Sana-sini wajah B lebih ketara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sana-sini wajah B lebih ketara

ENTAH mengapa sejak dulu hingga kini kita selalu prejudis terhadap pendatang Bangladesh. Macam-macam kisah tidak sedap diviralkan mengenai kelompok pendatang hidung mancung, kulit coklat dan beragama Islam ini.

Baru-baru ini timbul lagi kontroversi mengenai isu ‘B’. Maaf, tanpa sebarang prejudis, sengaja saya gunakan huruf B, sebab ejaan penuh Bangladesh panjang sangat.

Seperti yang disiarkan media ramai pihak, lebih-lebih lagi pembangkang, marahkan kerajaan apabila mengumumkan akan membawa masuk 1.5 juta orang pendatang B. Siang malam mereka menyatakan tentangan terhadap perkara ini. Ada yang hendak berdemonstrasi.

Macam-macam alasan protes diberikan, antaranya bilangan tersebut terlalu besar, boleh menutup peluang anak tempatan, jenayah akan meningkat, mereka tidak ada disiplin, pengotor.

Malah, ada juga tohmahan bahawa urusan membawa masuk warga B secara beramai-ramai telah diberikan kepada sebuah syarikat kroni. Dia orang pun mencongak, sekiranya dapat RM100 bagi setiap kepala B, berapa laba yang bakal diraih oleh kroni berkenaan? Sebab itu mereka membantah.

Peliknya, apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan pengambilan baharu pekerja asing, termasuk B, ramai juga pihak yang melenting dan marah-marah.

Pihak yang dahulu menentang kemasukan B, menjadikan penangguhan ini juga sebagai satu isu. Mereka kata kenapa flip-flop? Kerajaan kata isu B perlu dikaji semula untuk mendengar pandangan rakyat. Pendek kata perihal masuk B keluar B tidak akan reda.

Tolak ke tepi semua hubaya-hubaya politik, saya melihat pendatang B dari sudut pandangan orang biasa. Memang ada sekian banyak cerita dan berita negatif mengenai pendatang B.

Paling saya ingat beberapa tahun dulu semua tembok, dinding, tiang dan jalan di satu kawasan di tengah-tengah pusat bandar raya KL dikatakan berubah warna merah. Pekerja DBKL terpaksa dikerah setiap hujung minggu mencuci warna merah tersebut.

Bukan merah kerana cat yang disimbah ah long, tetapi gara-gara air sirih yang diludahkan di merata kawasan tersebut, sehingga batu dan batang kayu pun berubah warna merah. Tidak pasti siapa yang mengunyah dan meludahkan air sirih, tetapi cepat sahaja kita menuduh pendatang B.

Timbul juga cerita gadis dan wanita kita tertarik dan jatuh cinta pada pendatang B. Almaklumlah lelaki dari negara berkenaan hidung mancung, tubuh sasa, sesetengahnya bermata biru. Banyak yang ada iras-iras Shah Rukh Khan dan lain-lain hero filem Hindustan.

Tambahan pula di sesetengah tempat, terutama di luar bandar, filem-filem Hindi – antaranya Kuch-Kuch Hotta Hai – memang menjadi kegemaran dalam kalangan anak muda. Maka baik gadis mahu pun janda berasa bangga sekiranya mempunyai teman lelaki Abang B.

Pada hemat saya, wajah mirip hero Hindustan hanyalah satu faktor gadis kita meminati Abang B, tetapi faktor yang lebih penting ialah lelaki tempatan malas bekerja dan ramai menjadi penghuni pusat pemulihan. Dalam keadaan wanita semakin ramai, tentu sekali pendatang B menjadi idaman.

Ada juga tuduhan-tuduhan negatif lain terhadap pendatang B seperti kaki gaduh, penipu, suka mengganggu isteri orang, mencuri, merogol, membunuh dan lain-lain jenayah harian.

Kita ada lebih lima juta pendatang asing – berpermit sah atau Pati – dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam dan lain-lain. Kenapa hanya pendatang B dituduh penjenayah?

Sebaliknya jika diperhatikan keliling kita, pendatang B sudah menjadi sebahagian daripada komuniti. Di kawasan perumahan tempat saya tinggal, pendatang B menjadi pencuci longkang, menyapu sampah. Trak memungut sampah pukal juga pemandu dan pekerja semua B.

Di gerai dan restoran, sebahagian besar pekerja – daripada pelayan hingga tukang cuci pinggan – semua B. Di pasar borong, pasar basah, juga pasar raya, B juga yang ramai bekerja. Di ladang getah, ladang kelapa sawit dan kawasan pertanian lain, pekerja B menguasai semuanya.

Hatta semakin banyak surau dan masjid kita, azannya dilaungkan oleh pendatang B. Bilangan makmum setiap kali sembahyang B lebih ramai, sebab orang kita malas solat di surau. Orang kita hendak azan pun malu!

Kita marah pendatang B, tetapi sana sini kita melihat dan berselisih dengan wajah dan kepala B. Mereka dan pendatang lain rela melakukan kerja 3D – dirty, difficult, dangerous – yang disebut oleh Zahid. Sebaliknya, sebahagian orang kita hanya minat, dan mahir 1D – dadah.

Jadi, jangan marah sangat dan selalu prejudis terhadap pendatang asing, termasuk B.

Related Post

0 Komentar untuk " Sana-sini wajah B lebih ketara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ