Yakin Halal Mart: 3 cawangan bakal dibuka - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Yakin Halal Mart: 3 cawangan bakal dibuka

YAYASAN Kemajuan Islam Nasional (Yakin) akan membuka tiga cawangan pertama Yakin Halal Mart yang terletak di Seksyen 7 Bangi, Kajang Sentral dan Kajang Mewah pada 10 Februari ini.

Upacara perasmian kedai baharu itu akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 14 Februari ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, tiga cawangan itu adalah kedai pertama seumpamanya di negara ini.

"Yakin Halal Mart adalah satu-satunya kedai 100 peratus milik Bumiputera.

"Kita akan mengambil barang jualan daripada peniaga, penternak, nelayan, nelayan mahupun pengeluar produk hanya daripada Bumiputera," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, Yakin Halal Mart akan menjual barang keperluan sebanyak 20 peratus, sayur-sayuran 40 peratus dan makanan laut 30 peratus termasuk daging.

Bagaimanapun, katanya, Yakin Halal Mart tidak menjual rokok dan barangan kosmetik.

Menurutnya, konsep Yakin Halal Mart ini sama seperti pasar raya atau pasar besar yang lain tetapi ia menawarkan harga jauh lebih rendah daripada pasar raya sehingga 35 peratus.

Seiring konsep halal yang dibawa, Syed Ibrahim berkata, pihaknya mahu menyediakan produk yang 100 peratus halal tanpa perlu diragui status halalnya oleh masyarakat Muslim.

"Oleh itu, selepas tiga tahun perbincangan dan belajar tentang selok-belok perniagaan akhirnya kami berjaya tampil dengan konsep ini.

"Kami berharap ia akan mendapat tempat dan sambutan daripada pengguna," katanya.

Selain memperkenalkan produk halal, tujuan Yakin Halal Mart juga adalah untuk membantu mengetengahkan produk usahawan atau pengeluar Bumiputera.

Katanya, jika sebelum ini usahawan Bumiputera terbatas daripada segi memasarkan produk mereka di pasar raya, Yakin berharap dengan platform ini dapat membantu mereka menjual produk-produk mereka ke pasaran tempatan.

Setakat ini, Yakin Halal Mart akan menawarkan lebih 2,000 produk daripada 300 syarikat Bumiputera.

Sasar 400 cawangan

Berikutan sambutan yang menggalakkan daripada usahawan, Syed Ibrahim berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 67 cawangan lagi akan dibuka menjelang akhir tahun ini.

"Selain Selangor, kami juga akan membuka Yakin Halal Mart di negeri lain seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Bahru bagi fasa pertama.

"Kami juga merancang untuk membuka 400 cawangan Yakin  Halal Mart ini dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Menurutnya, hanya selepas lima tahun pihaknya akan membuka cawangan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, pihaknya menawarkan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi francais bagi Yakin Halal Mart di seluruh negara.

"Ia terbuka kepada belia yang berumur di bawah 40 tahun.

"Kami juga akan membantu mereka mendapatkan modal permulaan sebanyak RM350,000 daripada Majlis Amanah Raya (Mara) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)," katanya.

Selain itu, Yakin juga akan membantu usahawan dengan membawa pengusaha menghadapi kursus dan program keusahawanan sehingga berjaya.

Menurutnya, dengan jualan kedai sebanyak RM4,000 sebulan, pengusaha Yakin Halal Mart boleh menjana pendapatan minimum sehingga RM13,800 sebulan.

0 Komentar untuk " Yakin Halal Mart: 3 cawangan bakal dibuka "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ