Hayati falsafah perundangan Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hayati falsafah perundangan Islam

ISU kesamarataan gender dalam Islam masih lagi diperdebatkan dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam. Ada akhbar memaparkan perjuangan beberapa NGO wanita yang menuntut kesamarataan antara lelaki dan wanita. Ia termasuklah tuntutan mengkaji semula undang-undang Islam umpamanya yang berkaitan dengan faraid.

Undang-undang faraid itu didakwa ketinggalan zaman kerana tafsiran yang diberikan kepadanya semata-mata berdasarkan faktor sejarah. Syariah juga dikatakan bukan sebagai undang-undang tetapi merupakan dogma-dogma prinsip sahaja. Undang-undang ini hendaklah dipinda kerana mendiskriminasikan wanita.

Berbalik kepada isu undang-undang faraid. Seharuslah kita merujuk kembali kepada nas asal berkaitan dengannya, iaitu dalam Surah An Nisa’: ayat 11 hingga 14.

Al-Quran menjelaskan dengan begitu teliti keseluruhan hukum berkaitan faraid tersebut. Ayat-ayat yang begitu terperinci membawa makna yang amat jelas. Ia bersifat definitif dan tidak perlu ditafsirkan lagi.

Dari sudut kaedah pentafsiran pula hanya hukum-hukum yang bersifat spekulatif sahaja yang perlu ditafsirkan manakala yang bersifat tetap atau qatie tidak memerlukan kepada pentafsiran lagi.

Perkara ini tidak memerlukan tafsiran kerana ia sudah jelas. Oleh itu menyeru supaya hukum faraid ini ditafsirkan semula membawa erti meminda ayat-ayat hukum yang telah diturunkan oleh ALLAH. Apatah lagi apabila kita mengatakan undang-undang tersebut telah ketinggalan zaman. Ia amat jelas mencabul kesucian al-Quran itu sendiri.

Dalam masa kita memperkatakan tentang ketaatan kepada pemerintah, kita lupa bahawa ketaatan kepada Tuhan adalah ketaatan yang mutlak. Oleh itu tuntutan golongan ini dilihat sebagai tidak selari dengan pandangan Islam. Membelakangkan sumber hukum Islam hanya akan membawa kepada kerosakan. Akal fikiran kita tidak boleh mengatasi hukum naqli yang telah ditentukan oleh ALLAH.

 Dalam ayat yang dinyatakan di atas adalah jelas bahawa ALLAH memberi amaran terhadap ketentuannya yang perlu dipatuhi. Tidak timbul isu mentafsir semula ataupun mengatakan undang-undang itu telah ketinggalan zaman. Sepatutnya falsafah perundangan Islam itu difahami dan diinsafi, bukan hanya diambil secara sambil lewa.

Neraca Barat yang digunakan bagi mentafsir keadilan bukanlah neraca yang terbaik, malah dalam banyak keadaan ia lebih menyukarkan dan mendiskriminasi. Lensa Islam adalah lebih luas kerana keadilan dalam Islam bukan bermakna satu sama dengan satu. Keadilan dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu di tempatnya. Oleh yang demikian keadilan dalam Islam membawa maksud yang lebih besar lagi dari apa yang difahami oleh undang-undang lain.

Sekali lagi penulis menjemput agar kita melihat kembali maksud ayat al-Quran dalam Surah Al Nisa’ yang disebut di atas, membacanya satu persatu dan memahami maksud yang jelas, dinyatakan di dalamnya dengan hati yang ikhlas. Mudah-mudahan ALLAH akan memberi hidayah kepada kita.

Bagi penulis rasional al-Quran memberi bahagian yang lebih kepada orang lelaki adalah semata-mata kerana golongan lelaki dibebankan dengan pelbagai tanggungjawab termasuklah menjadi ketua keluarga. Segala apa yang diterima oleh orang lelaki hendaklah dikongsi bersama dengan orang lelaki lain dan perempuan lain yang terdiri daripada ibu, bapa, isteri, anak, adik-beradik dan lain–lain lagi. Tetapi wanita yang menerima faraid hanya untuk dirinya sahaja dan tidak wajib memberikan bahagiannya kepada orang lain termasuk suami beliau.

Dalam Islam umpamanya, tanggungjawab membayar nafkah tidak akan berpindah ke pihak perempuan dalam apa keadaan sekalipun kerana sekiranya suami atau bapa tidak berkemampuan membayar nafkah isteri atau anak-anak, tanggungjawab tersebut dipindahkan kepada datuk sebelah bapa, adik-beradik lelaki dan sesiapa yang hampir daripada kalangan keluarga lelaki tersebut.

Seharusnya persaingan antara lelaki dan wanita bukanlah dalam serba-serbi bidang. Bukan juga atas nama tertentu. Lelaki mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri begitu juga wanita mempunyai kekuatan dan kelemahan mereka juga. Apa yang perlu dititikberatkan ialah pelaksanaan dan penghayatan kepada undang-undang faraid ini bukan memansuhkannya.

Bagi penulis isu hak asasi manusia seperti kesamarataan walaupun disebut dalam Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai kepada isu-isu agama kerana prinsip hak asasi itu sendiri tidak bersifat mutlak. Perlembagaan Persekutuan sendiri memberikan keistimewaan kepada perundangan Islam sehinggakan dalam waktu darurat pun undang-undang Islam masih terlaksana.


* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Related Post

0 Komentar untuk " Hayati falsafah perundangan Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ