Zakir Naik ikon pendakwah sederhana - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Zakir Naik ikon pendakwah sederhana

KECOH seketika di ruang-ruang media sosial apabila Ketua Polis Negara umumkan penarikan balik kebenaran untuk Dr Zakir Naik, pendakwah antarabangsa tersohor daripada meneruskan ceramahnya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Ini berikutan laporan polis yang dibuat oleh segelintir masyarakat Hindu yang membantah ceramah Dr Zakir yang diberikan tajuk oleh penganjur iaitu, The Similarities Between Islam and Hindu.

Tampak secara zahirnya tiada apa yang tidak kena dengan tajuk yang ingin dibincangkan di sebuah universiti yang secara tradisinya telah banyak membahaskan aspek-aspek perbandingan agama secara sihat dan ilmiah. Namun apabila ada pihak yang cuba mencetuskan polemik dan menimbulkan spekulasi, maka tentulah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara bertanggungjawab perlu melakukan tindakan pencegahan awal supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan menjaga keharmonian bahkan diiktiraf antara institusi polis yang paling cekap di dunia, PDRM tentunya  ada maklumat sahih dan lengkap bagi membuat apa jua keputusan dan tindakan dalam menangani isu yang boleh mengganggu-gugat keamanan negara.

Penulis sedikit kecewa dengan pelbagai kata nista dan kejian daripada segelintir masyarakat Islam yang sewenang-wenangnya dilontarkan kepada PDRM. Lebih menyedihkan apabila tergamak membuat pelbagai bentuk tohmahan dan fitnah seolah-olah kerajaan sengaja menyekat agenda dakwah di negara ini.

Hakikatnya sebagai sebuah negara Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 3, Malaysia tidak pernah sesekali menyekat perkembangan dakwah Islamiah di negara ini. Malah kerajaan sejak merdeka lagi amat terkenal sebagai sebuah kerajaan yang amat menyantuni bahkan begitu serius dalam menggerakkan pelbagai agenda dakwah di negara ini.

Kesuburan dakwah dan perkembangan Islam turut diiktiraf oleh pelbagai pendakwah terkemuka dunia termasuklah Dr Zakir Naik.

Kerajaan Malaysia jugalah yang banyak mengiktiraf tokoh-tokoh pendakwah antarabangsa termasuklah Dr Zakir Naik yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada tahun 2013. Dalam konteks Dr Zakir Naik, pengiktirafan tersebut diberikan berdasarkan kepada ketokohan beliau sebagai pakar dalam perbandingan agama yang sangat teliti dalam setiap penghujahan beliau berteraskan keilmuan yang tinggi dan kesantunan dalam menyampaikan hujah.

Malah sepanjang penulis mengikuti ucapan-ucapan beliau yang turut disiarkan di TV AlHijrah, tidak pernah sekalipun Dr Zakir Naik mempromosikan perpecahan mahupun perbalahan. Malah beliau sentiasa memberikan penghormatan terhadap agama-agama lain sehingga disenangi oleh ramai pendengar dan penonton dari kalangan bukan Islam.

Sebab itu, adalah suatu yang dangkal dan tidak munasabah apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof Dr Ramasamy Palanisamy yang juga merupakan Penolong Setiausaha Agung Kebangsaan DAP menyifatkan secara biadab Dr Zakir sebagai syaitan dalam Facebook beliau.

Kenyataan-kenyataan sebeginilah yang boleh dianggap sebagai satu bentuk hasutan lantaran sengaja memainkan sentimen, membangkitkan amarah dan mengundang prejudis di kalangan penganut agama tertentu terhadap Islam.

Sedangkan beliau sendiri, saya jangkakan tidak pernah mendengar dan menonton siri-siri ceramah Dr Zakir Naik.

Apakah ini gambaran pejuang hak kebebasan bersuara yang sering beliau dan parti beliau uar-uarkan jika sewenang-wenangnya menuduh seseorang syaitan dan mahu kerajaan menghalang suara beliau daripada terus berkumandang di bumi Malaysia tercinta ini.

Ternyata kebebasan bersuara yang sering dilaung-laungkan oleh DAP dan pemimpinnya adalah kebebasan terpilih. Bebas apabila melibatkan kepentingan kelompoknya dan nilaian akan berbeza apabila menyentuh kepentingan orang lain.

Namun, alhamdulillah rata-rata umat Islam melahirkan kesyukuran apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengumumkan kesediaan kerajaan untuk membenarkan tokoh pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik untuk meneruskan siri-siri ceramah beliau di Malaysia dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak termasuk golongan minoriti di negara ini.

Ini jelas membuktikan betapa kerajaan Malaysia mempunyai tahap toleransi yang tinggi dan mengambil kira kepentingan dan sensitiviti semua pihak termasuklah golongan minoriti yang kecil di  negara ini.

Untuk rekod kehadiran Dr Zakir Naik dalam siri jelajah ilmunya ke Malaysia kali ini adalah sebagai tetamu Kerajaan BN Terengganu. Fakta ini penting kerana ada juga suara sumbang yang memfitnah Umno dan kerajaan hari ini sebagai penghalang dakwah Islamiah hanya kerana isu keselamatan yang dibangkitkan PDRM pada peringkat awal.

Apa yang penting untuk seluruh rakyat Malaysia agar bertenang dan usah terus berterusan berpolemik dan memainkan sentimen kebencian antara satu sama lain sehingga mampu mengganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara berbilang kaum dan agama.

Lebih mustahak lagi agar umat Islam kekal rasional dan tidak melakukan perbuatan mahupun mengeluarkan kata-kata yang boleh menimbulkan fitnah terhadap kesucian dan kecantikan agama Islam sebagai agama yang penuh kesantunan, kasih sayang dan perdamaian.

0 Komentar untuk " Zakir Naik ikon pendakwah sederhana "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ