Tun Razak, Mahathir dan Najib - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tun Razak, Mahathir dan Najib

BESAR atau tidaknya seseorang ketua kerajaan, baik dipanggil Presiden atau Perdana Menteri (PM), bergantung pada tinggalan-tinggalan yang boleh dibanggakan oleh rakyat.

Di bumi bekas penjajah kita, British, sebagai contoh, ialah Winston Churchill, Perdana Menterinya yang menyelamatkan negara itu dan empayarnya dalam Perang Dunia Kedua. Di AS, Abraham Lincoln menyelamatkannya daripada berpecah dua, antara selatan dan utara, dalam perang saudara 1860-65. Banyak lagi contoh di negara-negara bukan berbahasa Inggeris.

Di Malaysia, kita mengingati Tunku Abdul Rahman kerana mendapat kemerdekaan dari British pada tahun 1957 dan membentuk Malaysia pada 1963. Tun Razak pula dikagumi dan disetiai oleh rakyat dan mereka yang bertugas di bawahnya dalam pencapaian Dasar Ekonomi Baru dan pembukaan pintu ekonomi moden dari tahun 1970. Sejak itu hingga ke setakat ini, Tun Dr Mahathir Mohamed yang menjadi PM (1981-2003) meninggalkan tinggalan paling banyak.

Jika dulu menara kembar KLCC dimomokkan sebagai projek mega yang membazir, kini ia menjadi binaan ikonik nombor satu dunia, digunakan oleh TV-TV besar dunia, termasuk CNN dan BBC, sebagai imbasan pemandangan dunia, mendahului pencakar langit Taiwan, binaan-binaan terbaik UK dan Perancis, seperti Eiffel Tower serta dua tiga buah yang lain di Amerika Utara, Selatan dan Tengah. Mungkin tanpa beliau, stadium perlumbaan F1 di Sepang tidak berada di situ.

Malaysia mungkin gah dalam sukan kerana memenangi pingat gangsa dalam Sukan Asia di Jakarta tahun 1962 dan Taheran pada 1974, dan Piala Thomas berulang kali sejak 1949, namun untuk menganjurkan sukan kedua terbesar di dunia, Sukan Komanwel, pada 1998, ia dimungkinkan juga oleh Mahathir. Walaupun pembuat kereta nasional Proton kini ternafi kejayaan dari segi komersial, namun projek ini berlaku dalam pentadbiran Mahathir juga. Jika dunia kini memperkenalkan teknologi baharu yang menghalang kereta-kereta Proton masuk ke negara-negara EU dan banyak negara lagi, Proton sedang berusaha untuk mengatasi segala itu agar boleh memasuki pasaran-pasaran itu semula.

Saya kebetulan berada di London selepas KLCC siap. Mengetahui saya orang Malaysia, seorang mengatakan bahawa Mahathir sudah membuat bangunan paling tinggi di dunia; sekarang dia hendak membuat bangunan paling panjang di dunia pula. Bangunan itu sepatutnya dibuat di atas Sungai Bunus yang mengalir antara Jalan Ampang dan Kampung Baru, Kuala Lumpur, hingga ke bangunan AIA. Pun begitu, bakal bangunan terpanjang dunia itu tidak jadi dibuat.

Pemberhentian Mahathir sebagai PM membawa bersamanya pemikiran ikonik. Pak Lah yang menggantinya tidak boleh menoleh kembali untuk melihat sebarang tinggalan yang beliau wujudkan, selain daripada falsafah Islam Hadhari yang orang Arab sendiri renungi dengan penuh tanda tanya. Imej seorang yang baik dan bersih tidak dapat menolong Pak Lah mengedepankan Malaysia dalam dunia global.

Bagaikan tidak direstui, percubaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia buat pertama kali terkandas juga. Ketandusan dalam pelbagai segi mengosongkan tangan Pak Lah dari segala tinggalan yang boleh dibanggakan rakyat. Sesuai dengan imej baik dan bersih, Pak Lah tidak mahu melihat percakaran dan prospek buruk dalam politik memburu beliau pasca politik, lalu beliau secara ‘gentleman’ meletak jawatan dengan cara terhormat. Ini datangnya daripada seorang yang berhemah tinggi, sesuai dengan amalan pemimpin-pemimpin besar dunia: pemberhentian sebagai langkah positif demi kepentingan negara, bukan melanjutkan pemerintahan demi kepentingan peribadi.

Apabila sampai kepada pentadbiran Datuk Seri Najib sebagai PM, rakyat veteran terus mengimbau waktu-waktu terbaik bapanya, Allahyarham Tun Razak. Belum lagi ada kemungkinan tinggalan yang boleh dibanggakan rakyat, beliau sudah bergelumang dengan masalah 1MDB dan penabungan RM2.6 bilion.

Bolehlah dikatakan, zaman telefon dan komputer canggih ini menyerlahkan maklumat-maklumat krusial. Baik apa pun maklumat yang diberikan oleh ‘Putrajaya’ tentang dua perkara itu, dua media terpenting itu terus memuatkan maklumat yang dipetik daripada media Wall Street Journal yang amat berwibawa di AS. Bukan itu saja, Peguam Negara Switzerland, negara maju yang paling berintegriti di dunia, terus meluahkan maklumat yang berbeza. Ini membuatkan keadaan lebih kritikal.

Nasib yang dialami Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini adalah sebab akibat wajah politik yang pelbagai. Ini tidak mengejutkan. Itulah salah satu ciri-ciri politik. Namun, ini bukanlah satu tinggalan boleh dibanggakan rakyat dan negara.                                

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

Related Post

  • Salahkah Nazri sokong Guan Eng? TIDAK selalu Nazri Aziz mendapat perhatian pembangkang. Biasanya beliau disanggah malah digasak  kasar oleh …
  • Mengapa isteri suka berleter ISTERI selalu kata saya kaki leter. Ya, ini pastinya luar biasa sebab jarang ada lelaki yang berperangai macam saya. B…
  • Jom tolak piza, ganti lempeng BOIKOT produk Israel, boikot juga produk Amerika, ini kalilah! Dengan perkembangan terkini di Gaza yang amat meny…
  • Islam tidak menentang kemajuan ISLAM adalah agama yang maju walaupun umatnya tidak menggambarkan sedemikian. Perubahan adalah sesuatu yang lazim dala…
  • Boleh Muslim jadi presiden AS? RAMAI umat Islam bertanya kenapa Barack Obama tidak guna kuasanya dan pengaruh Amerika Syarikat (AS) untuk menyekat Isr…
0 Komentar untuk " Tun Razak, Mahathir dan Najib "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ