Islam tuntut dasar toleransi tanpa mengira batas agama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Islam tuntut dasar toleransi tanpa mengira batas agama

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturan-Nya)." (Surah Al-Baqarah, ayat 272).

Al-Nasa'i dan Al-Tabarani meriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya, orang-orang Islam merasa berat untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan mereka kepada keluarga mereka yang belum memeluk Islam, lalu mereka bertanya Nabi SAW sama ada boleh diberi bantuan kepada orang Musyrikin atau tidak. Lalu Baginda mengharuskan bantuan itu diberi kepada keluarga mereka sekalipun mereka belum memeluk Islam. Sehubungan itu, ayat ke-272 ini diturunkan.

Sebahagian ulama menyatakan ayat ini diturunkan mengenai Asma' Abu Bakar yang keberatan untuk melayani ibu dan neneknya yang masih musyrik pada tahun 'umrah al-qada'. Mereka selalu datang menemui Asma' kerana meminta sesuatu daripadanya. Lalu, beliau bertanya kepada Nabi SAW sama ada dia harus melayani mereka atau tidak lalu ayat ke-272 ini diturunkan. Dari sinilah kita dapat melihat beberapa kemuncak toleransi yang diajar kepada pencinta al-Quran. Kemuncak inilah Islam mengangkat hati orang beriman dan melatih mereka supaya mencapainya.

Dasar toleransi insaniah 

Islam bukan saja menegakkan dasar kebebasan beragama dan melarang paksaan memeluk agama malah Islam menegakkan dasar yang lebih jauh dari itu iaitu ia menegakkan dasar toleransi insaniah yang diambil dari arahan Allah SWT yang menetapkan bahawa seluruh manusia itu berhak mendapat pertolongan dan bantuan. Adapun urusan hati, hidayahnya dan kesesatannya, maka ia bukan urusan seseorang manusia walaupun dia itu Rasulullah SAW sendiri. Ia adalah urusan Allah SWT kerana hati itu adalah dari ciptaan Allah dan tiada siapa selain Allah SWT yang boleh menguasai dan mengendalikannya. Tiada siapa yang mempunyai kuasa di atas hati-hati itu selain dari Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW hanyalah seorang manusia yang sekadar dapat memberi peringatan dan khabar gembira. Baginda hanya berkewajipan memberi bimbingan dan menganjurkan perbuatan baik dan pada waktu yang sama, melarang perbuatan keji seperti mengungkit-ungkit, menyakiti perasaan dan mendermakan barang-barang yang buruk. Rasulullah SAW diutuskan dengan membawa segala bentuk kebaikan untuk umatnya, berita gembira untuk orang mukmin dan berita amaran untuk orang kafir. Rasulullah SAW sangat menginginkan agar kaumnya mendapat hidayah.

Baginda berasa amat sedih kepada sesiapa saja yang keluar daripada garis keimanan. Baginda memberatkan dirinya dalam urusan dakwah mengatasi kemampuan yang ada bahkan melebihi apa yang dituntut kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini." (Surah al-Kahfi, ayat 6)

Seperti diketahui Baginda tidak dituntut melainkan untuk menyampaikan risalah saja manakala hidayah itu adalah kurniaan dan pilihan Allah SWT. Oleh kerana terlalu mengharapkan petunjuk untuk kaumnya, Allah menegur Baginda kerana itu akan membebankan dirinya sendiri. Teguran di sini bukan kerana kesilapan yang dilakukan tetapi kerana kebaikan yang dimiliki oleh Baginda. Ia umpamanya teguran seorang bapa kepada anaknya yang terlalu kuat belajar tanpa mengira siang dan malam, tanpa ada waktu rehat, justeru si bapa itu menegur anaknya. Teguran itu bukan kerana kelemahannya ataupun kesilapannya tetapi kerana perbuatan tersebut mengatasi kemampuannya. Sering kali hidayah dalam al-Quran dinafikan daripada Nabi SAW, maka penafian itu bermakna nabi tidak dipertanggungjawab sekiranya mereka tidak beroleh hidayah kerana Allah SWT yang menentukan semuanya.

Hanya Tuhan beri hidayah 

Penafian itu bukan hanya ditujukan kepada Nabi SAW tetapi termasuk juga bukan nabi. Dengan kata lain, Nabi SAW hanya menunjuk jalan, tetapi tidak menentukan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)." (Surah al-Qasas, ayat 56)

Hidayah dalam ayat ini dinafikan daripada Nabi SAW kerana Baginda hanya mampu menyeru mereka saja, tetapi pilihan terakhirnya terserah kepada Allah SWT tetapi tidak wajib ke atasnya menyampaikan kepada manusia hidayahnya secara nyata. Orang yang beroleh hidayah ialah orang yang berjalan menuju matlamat yang jelas dan mengikuti petanda yang juga jelas menuju kepadanya. Orang yang sesat jalan adalah orang yang mengikuti jalan yang tidak membawanya kepada matlamat yang ditujuinya. Ayat di atas menyatakan bukan tanggungjawab Nabi SAW memberi hidayah kepada manusia, tetapi Allah SWT yang memberinya kepada mereka.

Tugas umat Islam ialah terus berdakwah sama ada secara langsung atau tidak termasuklah dengan menunjukkan akhlak yang baik dan indah. Memberi petunjuk kepada semua manusia adalah hak Allah SWT kerana Allah telah melakarkan garis berfikir yang dapat dijangkau oleh akal dan hati mereka. Dialah yang berkuasa memberi taufik dan petunjuk kepada mereka untuk mencapai pemikiran yang benar, yang akhirnya membuahkan perbuatan yang menjurus kepada kebahagiaan mereka.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/135317
0 Komentar untuk " Islam tuntut dasar toleransi tanpa mengira batas agama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ