BULAN lalu negara digemparkan oleh pendedahan gabungan NGO Hindu Conversion Action (HICOUT) yang dikatakan mendakwa 7,000 orang Hindu telah dipaksa memeluk Islam.
Sejurus membaca laporan tersebut penulis terus membuat kenyataan akhbar mewakili Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menzahirkan betapa terkejut terdapat sejumlah orang bukan Islam yang dipaksa memeluk Islam. PPMM juga menawarkan sebarang khidmat diperlukan bagi menyelesaikan masalah ini kerana Islam sendiri tidak pernah mengajar umatnya memaksa orang bukan Islam memeluk Islam.
Suatu diskusi dalam keadaan yang amat harmoni telah diadakan pada 17 Mac lalu di pejabat Malaysia Hindu Sanggam selama lebih dua jam. Hasil perbincangan tersebut mendapati sebenarnya bukanlah 7,000 orang dipaksa memeluk Islam tetapi Hicout mendakwa 7,000 orang telah disalah klasifikasi sebagai Islam sedangkan mereka adalah beragama Hindu. Hicout memaklumkan bahawa mereka tidak pernah mendakwa terdapat 7,000 orang dipaksa memeluk Islam.
Kekeliruan yang timbul disebabkan laporan sesetengah media portal yang mungkin mahu mensensasikan isu begini bagi mendapat liputan besar.
Masalah sebenarnya ialah masalah dokumentasi, pengangkatan anak orang Islam di bawah umur kepada orang bukan Islam, anak yang ditinggalkan kepada keluarga bukan Islam dan banyak lagi. Sebagai sebuah pertubuhan berteraskan Islam PPMM bersetuju untuk memberi khidmat menyelesaikan perkara ini berdasarkan setiap kes yang dirujuk. Untuk itu sebuah jawatankuasa teknikal akan dibentuk antara PPMM dan Hicout bagi meneliti kes-kes tersebut dan mencari jalan menyelesaikannya.
Usaha julung kali diadakan antara NGO Islam dan NGO bukan Islam ini mendapat liputan media yang meluas. Ramai yang memuji usaha ini yang merupakan manifestasi setiap masalah itu boleh diselesaikan dengan baik walau sensitif mana pun isunya. Penyelesaian tuntas boleh dicapai dengan mengetepikan emosi dan meletakkan peri kemanusiaan menjadi keutamaan.
Namun masih ada yang sinis terhadap usaha ini sama ada kalangan orang Islam mahupun orang bukan Islam. Nampak gayanya masih ada golongan yang tidak mahu menyelesaikan masalah ini mungkin untuk kepentingan politik mereka. Ini adalah kerana jika masalah sebegini dapat diselesaikan sudah tidak ada lagi bahan politik yang mahu digembar-gemburkan lagi. Mereka mahu menangguk di air keruh dan menjadi hero dalam isu ini.
Mungkin bagi sebahagian orang politik, lebih suka berpolemik daripada menyelesaikan permasalahan ini. Penulis ingin tegaskan di sini bahawa usaha yang dibuat tersebut langsung tidak melibatkan orang politik. Ia merupakan inisiatif NGO-NGO sahaja walaupun akhirnya kelak NGO ini akan pasti melaporkan kepada pihak kerajaan persefahaman yang dicapai supaya pihak kerajaan dapat senada dengan usaha murni ini.
Usaha ini akan mengenal pasti jalan penyelesaian yang pantas dan betul supaya hak orang bukan Islam menganut dan mengamalkan agamanya dijamin. Memberikan hak kepada bukan Islam menganut dan mengamalkan agama mereka tidak sedikit pun melucutkan keimanan orang Islam. Malah ia amat dituntut oleh agama Islam dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Sejauh mana jawatankuasa teknikal ini dapat berfungsi kelak kita sama-samalah menunggunya. Memang pada awalnya nanti terdapat banyak kekangan namun dengan usaha yang jitu, segala kekangan tersebut akan dapat dirempuh. Berilah ruang dan peluang kepada jawatankuasa teknikal ini memainkan peranannya ke arah merealisasikan sebuah negara berbilang bangsa dan agama yang aman dan harmoni.
Insya-Allah usaha ini akan menzahirkan keindahan ajaran agama Islam dan meminggirkan persepsi negatif terhadap agama Islam. Kalau selama ini umat Islam arus perdana dilakar sebagai ekstremis, mementingkan diri dan tidak berperi kemanusiaan. Kita sama-samalah buktikan bahawa Islam adalah agama yang aman harmoni sesuai untuk berbilang bangsa tanpa mengira masa.
Penulis juga menyeru institusi berkaitan seperti majlis agama, jabatan agama, mahkamah syariah, peguam syarie dan semua yang berkenaan dapat sama sama berganding bahu melaksanakan amanah ini bersama PPMM.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

0 Komentar untuk " Bersama atas isu kemanusiaan "