dan 03- 87418295.

Orang ramai juga boleh melayari laman web www.foodzyladelivery.com dan laman sosial Facebook Foodzyla Brand dan Instagram @foodzyla untuk melihat pelbagai lebih 60 jenis lauk-pauk yang pastinya menepati cita rasa semua.

0 Komentar untuk " Modal kecil jana pendapatan lumayan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ