Ekonomi kita tidak goyah diasak tekanan luar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ekonomi kita tidak goyah diasak tekanan luar

MUTAKHIR ini, pelbagai petanda menampakkan ekonomi negara sudah menghala ke arah detik genting. Harga minyak yang rendah dan penguncupan permintaan global hanyalah sebahagian faktor yang memaksa fenomena 'normal baharu' dialami di serata dunia, yang kini berdepan ekonomi yang perlahan. Bagi Malaysia, bukan setakat kesan sebagai negara pengeluar minyak, malah kesan kerana negara kita tinggi kadar dagangannya di seluruh dunia, jumlah dagangan mencecah 151.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2015, pastinya kejatuhan kadar penggunaan global turut membawa kesan ketara. Bahkan, kita sudah melihat dalam tahun 2016 ini beberapa industri, terutamanya yang membabitkan komoditi dan perkhidmatan kewangan, mengambil langkah berhemat untuk berdepan cabaran getir yang menanti.

Berlatarkan suasana sebegini, saya tidak berasa hairan bila terdengar suara bimbang yang mengatakan ekonomi kita dilanda krisis. Namun, prasangka ini meleset sama sekali. Sungguhpun berdepan dagangan dunia yang muram, ekonomi Malaysia pada tahun 2015 masih memperlihatkan ketahanan mantap. Pertumbuhan KDNK mencapai lima peratus, sasaran defisit bajet melepasi 3.2 peratus KDNK, hutang negara kekal pada paras 54 peratus, di bawah paras siling 55 peratus KDNK, manakala pelaburan swasta terus melebihi pelaburan awam pada nisbah 65:35. Walaupun pelaburan swasta lebih rendah berbanding tahun 2014, pelaburan sektor awam kekal lebih rendah, bukti bahawa kerajaan tidak mahu menyuntik modal pinjaman semata-mata untuk melonjakkan pertumbuhan sedangkan langkah ini hanya akan menambah hutang negara dan menjejaskan kedudukan fiskal.

Inisiatif fiskal kurangkan tekanan ekonomi 

Pada Januari lalu, ketika agensi penarafan Standard & Poor memberi komen pengubahsuaian bajet oleh Perdana Menteri, inisiatif fiskal yang dilakukan oleh Malaysia seperti pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pemansuhan subsidi petroleum turut disebut oleh agensi itu sebagai langkah yang berjaya mengurangkan tekanan yang selama ini menghambat langkah konsolidasi fiskal. Malah, ketiga-tiga agensi penarafan S&P, Moody's dan Fitch mengunjurkan penarafan kewangan Malaysia yang stabil pada tahun 2016 berlandaskan disiplin kerajaan yang komited dalam melaksanakan dasar konsolidasi. Persoalan lain yang timbul adalah sudahkah kita bina daya tahan yang ampuh dalam sektor utama negara?

Harga minyak yang rendah ialah berita baik kepada sektor pembuatan, namun memberi kemuraman kepada negara pengeluar minyak. Bulan lalu, saya dijemput oleh Kerajaan Oman untuk berkongsi inisiatif transformasi negara kita dengan mereka. Memandangkan Oman bergantung kepada keluaran minyak dan gas, mereka juga amat terdedah kepada ketidaktentuan harga minyak. Mereka teruja dengan prestasi yang kita capai di Malaysia, justeru menaruh minat untuk meniru transformasi itu. Saya juga turut menerima jemputan Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini, untuk memberi taklimat kepada jemaah menteri dan penjawat tertinggi kerajaannya mengenai pengalaman transformasi negara kita, kerana Arab Saudi sudah memulakan langkah transformasinya sendiri. Kini, 20 sesi makmal sedang dijalankan oleh mereka di Riyadh bertujuan memacu ekonominya dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Namun, Malaysia sendiri sudah melepasi peringkat diskusi makmal. Demi memastikan pengurusan fiskal berhemat, pada tahun 2010 kerajaan mengenal pasti kaedah mitigasi terhadap risiko ketidaktentuan ekonomi. Justeru, pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi mewajarkan kami untuk menstrukturkan semula ekonomi negara agar tidak terlalu bergantung pada hasil minyak dan gas, sekali gus membina daya tahan dalam 12 sektor ekonomi yang mampu memberi pulangan lumayan kepada negara. Di samping itu, pembaharuan strategi pula membolehkan kami mewujudkan persekitaran perniagaan yang kompetitif bagi membolehkan perniagaan terbaik berkembang maju.

Dalam setiap NKEA, kami mengorak langkah untuk mengembang aktiviti pelbagai sektor daripada penghasilan komoditi semata-mata kepada segmen hiliran bermutu tinggi. Saya bawakan di sini beberapa contoh yang saya maksudkan. NKEA minyak, gas dan tenaga turut merangkumi sebuah projek permulaan bagi meningkatkan hasil pengeluaran petrokimia yang diusahakan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang. Langkah ini adalah tindak balas terhadap ketidaktentuan ekonomi. Apabila harga minyak jatuh, input minyak dan gas juga turut menyusut. Justeru, bila dijual, hasil pulangannya lebih tinggi. Pengusaha 'deepwater terminal' Dialog Group Berhad berupaya memanfaatkan langkah bayaran tangguh dalam industri ini untuk menyediakan penyimpanan yang bakal meningkat sehingga mencecah kapasiti maksimum. Usaha yang serius dalam perniagaan hiliran ternyata langkah tepat dan amat berkesan. Selain itu, ketika sesi makmal minyak sawit dan getah pada tahun 2010, kami terlebih dahulu menjangkakan penyusutan harga minyak sawit mentah yang akan berlaku. Akhirnya, jangkaan kami tidak meleset apabila menyaksikan harga yang jatuh sepanjang tahun lalu. Di bawah NKEA Minyak Sawit dan Getah, kerajaan berganding tenaga dengan sektor swasta untuk menggalakkan percambahan perniagaan derivatif oleo kimia dan bahan kimia berasaskan bio bernilai tinggi. Kebanyakan inisiatif ini akan memakan masa untuk menyerlahkan hasil pulangannya, namun yang pasti, langkah ini sudah terlaksana, maka pastinya ekonomi kita tidak akan goyah walaupun diasak oleh bebanan tekanan luaran.


INDUSTRI sawit turut terjejas berikutan krisis ekonomi yang melanda. - Foto hiasan

Pertumbuhan ekonomi 

Maka atas sebab inilah, kita masih mampu menampilkan pertumbuhan ekonomi, bukan sebaliknya. Kita sudah pun berusaha gigih dan mengambil langkah sukar dilaksanakan, justeru kemapanan negara di masa depan tetap terjamin. Dalam menelusuri sejarah dunia, kita melihat betapa, setiap 40 tahun, 50 tahun, malah 100 tahun sekali pun, ekonomi global atau sesebuah negara akan mengalami kitaran naik dan turun. Ada pihak yang tidak mampu bertahan dan akhirnya tumbang. Tetapi dalam kalangan mereka masih ada juara mereka yang bijak mengutip peluang ketika keadaan tidak menentu dan akhirnya melonjak naik apabila keadaan sudah pulih. Kesilapan paling besar adalah bersikap cemas ketika ini. Apabila berlaku kelembapan ekonomi dan kerajaan sesebuah negara bertindak cemas, mereka akan meminjam wang untuk merangsang semula ekonomi. Pelaburan awam meningkat sedangkan kedudukan fiskal terkesan.

Tindakan ini ibarat 'menyepak tin ke hujung jalan' walaupun 'disepak,' hutang dan defisit tidak hilang malah tetap di hadapan kita. Sebaliknya, kita harus berlapang dada dan menerima realiti bahawa ekonomi dunia sedang muram dan kita harus berpegang teguh pada perancangan awal kita. Hanya ketahanan yang kukuh mampu mengekalkan kelangsungan pelbagai kitaran perniagaan untuk jangka panjang. Daya tahan bukannya sesuatu yang kita pupuk hanya apabila keadaan sudah gawat, namun perlu disemai ketika suasana susah dan senang agar kita tetap bersiap siaga tatkala ombak besar melanda. Oleh itu, sedang kita mendepani ombak besar ekonomi ketika ini, kita wajib berpegang teguh pada dasar yang telah kita rangka demi memastikan kita berjaya menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif bagi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan. (Sebarang komen yang adil dan telus amat dialu-alukan di idrisjala@pemandu.gov.my)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/133850

Related Post

  • Malaysia mendepani cabaran, teruskan transformasi ekonomi RTC dibina merancakkan lagi pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar. - Gambar hiasan Sering kali ketika dalam per…
  • Hentikan provokasi PENGANJURAN program pegang anjing, 'I Want To Touch A Dog’ melibatkan umat Islam baru-baru ini dikecam pelbagai p…
  • Angkara ‘Anjing’ Sungguh, tidak terduga anjing boleh menyebabkan ki­ta berbalah. Juga tidak terduga, ada orang Islam negara ini yang umu…
  • Bina kekuatan bangsa PERDEBATAN mengenai sekolah satu aliran tidak pernah menemui titik noktahnya menyebabkan isu ini terus menjadi pe…
  • Warna hidupkan denyut nadi bandar PENDUDUK harus mudah berhubung untuk menjadikan sesebuah perbandaran lebih hidup. ANTARA peranan warna ialah melahir…
0 Komentar untuk " Ekonomi kita tidak goyah diasak tekanan luar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ