Probacto 5 bakal terokai pasaran luar negara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Probacto 5 bakal terokai pasaran luar negara

SYARIKAT pengeluar makanan tambahan milik Bumiputera, Hafiz Supercare Trading menerusi jenama Probacto 5 mahu mengukuhkan jenama syarikatnya dalam tempoh dua tahun sebelum ke pasaran luar negara.

Penolong Pengurusnya, Mohamed Hafiz Mohamed Yunos berkata, syarikatnya memerlukan masa dua tahun untuk membina jenama memandangkan produknya baru sahaja berada di pasaran pada Ogos tahun lalu.

“Kami akan mula lebih agresif tahun ini dari segi pemasaran dan promosi agar jenama kami dikenali ramai.

“Hanya selepas itu, kami akan meneroka pasaran luar negara terutamanya negara Asia seperti Brunei, Indonesia dan Singapura,” katanya yang turut melaburkan RM15,000 sebagai modal permulaan.

Menurutnya, sejak berada di pasaran lima bulan lalu, jualan produknya semakin meningkat kepada RM4,000 sebulan bersamaan 80 botol.

Katanya, pihaknya menjangkakan peningkatan yang positif tahun ini dengan menyasarkan jualan sehingga RM8,000 dengan 160 botol sebulan.

Mohamed Hafiz berkata, jualan produknya tertumpu kepada jualan dalam talian (online) dan ejen. Bagaimanapun, kebanyakan jualan disumbangkan menerusi jualan online.

“Setakat ini, kami hanya mempunyai empat ejen dan mahu menambah sekurang-kurangnya seorang ejen di setiap negeri,” katanya.

Selain itu,  Probacto 5 juga telah berada di beberapa kedai keperluan bayi seperti Tateh (tiga cawangan) serta Lunatots (satu cawangan) dan bakal memasuki semua cawangan Lunatots dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Mohamed Hafiz berkata, syarikatnya juga menyasarkan untuk memasuki farmasi dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Menerusi penerokaan pasaran baharu ini, kami jangka dapat meningkatkan jualan sehingga 50 peratus,” katanya.

Probacto 5 adalah makanan tambahan dalam bentuk tablet kunyahan bagi membantu proses pencernaan, boleh dimakan oleh kanak-kanak berusia seawal satu tahun sehingga golongan dewasa.

Mengulas lanjut berhubung produk itu, Mohamed Hafiz berkata, Probacto 5 mengandungi lima jenis bakteria baik dan 17 bahan lain di dalam satu produk, antaranya vitamin c, delima, pegaga, kranberi, kurma, kismis, madu dan Gingko Biloba.

Probacto 5 dijual dengan harga pasaran serendah RM50 (60 biji).

0 Komentar untuk " Probacto 5 bakal terokai pasaran luar negara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ