Memahami kata sendi nama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Memahami kata sendi nama

PENYAMPAIAN maklumat yang berkesan bergantung pada ketepatan pemakaian bahasa penggunanya.

Walau bagaimanapun, semasa menggunakan bahasa, kita tidak dapat mengelak daripada melakukan kesalahan bahasa. Isu kesalahan bahasa dalam kalangan masyarakat berlaku kerana masih ramai pengguna yang gagal untuk menguasai tatabahasa bahasa Melayu. Berdasarkan pengalaman penulis semasa mengendalikan bengkel-bengkel bahasa, ramai kalangan peserta yang gagal untuk mengemukakan alasan yang wajar berkaitan contoh kesalahan bahasa yang dikemukakan.

Berdasarkan penelitian, salah satu aspek kesalahan bahasa yang sering dilanggar oleh pengguna bahasa ialah ketepatan penggunaan kata sendi nama dalam binaan ayat. Dalam bahasa Melayu, kata sendi nama dimasukkan di bawah kata tugas, iaitu kata yang hadir untuk mendukung tugas yang tertentu dalam binaan ayat. Dari segi fungsi, kata sendi nama ialah kata yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama. Kata sendi nama boleh hadir dalam tiga bentuk iaitu, bentuk tunggal, seperti; di, akan, untuk, seperti; bentuk berimbuhan seperti selain, melalui, terhadap, sebagai,  dan berbentuk majmuk contohnya, daripada dan kepada.

Pengguna bahasa sering keliru untuk menggunakan kata sendi nama pada dan kepada yang hadir di hadapan kata kerja dalam ayat. Dalam bahasa Melayu, kata sendi nama kepada adalah untuk menunjukkan makna sasaran yang merujuk kepada manusia, haiwan dan institusi. Contohnya: terdedah kepada risiko kemalangan. Kata sendi nama pada yang menunjukkan makna sandaran pula digunakan untuk kata kerja yang tidak menunjukkan pergerakan. Contohnya: bergantung pada pengadil.

Kata sendi nama terhadap dan tentang juga tidak boleh bertukar ganti dalam ayat. Penggunaan kata terhadap menunjukkan maksud rujukan yang melibatkan perkataan yang bersifat konkrit manakala kata sendi nama tentang pula hadir di hadapan perkataan yang bermaksud rujukan sesuatu secara umum. Contohnya: terhadap pesalah jalan raya; tentang kebajikan rakyat.

Seterusnya, bentuk  kata sendi nama  lain yang sering disalahgunakan dan diabaikan dalam penulisan termasuklah:



(i) Penggunaan dua kata sendi nama serentak:

-    Selain daripada  itu (sepatutnya selain itu)

-    Sejak dari abad (sepatutnya sejak atau dari abad)

-    Hingga ke anak cucu (sepatutnya hingga atau ke anak cucu)

-    Mengenai dengan hal itu (sepatutnya mengenai atau dengan hal itu)



(ii) Kata sendi nama tidak diikuti oleh kata nama:

-    Oleh kerana (sepatutnya oleh sebab)

-    Seperti berikut (sepatutnya seperti yang berikut)

-    Dengan deras (sepatutnya dengan derasnya)



(iii) Tidak menggunakan kata sendi nama di hadapan kata kerja:

-    Lupa janji (sepatutnya lupa akan janji)

-    Tahu jawapan soalan itu (sepatutnya tahu akan jawapan)

-    Balik kampung (sepatutnya balik ke kampung)



(iv) Kesalahan penggunaan kata sendi nama yang lain:

-    Di kalangan (sepatutnya dalam kalangan kerana tidak menunjukkan tempat)

-    Disertai dengan ribut petir (sepatutnya disertai oleh ribut petir dalam binaan ayat pasif)

-    Akibat daripada (kata sendi nama daripada perlu digugurkan kerana lewah makna)

-    Membincangkan tentang hal (sepatutnya membincangkan hal, tidak perlu menggunakan kata sendi nama tentang di hadapan kata kerja yang memerlukan objek kata nama)

-    Dalam memilih (sepatutnya dalam pemilihan, kata sendi nama perlu diikuti kata nama)

-    Rindukan kampung halaman (sepatutnya rindu akan kampung halaman, kata sendi nama perlu hadir selepas kata adjektif yang bersifat perasaan)

Sebagai rumusannya, penggunaan kata sendi nama yang tepat menjadi syarat binaan ayat yang sempurna. Sehubungan dengan itu, sebagai pengguna bahasa, kita bukan sahaja perlu mengenal pasti dan memahami aspek kesalahan penggunaan kata sendi nama apabila berbahasa malah mampu pula untuk  membetulkan kesalahan bahasa berkenaan.

Hal ini bukan sahaja dapat melestarikan bahasa yang tepat binaannya, malah turut meningkatkan kesedaran pengguna bahasa tentang aturan berbahasa dalam bahasa Melayu.

Related Post

0 Komentar untuk " Memahami kata sendi nama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ