Sentuhan kreatif tangan gergasi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sentuhan kreatif tangan gergasi

BERMULA minat sejak kecil yang gemar mereka cipta dengan memasang kadbod (kertas keras) untuk menghasilkan sesuatu replika khususnya melibatkan binaan kapal, ia bagaikan sudah sebati dalam dirinya.

Tiada istilah jemu atau bosan buat pereka model, Anuar Zaini Yajid, 40, meskipun mengendalikan komponen kecil sehingga berskala 1: 1200.

Meskipun disahkan menghidap penyakit Acromegaly iaitu mengalami jumlah hormon pertumbuhan berlebihan atau lebih dikenali penyakit gergasi, Anuar Zaini tidak kekok memasang komponen kecil, malah menjadi kerjaya buatnya sejak 2003.

Berbekal pengalaman dalam bidang  Teknologi Marin dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dia  memilih menubuhkan Prima Marin tanpa sebarang bantuan kewangan daripada mana-mana institusi.

“Selepas lima tahun bekerja makan gaji, saya nekad membuka bisnes apabila melihat pasaran dan permintaan dalam pembinaan model atau replika ini, khususnya dalam bidang marin.

“Selain itu, ia didorong dengan minat yang dahulunya hobi saya yang lebih gemarkan elemen pembuatan dan pemasangan daripada bahan kasar, selain melakukan kajian serta penyelidikan terhadap sesuatu objek, khususnya melibatkan kapal,” katanya kepada Sinar Harian.

Replika pertama kapal Borcos Sabhan

Mengimbas penglibatannya hampir 10 tahun lalu, replika pertama yang dibinanya iaitu kapal Borcos Sabhan bermula daripada proses lukisan, pemotongan kadbod dan penggunaan bahan seperti lidi dan sebagainya.

“Hampir setengah tahun saya menyiapkan kapal ini kerana ketika itu masih bekerja dengan sebuah syarikat di Singapura.

“Berbekal modal RM200 ketika itu, kapal berskala 1: 75 ini mempunyai nilai pasaran mencecah sehingga RM6,000 pada masa kini,” katanya yang hanya memasarkan perkhidmatannya menggunakan laman sosial Facebook Prima Marin.

Akuinya, kebanyakan model atau replika seperti yang dihasilkan diimport dari China dan didominasi bangsa lain, meskipun terdapat sebilangan pereka Bumiputera tempatan sepertinya.

“Model atau replika ini banyak dijual di pasaran, namun kualiti dan kebolehtahanan produk tersebut perlu diambil kira.

“Saya bukan sekadar menghasilkan replika, sebaliknya memberi penekanan kepada ketelitian persis produk asal meskipun sebesar tiang atau kipas kapal,” katanya.

Menurutnya, model terkecil pernah dihasilkannya ialah Nautica Muar iaitu pada skala 1:1200,  tempahan sebuah syarikat perkapalan tempatan.

Deposit 40 peratus elak ditipu

Anuar berkata, jika sebelum ini dia mengambil masa hampir tiga bulan untuk menyiapkan sesuatu produk, dengan bantuan penggunaan pencetak 3D yang dibelinya dua tahun lalu mempercepatkan proses sekitar 40 hari bekerja.

“Jika dulu, saya potong kadbod untuk menghasilkan rangka, kini selepas melukis pelan, ia dicetak menggunakan pencetak 3D mengikut bahagian demi bahagian.

“Namun kos bahan pencetak 3D ini lebih mahal berbanding kadbod iaitu RM120 bagi satu kilogram dan tentunya caj dikenakan bagi setiap model bertambah,” katanya.

Adat berbisnes, Anuar tidak terkecuali menjadi mangsa penipuan di awal pembabitan bidang pembuatan replika apabila dua tempahan replika kapal dihasilkan tidak dibayar.

Namun, cabaran itu menjadikan suami kepada Rosma Ab Wahab, 40, ini lebih berhati-hati dengan mengenakan deposit sehingga 40 peratus bagi setiap tempahan.

“Binaan saya tidak terhad kepada model kapal sahaja, malah membuat replika bangunan, prototaip, mesin, peralatan dan bermacam lagi dalam meningkatkan pemasaran produk penghasilan.

“Setiap binaan ini eksklusif iaitu dihasilkan satu sahaja mengikut permintaan pelanggan dan buatan tangan,” katanya yang menjalankan perniagaan itu di sebuah premis yang terletak di Taman Pulai Perdana, Skudai, Johor.

Antara pelanggan yang mendapatkan khidmat Anuar ialah TLDM, PDRM dan syarikat korporat, pembinaan, perkapalan, perumahan serta IPT, selain agensi kerajaan.

Hasil seni anak kelahiran Negeri Sembilan ini, dibawa ke New Zealand, Australia dan Singapura, selain dipamerkan di Lima Langkawi dan menjadi buah tangan Sultan Johor.

Profil

Nama: Anuar Zaini Yajid
Umur: 40 tahun
Asal: Negeri Sembilan
Adik beradik : Sulung daripada enam beradik
Pendidikan: Ijazah Teknologi Marin dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Related Post

0 Komentar untuk " Sentuhan kreatif tangan gergasi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ