Menyantuni dialog bersama Dr Zakir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menyantuni dialog bersama Dr Zakir

BEBERAPA kalangan orang Islam dan bukan Islam menghubungi saya menyatakan keresahan mereka terhadap kunjungan Dr Zakir Naik ke Malaysia mengadakan siri ceramah perbandingan agama di beberapa tempat di Malaysia. Saya agak terkejut dengan perkembangan ini kerana mereka yang menghubungi saya kenali sebagai ‘pejuang kebebasan’.

Dalam banyak keadaan mereka menganjurkan kebebasan bersuara menyarankan semua pihak berlapang dada dan berdialog secara ilmiah.

Saya ingin tegaskan di sini saya bukanlah lulusan agama dan tidak begitu mahir dalam selok-belok fiqh dan usul fiqh. Apatah lagi mahu mengeluarkan hukum atau menghukum seseorang dengan pelbagai label. Saya cuma sekadar seorang peguam yang bercita-cita mengarusperdanakan syariah dalam sistem perundangan negara.

Saya juga tidak terlatih dalam ilmu perbandingan agama walaupun mengakui ada mempelajari subjek perbandingan agama di universiti di peringkat ijazah sarjana muda sebagai salah satu subjek elektif. Semasa mempelajari perbandingan agama di universiti apa yang menarik perhatian saya bukanlah perbezaan antara agama-agama tetapi persamaan yang wujud antara agama-agama tersebut yang tidak disedari khalayak awam.

Berbalik kepada isu ceramah Dr Zakir, melalui pelbagai video di internet saya dapati Dr Zakir adalah seorang yang sangat berilmu dalam bidang perbandingan agama. Beliau bukan sahaja mengkaji al-Quran malah kitab-kitab agama lain pun beliau menguasainya dengan baik. Disebabkan itu beliau mampu berhujah dengan orang Islam dan bukan Islam. Tidak kurang juga ada yang memeluk Islam setelah mendengar ceramah beliau.

Mungkin personaliti ini bukan seorang ulama dalam erti kata mempunyai kelulusan agama secara formal, sama ada di India atau mana-mana negara Arab, namun keilmuan beliau dalam bidang perbandingan agama tidak boleh dinafikan.

Saya menyarankan rakan-rakan bukan Islam saya agar berdialog dengan beliau mengenai perbandingan agama antara Islam dan agama-agama lain. Berlapang dadalah mencari kebenaran, panggillah mereka yang alim dalam agama lain supaya berdialog dengan beliau. Mendesak supaya ceramah beliau dibatalkan bukanlah suatu yang baik dan hanya menzahirkan mentaliti minda tertawan serta takut dengan bayangan sendiri.

Saya menyarankan agar dialog antara agama ini diperbanyakkan lagi dengan syarat ia mestilah disulami dengan adab dan sopan-santun tidak mengeji agama lain dan tidak pula memperlekeh. Berdialoglah dengan menggunakan sumber-sumber agama masing-masing dan bertindaklah secara ilmiah demi mencapai sebuah kebenaran. Bukalah minda dan hati agar perbincangan secara beradab dapat dilakukan dengan baik.

Bukan sahaja kedua belah pihak perlu menyantuni antara satu sama lain, malah penting juga penyokong antara kedua belah pihak tidak melampaui garisan adab supaya tidak berlaku peristiwa yang tidak baik atau menggores hati mana-mana pihak.

Saya percaya jika perbincangan ilmiah boleh dilakukan di negara lain dengan baik sudah pasti tidak ada masalah ia berlangsung dengan harmoni di Malaysia. Jika di India yang merupakan negara asal Dr Zakir pun ia tidak mencetuskan masalah, rakyat Malaysia mesti membuktikan Malaysia adalah tempat terbaik perbincangan ilmiah. India yang terkenal dengan pelbagai peristiwa perbalahan antara masyarakat Hindu dan Islam itu pun boleh mengadakan ceramah Dr Zakir dengan baik, inikan Malaysia yang tidak pernah mencatat peristiwa hitam seperti itu.

Saya percaya Dr Zakir tidak pernah mahu mempersenda atau memperlekeh agama lain. Apa yang beliau sampaikan adalah daripada rujukan beliau kepada kitab-kitab agama lain. Jika rujukan beliau salah maka perbetulkanlah beliau.

Dalam kalangan orang Islam pula ada yang mempertikai kerana Dr Zakir dikatakan seorang Wahabi atau sebagainya. Saya percaya apa yang disampaikan oleh Dr Zakir bukanlah mengenai fiqh atau usul fiqh ataupun memberi hukum tertentu dalam permasalahan tertentu. Kepakaran beliau adalah dalam bidang perbandingan agama. Oleh yang demikian beliau mungkin akan mengehadkan ceramah beliau dalam bidang kepakarannya sahaja dan tidak timbul isu mazhab anutan beliau kalaupun benar.

Dr Zakir juga didakwa telah diharamkan daripada memasuki beberapa negara lain kerana telah disenaraihitamkan. Dasar imigresen sesebuah negara mungkin berbeza dengan negara yang lain. Saya tidak berhajat untuk mengulas isu ini kerana ia merupakan hak sesebuah negara berdaulat untuk menggarap dasar imigresennya sendiri.

Kesimpulannya saya sekali lagi mengajak semua yang tidak berpuashati dengan siri ceramah Dr Zakir agar berdialog dengan beliau secara langsung. Mendesak membatalkan ceramah beliau akan hanya menimbulkan persepsi bahawa kita mengesampingkan kebebasan asasi iaitu hak bersuara.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

0 Komentar untuk " Menyantuni dialog bersama Dr Zakir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ