Aiskrim Malaysia imbau nostalgia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Aiskrim Malaysia imbau nostalgia

SUATU ketika dahulu, aiskrim berwarna-warni yang mempunyai pelbagai perisa dalam plastik berbentuk silinder atau terkenal dengan jolokan aiskrim Malaysia sering menjadi tumpuan ramai.

Ia kemudian agak menyepi dengan kemunculan pelbagai jenis aiskrim di pasaran, namun kini ia kembali dengan pelbagai perisa yang lebih menyelerakan seperti aiskrim sumi dan choki-choki.

Pada masa sama, cuaca yang panas pada ketika ini mendorong orang ramai membuat aiskrim Malaysia sendiri sebagai pencuci mulut dan ada juga yang mengambil peluang untuk menjualnya.

Usahawan, Fadia Farini Mohd Fauzi berkata, trend aiskrim Malaysia yang kembali pada masa ini dapat mengimbau kembali nostalgia ketika zaman kanak-kanak dahulu.

"Saya antara penggemar aiskrim Malaysia sehingga hari ini kerana ia mempunyai pelbagai pilihan rasa yang sedap.

"Biasanya saya buat aiskrim pelbagai perisa seperti Milo, sarsi, sirap bandung dan anggur antara 10 hingga 15 batang untuk dinikmati bersama keluarga. Tak terkecuali perisa terbaharu seperti sumi," katanya.

Fadia Farini yang juga Pengasas ZizaReen berkata, dia turut menyajikan aiskrim Malaysia sebagai menu pencuci mulut pada majlis pelancaran koleksi selendang terbaharunya, baru-baru ini.

"Kebetulan rakan saya memberikan nombor telefon peniaga aiskrim ini. Saya terus menghubunginya dan buat tempahan dalam kuantiti banyak kerana saya ingin mengembalikan nostalgia pada zaman kanak-kanak dulu," katanya.

Tetap menjadi pilihan

Peguam, Nor Zizaleena Sahudin berkata, dia yang sememangnya 'gila' aiskrim Malaysia sejak di bangku sekolah rendah lagi, tetap akan mencari aiskrim itu kerana ia mengingatkan zaman kanak-kanaknya.

"Saya amat menggemari perisa Milo dan asam boi kerana ia perisa yang sangat nostalgik, tetapi saya masih berminat untuk merasai perisa lain memandangkan terdapat banyak ciptaan perisa yang amat menarik untuk dicuba.

"Selalunya bila teringin makan aiskrim Malaysia, saya akan beli, tetapi jika ada masa terluang saya buat mengikut perisa kesukaan saya," katanya.

Nor Zizaleena berpendapat, aiskrim Malaysia boleh pergi jauh memandangkan ramai individu dan peniaga semakin kreatif dalam mencipta pelbagai perisa.

"Tidak lupa juga, dengan penjenamaan dan bungkusan aiskrim Malaysia yang semakin menarik dijual telah menaik taraf persembahan aiskrim Malaysia itu sendiri.

"Saya percaya, aiskrim Malaysia akan kekal menjadi pilihan masyarakat kerana kesederhanaannya yang memikat hati penggemar aiskrim Malaysia dengan tawaran perisa menarik dan unik," katanya.

Permintaan tinggi

Sementara itu, peniaga aiskrim Malaysia, Zukhriyah Mokhtar berkata, permintaan tinggi terhadap aiskrim Malaysia mendorongnya untuk menjual aiskrim itu pada Oktober tahun lalu.

"Saya gelar aiskrim Malaysia sebagai aiskrim nostalgia. Pada mulanya, saya buat aiskrim ini untuk anak-anak saya makan, tetapi bila kawan-kawan mereka nampak, kami bagi rasa dan mereka suka dengan rasanya yang sedap, sebelum mula membeli.

"Bermula dengan 20 batang dengan lima perisa iaitu Milo, laici, anggur, sirap limau dan keladi, aiskrim saya habis terjual sehingga ada yang tidak dapat membelinya," katanya.

Zukhriyah kemudian meningkatkan pembuatan aiskrim ini hingga 100 batang sehari dan menambah lima lagi perisa baharu iaitu Coca-Cola, 7 Up, jagung, sarsi dan Nescafe yang dijual pada harga 50 sen. Dia juga sedia menerima tempahan aiskrim sumi dan choki-choki yang menjadi viral di laman sosial.

"Semua perisa itu atas permintaan pelanggan sendiri. Kalau cuaca panas dan musim cuti sekolah, 100 batang aiskrim Malaysia terjual, paling kurang pun dalam 40 batang sehari," katanya.

Selain itu, dia turut menerima tempahan dalam kuantiti yang banyak oleh guru yang membelanjakan aiskrim Malaysia untuk pelajarnya.

"Untuk projek akan datang, saya juga ada menerima tempahan daripada sukarelawan untuk memberikan aiskrim Malaysia kepada anak-anak yatim.

"Pada masa sama, saya juga terima tempahan aiskrim Malaysia untuk majlis-majlis seperti perkahwinan, hari jadi dan sebagainya," katanya.

0 Komentar untuk " Aiskrim Malaysia imbau nostalgia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ