Gerhana di Masjid Cina - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Gerhana di Masjid Cina

“GERHANA oh... oh... Gerhana oh... oh... gerhana dalam jiwaku”. Begitulah lirik lagu Gerhana yang dinyanyikan oleh Hattan pada 1994. Ziana Zain juga menyanyikan lagu bertajuk Gerhana pada 1996.

Antara lirik lagu tersebut ialah, “Benar aku yang bersalah, mungkin tiada kemesraan di hati, terang yang tiba, jadi gerhana”.

Gerhana juga diertikan sebagai kesedihan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dan contoh yang diberi ialah malam gerhana bagi Malaysia apabila diratah oleh China dalam pusingan akhir perlawanan bola sepak Piala Asia.

Baru-baru ini, kita menyaksikan gerhana matahari separa, di mana sebahagian daripada matahari terlindung oleh bulan dan matahari kelihatan seperti bulan sabit. Fenomena ini berlaku apabila bulan terletak pada satu garisan di antara bumi dan matahari.

Dalam bahasa Cina, gerhana matahari dipanggil ri shi. Masyarakat Cina Kuno percaya bahawa kejadian gerhana matahari disebabkan oleh seekor naga yang sedang menelan matahari. Mereka akan memukul gendang sekuat-kuatnya untuk menakutkan naga tersebut.

Menurut legenda, dua ahli astrologi, Hi dan Ho, dihukum mati pada tahun 2134 SM kerana gagal meramal kejadian gerhana matahari yang berlaku ketika itu.

Masyarakat Viking pula menyebut gerhana sebagai Ragnarok yang bermaksud kiamat. Mereka percaya fenomena ini terjadi disebabkan dua serigala bernama Skoll dan Hati yang mengejar matahari dan bulan.

Mereka juga percaya jika satu objek tersebut tertangkap, gerhana akan terjadi dan satu daripada cara untuk menyelamatkan bumi adalah dengan membuat bising sekuat yang mungkin untuk menakutkan dua serigala tersebut.

Manakala kita sebagai orang Islam, harus melihat gerhana sebagai tanda peringatan dan kebesaran ALLAH SWT.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada ALLAH yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada ALLAH.” (Surah Fussilat 41:37)

“ALLAH jua yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah ALLAH Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedang mereka yang kamu sembah - yang lain dari ALLAH - tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma.” (Surah Faatir 35:13)

Berbalik kepada istilah gerhana, Masjid Muhammadiah atau lebih dikenali sebagai Masjid Cina di Taman Tasek Jaya, Ipoh, juga dilanda gerhana baru-baru ini. Akhbar Sinar Harian bertarikh 10 Mac 2016 melaporkan terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan senarai ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).

Mereka mempersoalkan kenapa senarai yang dikeluarkan oleh Jaipk berbeza dengan senarai lantikan yang mereka kemukakan setelah mesyuarat agung diadakan. Pengarah Jaipk, Datuk Yusop Husin, telah menerangkan bahawa jawatankuasa yang dilantik adalah sah kerana ia turut dipersetujui oleh empat ahli panel iaitu Orang Besar Jajahan (OBJ), pegawai tadbir agama, pegawai daerah serta penghulu, selaras dengan prosedur pelantikan.

Kuasa pelantikan AJK sebenarnya adalah di bawah Jaipk. Persoalannya, kenapa sebelum ini, ketika masjid baru siap, mereka boleh menerima saudara Cina sebagai AJK? Kenapa sekarang ini ditimbulkan isu ahli kariah pula?

Mungkinkah mereka tidak suka AJK yang bermata sepet? Mereka seharusnya sedar, Masjid Cina yang dirasmikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah, ini agak unik dan tidak sama dengan masjid-masjid lain.

Masjid Cina ini dikelilingi juga oleh rumah-rumah si mata sepet yang belum Islam. AJK bermata sepet ini, dengan pengetahuan Islam yang tinggi serta kebolehan berdakwah, mampu menyampaikan mesej Islam kepada mereka yang belum Islam.

Apatah lagi mereka bertutur dalam bahasa dan dialek yang sama. Maka, kita amat berharap pihak berkenaan dapat menerima dan bertoleransi dalam perkara ini.

Kita bukan ingin mempersoalkan ketuanan Melayu. Kita hanya ingin menonjolkan bahawa Islam adalah milik semua. Cina juga mampu mentadbir masjid jika diberikan peluang. Semoga gerhana di Masjid Cina akan berakhir.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Related Post

  • Maahad tahfiz lahirkan cendekiawan JIKA dihimpun kesemua naskhah al-Quran di dunia ini dan dibakar kesemuanya, dan kesemua kilang yang menerbitkan al-…
  • Guna mediasi tangani konflik MEDIASI adalah satu langkah intervensi bagi menyelesaikan konflik dalam masyarakat dengan melibatkan pihak ketiga y…
  • Masjid perlu mesra dakwah BARU-BARU ini saya mendengar keluhan sahabat lama, Hajah Noorshin Ng, yang merupakan Presiden Persatuan Darul Fitra…
  • Suburkan budaya saling hormat DALAM tulisan di laman Facebooknya baru-baru ini, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah menyarankan…
  • Antara bufet dengan nasi bungkus SYABAS kepada Tan Sri Datuk Dr Ali Hamsa yang meminta agar jamuan-jamuan yang diadakan oleh jabatan atau kementeria…
0 Komentar untuk " Gerhana di Masjid Cina "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ