Tindakan perlu diambil elak kepelbagaian bio negara terus 'sakit' - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tindakan perlu diambil elak kepelbagaian bio negara terus 'sakit'

MEMPERKATAKAN kepelbagaian bio, sebagai negara dikategorikan antara 12 di dunia memiliki kepelbagaian bio mega, kita mungkin berasa bangga kerana ia memperlihatkan negara kaya dengan khazanah semula jadi. Namun pada hakikatnya, mampukah kepelbagaian bio itu terus kekal memandangkan pembangunan yang menghimpit persekitarannya, selain tangan-tangan yang secara sengaja atau tidak berterusan memusnahkannya. Satu contoh terbaik yang boleh kita ambil adalah kejadian seekor harimau belang yang maut dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 pada dinihari Februari lalu ketika kenderaan bertali arus sempena cuti panjang Tahun Baharu Cina. Sememangnya kita tidak dapat mengelakkan pembangunan kerana ia adalah keperluan, bagaimanapun di sebalik kemajuan ini kita sebenarnya memberi ancaman kepada apa yang kita miliki yang seharusnya dipupuk dan dipelihara. Terlalu banyak peringatan, kempen, slogan, kata-kata juga amaran yang dilaungkan dalam mengingatkan orang ramai supaya kepelbagaian bio dimiliki dijaga dan dipastikan terus berkembang, namun adakah semua ini sampai dan mencapai matlamatnya, kerana pada masa sama apa yang dilihat adalah kemusnahan berterusan berlaku.

Haiwan semakin pupus 

Hutan terus ditarah, haiwan yang semakin pupus berterusan menjadi mainan sang pemburu untuk dijadikan hidangan eksotik bertaraf lima bintang di restoran selain kehidupan marin yang mencungap-cungap mencari nafas untuk meneruskan kesinambungan bakanya.   "Apa yang kita perlu sekarang adalah naratif itu ditukar, begitu juga jalan ceritanya," demikian semangat dilontarkan Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, sewaktu berbicara mengenai kepelabagaian bio pada perbincangan Meja Bulat Anugerah Merdeka Ke-13 bertajuk Bergantung Harap pada Kepelbagaian Bio: Mewujudkan Keseimbangan antara Pemuliharaan dan Pembangunan di Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kepelbagaian bio kita semakin sakit... si pesakit tidak dapat bersuara... tetapi kita perlu membuat keputusan supaya si pesakit dapat terus hidup," katanya berkias sambil menambah pihak berkaitan boleh menyedia dan membentangkan statistik akan kemusnahan yang berlaku, tetapi ia tidak akan dapat menyelesaikan permasalahan dihadapi.  Jelasnya, kepelbagaian bio adalah penyambung nyawa dan semua pihak perlu menghargai sumber semula jadi ini, justeru orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan juga pemain industri harus berganding bahu memastikan ia terus kekal.

Dalam memastikan kepelbagaian bio yang dimiliki tidak terjejas, persoalan timbul, adakah masyarakat kita pada hari ini sedar akan apa yang berlaku dan ambil peduli mengenainya, sebagaimana dikatakan seorang ahli panel perbincangan yang juga Penerima Anugerah Merdeka 2015 serta Sarjana Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad, bahawa pihak berkepentingan sudah melakukan banyak tugas mendidik masyarakat bermula dari sekolah sehinggalah ke peringkat tertinggi. "Kita berasa kita sudah cukup banyak melakukan tugas (memberikan pendidikan terhadap kepentingan kepelbagaian bio) sehingga kita tidak tahu adakah yang cukup itu benar-benar cukup," katanya yang memperlihatkan raut kebimbangan terhadap permasalahan ini.

NGO lakukan yang terbaik 

Mengambil contoh apa yang berlaku di Sabah, beliau berkata, NGO sudah melakukan yang terbaik dalam memulihara dan memberi penerangan, begitu juga dengan kerajaan negeri yang sangat membantu dalam usaha ini, bagaimanapun yang menjadi masalah adalah mereka yang berada di persekitaran - penduduk dan industri - ada yang faham dan ada yang perlu berunding dengan mereka. Justeru katanya dan diakui ahli panel lain, perlu ada satu pihak untuk menjuarai usaha ini sebagaimana kata Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Henry Goh, yang mana jika melihat kepada hutan Belum-Temenggor dan Endau-Rompin yang mengalami masalah pengecilan dalam keluasannya, Kerajaan Persekutuan mempunyai polisi berhubung pemuliharaan, tetapi pentadbiran tanah terletak di bawah takluk kerajaan negeri.



HAIWAN semakin pupus. 

Keseimbangan pembangunan 

Pada masa sama kata Profesor Zakri, kita berdepan dengan ahli politik yang mempersoalkan bolehkah kita (orang yang bercakap soal kepelbagaian bio) menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, meningkatkan taraf hidup rakyat, apabila persoalan mengenai memulihara kepelbagaian bio dengan pembangunan ditimbulkan, seolah-olah apa yang diperkatakan ini tidak penting. "Tidak dinafikan kita perlukan pembangunan seperti program FELDA tetapi perlu ada keseimbangan," katanya. Mengulas perkara ini, Goh berkata, banyak lagi sebenarnya yang perlu dilakukan dalam menyedarkan orang ramai mengenai mempertahankan kepelbagaian bio yang dimiliki dan mengakui MNS sendiri melakukan pelbagai program outreach seperti raptor watch iaitu memerhati burung kerana sebarang perubahan yang berlaku kepada pola kehidupan burung terutama burung penghijrah, ia memberikan tanda kepada perubahan kepada persekitaran.

Memperkatakan perkara sama, Pegawai Komunikasi Kanan TRAFFIC Asia Tenggara, Elizabeth John, berkata kegiatan perburuan haram serta penyeludupan haiwan yang menjadi-jadi menyebabkan haiwan asal negara ini semakin pupus dengan proses jual beli dilakukan secara dalam talian dan jika ditinjau laman sosial membabitkan perkara ini, apa yang dapat disaksikan bilangan mereka yang berhubung adalah sangat besar yang mencapai 70,000 orang. "Golongan ini melihat kepelbagaian bio dari sudut ekonomi dan ia adalah satu peluang, selain berburu menjadi satu bentuk sukan dalam kalangan kelompok tertentu. Dalam program outreach yang dijalankan di rantau ini, mereka berkata bahawa ia adalah anugerah tuhan dan untuk menukar pandangan mereka, kami membabitkan golongan agama yang memberi penerangan mengenai aktiviti perburuan haram dan perlunya menjaga alam sekitar," katanya.

"Apa yang berlaku sebenarnya adalah kebanyakan orang tidak nampak keperluan memulihara kepelbagaian bio," demikian pula yang ditegaskan Pengurus Besar Reef Check Malaysia, Julian Hyde dan menambah walaupun ada maklum balas dalam hal ini, namun ia tidak berpanjangan yang menimbulkan persoalan adakah mereka faham mengenai perkara ini. Dalam memberikan penerangan terutama perkara berkaitan ekonomi katanya, NGO diwakilinya turun padang dan bekerja dengan komuniti yang bergantung hidup kepada kepelbagaian bio ini berharap keperluan menjaga ekosistem hendaklah dibuat secara berterusan kerana mereka bergantung kepada sumber alam sekitar bagi mengisi perut.

Perubahan iklim beri kesan 

"Apa yang perlu kita fahami adalah, setiap tindakan yang dibuat tidak memusnahkan kepelbagaian bio di sekeliling mereka," katanya  yang mengakui perubahan iklim turut memberikan kesan kepada alam sekitar. Justeru, katanya Malaysia perlu memperkenalkan satu polisi berhubung ekonomi dan keperluan memulihara kepelbagaian bio. Berhubung perkara ini, Goh berkata, menyedari perlunya golongan begini diwujudkan peluang pekerjaan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka, MNS mengambil pendekatan melatih mereka seperti yang dilakukan kepada mereka yang tinggal di sekitar Taman Negara menjadi jurupandu yang mana selain ada pendapatan, mereka juga bertindak sebagai mata dan kepala kepada sebarang kemusnahan yang berlaku dan cuba dilakukan.

Profesor Abdul Latif seterusnya berkata, sejak negara mencapai kemerdekaan, kita sudah membuat yang terbaik dari segi pembangunan, tetapi bagaimana pula sumbangan pembangunan terhadap kepelbagaian bio dan menokok bahawa banyak polisi digubal berkaitan perkara ini tetapi dari segi penguatkuasaan ia tidak setanding. Untuk itu katanya, kerajaan negeri perlu menjadi juara dalam hal ini kerana ia adalah sumber yang dimiliki mereka. Mengambil contoh masalah kepupusan penyu, katanya menjadi tabiat penduduk yang tinggal di kawasan penyu bertelur memakan telur amfibia itu dan jika kerajaan negeri dapat menjuarai permasalahan ini, kita akan dapat menyaksikan kembalinya haiwan ini untuk bertelur di pantai yang menjadi kelazimannya seperti yang berlaku sebelum ini.

Perlu ada keseimbangan 

Goh pula menambah, kita tak nafikan kerajaan negeri perlukan tanah sebagai sumber pendapatan dan kita tidak membantah pembangunan, tetapi perlu ada keseimbangan. Kesimpulan daripada perbincangan yang dijalankan, semua ahli panel mengakui bahawa dalam memelihara kepelbagaian bio, negara memerlukan satu pihak yang bertindak sebagai juara selain peranan kerajaan negeri dalam memastikan segala sumber ini ditangani dengan sebaiknya dalam mereka memikirkan pembangunan kepada rakyat.

Pada masa sama, korporat juga perlu bertanggungjawab terhadap pemuliharaan kepelbagaian bio, kerana pada masa ini ia adalah terlalu sedikit, sebagaimana kata Elizabeth, pernah sebuah syarikat yang terbabit dalam pemasaran barangan penjagaan diri menarik balik tajaan yang ingin diberikan untuk satu pertunjukan fesyen selepas penganjur tidak dapat memberi jaminan bahawa program itu akan membabitkan penggunaan bahan dari haiwan. Apa pun, dalam memastikan kepelbagaian bio yang dimiliki terus dipelihara, ia memerlukan usaha bersepadu dan kefahaman semua pihak daripada Kerajaan Persekutuan sehinggalah kerajaan negeri juga NGO, ahli akademik, mereka yang berada di persekitaran dan orang ramai kerana jika hanya satu pihak sahaja bersuara manakala yang lain tidak mengambil endah, tidak ada perubahan yang mungkin akan dilihat.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/135970
0 Komentar untuk " Tindakan perlu diambil elak kepelbagaian bio negara terus 'sakit' "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ