MARDI Siraj 297 mampu hasil beras berkualiti - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

MARDI Siraj 297 mampu hasil beras berkualiti

PADI adalah tanaman makanan penting bagi rakyat Malaysia. Ia bukan sahaja tanaman makanan ruji dan utama, malah industri padi menyediakan pekerjaan dan menjadi punca pendapatan sebahagian besar masyarakat petani di negara ini. Dianggarkan pesawah di negara kita ketika ini adalah 296,000 orang membabitkan kawasan penanaman seluas 350,000 hektar. Pada masa ini, Malaysia menghasilkan 2.7 juta tan padi setahun iaitu 75 peratus daripada keperluan negara dengan selebihnya diimport bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat berikutan pertambahan jumlah penduduk dan permintaan terhadap beras istimewa. Dalam membicarakan mengenai penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap tanaman padi, sebuah agensi utama negara yang begitu signifikan terhadap R&D tanaman itu ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Sejak ditubuhkan 47 tahun lalu, MARDI sudah mengisytiharkan 43 varieti padi dengan lebih 90 peratus dari kawasan tanaman padi di Malaysia menggunakan varieti dihasilkan oleh MARDI.


SAMPEL padi yang boleh dituai di plot sawah MARDI Seberang Prai, Pinang Tunggal, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

Bekal benih asas 250 tan setahun 

Sehingga kini, peneraju dalam bidang agroteknologi pertanian itu tidak pernah gagal membekalkan benih asas sebanyak 250 tan setahun untuk dibiak dan diedarkan oleh syarikat pengeluar benih kepada pesawah sebagai benih sah. Ia sentiasa berusaha memajukan industri padi dan beras negara dengan menghasilkan teknologi baharu untuk meningkatkan hasil pesawah dan menyelesaikan masalah mereka. Dengan teknologi yang dihasilkan MARDI, purata hasil padi negara kini meningkat daripada tiga tan sehektar pada 2000 kepada 4.8 tan sehektar. Malah, ramai yang tidak menyedari bahawa purata hasil padi negara pada masa ini adalah lebih tinggi berbanding negara pengeluar padi utama seperti Thailand, Laos dan Kemboja. Semua benih yang MARDI keluarkan mempunyai potensi penghasilan sehingga sembilan tan sehektar dengan syarat pesawah dan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), peraturan dan teknologi yang disyorkan. Secara tidak langsung, peningkatan hasil padi akan menambah pendapatan pesawah. Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Sharif Haron, berkata dalam usaha terus meningkatkan pendapatan pesawah, pihaknya memperkenalkan varieti padi ke-44 iaitu padi MARDI Siraj 297. Varieti terbaharu sebagai pilihan kepada pesawah itu adalah hasil kacukan antara baka padi MARDI Wangi Q76 dan baka titisan padi P446 daripada salasilah varieti padi MARDI Wangi Q74, MR211, MR182 dan varieti padi Javanica Ase Mandee. Proses kacukan dilaksanakan sejak 2006 melalui siri ujian penilaian di beberapa kawasan jelapang utama di Kedah, Perak, Selangor dan Perlis. Tempoh penyelidikan yang mengambil masa 10 tahun dengan siri ujian penilaian di beberapa kawasan itu penting untuk menentu bahawa padi berkenaan benar-benar berkualiti.


PEGAWAI Penyelidik Kanan MARDI, Site Noorzuraini Abd Rahman memeriksa benih padi yang disimpan dalam ruangan sejuk di MARDI Seberang Prai, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar 

Ciri istimewa 

Beliau berkata, varieti padi yang diisytiharkan sebagai MARDI Siraj 297 itu mempunyai ciri istimewa iaitu rintang kepada penyakit karah daun dan tangkai serta penyakit merah virus, selain sederhana rintang kepada perosak bena perang. "Implikasi dari segi rintang penyakit ialah ia meningkatkan hasil tuaian akhir kepada pesawah kerana penyakit berkenaan menyumbang kehilangan hasil padi antara 10 dan 15 peratus. "Saya percaya varieti padi terbaharu ini akan mendapat penerimaan baik daripada pesawah kerana ia mampu menghasilkan 8.6 tan sehektar, setanding beberapa varieti terkini serta mempunyai cita rasa nasi yang sesuai kepada pengguna tempatan. "Varieti ini dinamakan bersempena nama Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai menghargai komitmen dan minat mendalam yang ditunjukkan baginda terhadap penyelidikan padi," katanya selepas majlis pengisytiharan padi MARDI Siraj 297 di MARDI Arau, Perlis, bulan lalu. Tuanku Syed Sirajuddin mencemar duli untuk mengisytiharkan padi varieti terbaharu itu. Turut mencemar duli ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Perusahaan Peladangan dan Komiditi, Bioteknologi Hijau dan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana Perlis, Ahmad Bakri Ali serta Pengerusi MARDI, Datuk Mohd Fadil Osman. Benih padi varieti MARDI Siraj 297 bagaimanapun hanya dapat diperoleh pesawah dalam tempoh tiga musim penanaman padi lagi iaitu pada pertengahan tahun depan. Selain mempunyai ciri rintang penyakit, Sharif berkata, varieti padi itu mempunyai ciri beras yang lebih panjang iaitu 7.70 milimeter berbanding MR263 (6.97 milimeter) dengan kedua-duanya masih dalam kategori sama iaitu beras panjang dan tirus. Berat purata 1,000 biji MARDI Siraj 297 pula adalah antara 27.8 dan 29.2 gram, lebih berat berbanding MR263 iaitu antara 24.9 dan 25.1 gram. Dalam sistem tabur terus, MARDI Siraj 297 matang antara 110 hingga 115 hari atau sekitar lima hari matang lewat berbanding MR263 dengan panjang batang MARDI Siraj 297 adalah antara 64.4 hingga 70 sentimeter dan mempunyai ketinggian pokok yang hampir sama seperti MR263. "Varieti padi MARDI Siraj 297 mempunyai bilangan tangkai yang banyak (523/meter persegi) berbanding MR263 (421/meter persegi) dan mempunyai pengisian tangkai yang baik iaitu antara 77.1 hingga 86.2 peratus. "Oleh itu, padi MARDI Siraj 297 adalah sangat stabil, tidak begitu tinggi sekali gus dapat mengurangkan kejadian padi rebah di sawah," katanya. Selain itu, Sharif berkata, pihaknya akan terus melakukan R&D tanaman padi secara berterusan, tetapi percaya dengan varieti yang ada sudah mencukupi untuk memastikan keluaran padi negara mencapai tahap 80 peratus sara diri.


PEGAWAI Penyelidik (Patologi) MARDI, Allicia Jack menunjukkan padi MARDI SIRAJ 297 di Kompleks MARDI Arau. - Foto Hafizudin Mohd Safar

Hasil beras lebih berkualiti 

Beliau berkata, bagaimanapun, untuk masa depan, pihaknya merancang menghasilkan beras lebih berkualiti bagi mengurangkan pengimportan beras, sekali gus memenuhi keperluan segmen yang menginginkan beras istimewa seperti basmati dan wangi. "Sebagai contoh, tahun lalu, kita menanam lebih 1,000 hektar beras wangi, beras merah dan beras yang lebih panjang. "Mungkin dengan berbuat demikian, kita dapat mengurangkan beras import yang ketika ini sebanyak 30 peratus. Pada saya, beras untuk keperluan masyarakat tempatan sudah mencukupi dan tidak sepatutnya diimport, kecuali beras yang tidak ada di negara ini," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/133269

Related Post

0 Komentar untuk " MARDI Siraj 297 mampu hasil beras berkualiti "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ