DeqYoung luaskan pasaran - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

DeqYoung luaskan pasaran

DEQYOUNG Sdn Bhd (DeqYoung), pengeluar dan pembekal kacang bersalut milik Bumiputera, memilih Brunei, Thailand dan China untuk meluaskan pasarannya pada tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Norhayati Awalludin berkata, ia disebabkan permintaan tinggi produk snek bagi kategori kacang di tiga negara itu.

"Kami pernah menyertai program Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) tahun lalu dan jumpa ramai pembeli dari negara-negara itu yang meminati kacang DeqYoung.

"Terbaharu, menerusi Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), produk kacang kami dibawa ke Yiwu, China. Jadi pembeli dari China memang sudah sedia ada," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Norhayati berkata, sejak akhir 2014, kacang bersalut jenama DeqYoung sudah menembusi pasaran Singapura melalui Agro Bazaar milik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), selain Arab Saudi dan Dubai, pada tahun lalu.

Beliau berkata, jenama DeqYoung terkenal dengan slogan Produk Warisan Ibunda Sejak 1990, kerana mengekalkan resipi keluarga.

"Produk kacang ini pada asalnya diusahakan ibu saya, sebelum mengambil alihnya pada 2012 dan mengkomersialkan secara besar-besaran di pasaran tempatan dan luar negara.

"Pada awalnya, produk kami hanya kacang bersalut asli yang kemudian diinovasi menjadi kacang bersalut madu, istimewa dan pedas," katanya.

Menurutnya, produk keluaran syarikat itu juga bakal memasuki pasar raya Aeon pada Jun ini.

"Sebelum ini, produk DeqYoung sudah memasuki Tesco, Giant, Aeon Big dan Mydin di seluruh negara, selain dijual menerusi ejen yang dilantik," katanya.

Pada tahun ini, beliau berkata, DeqYoung akan mengeluarkan produk baharu iaitu kacang bersalut keju dan ayam yang kini dalam peringkat akhir, sebelum dipasarkan.

"Kami dalam proses mendapatkan sijil halal dan audit selepas menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang mengambil masa setahun bagi memastikan kacang itu terus kekal kerangupannya serta berkualiti.

"Pada masa akan datang, kami bercadang untuk mempelbagaikan pengeluaran produk kacang bersalut antaranya dengan salutan durian dan lain-lain. Namun, semuanya bergantung kepada permintaan tempatan dan juga eksport," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan DeqYoung, Adi Amir Abd Aziz berkata, sejak syarikat ditubuhkan pada 2011, jualan syarikat meningkat sebanyak 100 peratus setiap tahun.

"Kami yakin prestasi jualan akan kekal, didorong oleh pertambahan pasar raya yang menjual produk DeqYoung tahun ini," katanya.

Jenama DeqYoung baru-baru ini diiktiraf antara 20 pembekal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Tesco terbaik bagi tahun 2015 dan 2016.

0 Komentar untuk " DeqYoung luaskan pasaran "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ