Tingkat pemantauan, keselamatan ESSZONE - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tingkat pemantauan, keselamatan ESSZONE

TIGA tahun sudah berlalu, namun ancaman pengganas Sulu berikutan insiden pencerobohan kumpulan berkenaan pada awal Februari 2013 di Kampung Tanduo, Lahad Datu masih wujud hingga ke hari ini. Bagi Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, isu pencerobohan tetap ada meskipun pasukan keselamatan berjaya mengembalikan keamanan dan meningkatkan pemantauan bukan saja di Kampung Tanduo, malah seluruh Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu menegaskan, pasukan keselamatan tidak pernah ambil ringan sebarang ancaman, malah setiap maklumat atau khabar angin yang diperoleh dianggap serius dan perlu disiasat. Ia menggambarkan komitmen sebenar pasukan keselamatan dalam memastikan kedaulatan Sabah tidak diganggu-gugat pihak luar yang berniat jahat menimbulkan kekacauan dan ketegangan di negeri itu. "Polis tidak pernah ambil mudah terhadap apa saja bentuk ancaman luar walaupun sudah tiga tahun insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo berlalu.

Kita ambil kira semua maklumat yang diterima. "Malah, kita sentiasa memantau keadaan keselamatan di ESSZONE, termasuk di Kampung Tanduo dan sekitarnya serta menjalankan siasatan terhadap setiap maklumat daripada orang ramai berhubung isu pencerobohan," katanya. Tarikh 9 Februari 2013 menjadi detik hitam sejarah negara apabila kira-kira 150 penceroboh dari selatan Filipina dikesan mendarat secara berperingkat di Kampung Tanduo, sebelum kehadiran mereka dilaporkan kepada polis pada 12 Februari 2013. Kehadiran kumpulan bersenjata itu menimbulkan ketegangan dan mencetuskan pertempuran berdarah dengan pasukan keselamatan selepas rundingan meminta mereka meninggalkan Kampung Tanduo gagal.

10 anggota keselamatan maut

Seramai 10 anggota pasukan keselamatan dan 65 penceroboh dilaporkan terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac 2013 dan di Kampung Simunul, Semporna pada 2 Mac 2013, selain dalam Ops Daulat yang bermula pada 5 Mac di gugusan Labian, Lahad Datu. Kini, Kampung Tanduo dijadikan kem tentera yang menempatkan anggota keselamatan untuk melaksanakan operasi pemantauan berterusan di sekitar kampung berkenaan bagi mengelak kemasukan penceroboh. Abd Rashid yang menjadi Komander ESSCOM sejak Mac 2013 hingga dilantik Pesuruhjaya Polis Sabah pada Januari lalu, menegaskan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan sebarang cubaan pencerobohan baharu dapat dipatahkan.

ESSCOM yang menggabungkan kerjasama polis dengan agensi keselamatan lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini semakin digeruni sebagai agensi pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan yang merangkumi 10 daerah. Daerah terbabit ialah Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau, Kinabatangan, Sandakan, Beluran, Kota Marudu, Pitas dan Kudat dengan pusat pentadbiran ESSCOM diletakkan di Lahad Datu. Abd Rashid berkata, kerjasama erat agensi keselamatan di ESSCOM memantapkan usaha mengukuhkan keselamatan ESSZONE, termasuk di gugusan Labian yang menjadi medan pertempuran pasukan keselamatan dengan penceroboh menerusi Ops Daulat pada Mac 2013.

"Penubuhan ESSCOM cukup berkesan dalam memantapkan pertahanan dan penguatkuasaan di kawasan ESSZONE termasuk di Kampung Tanduo, sekali gus menjadikan tahap keselamatan di kawasan berkenaan kini semakin baik. "Bagaimanapun, kita tidak leka dengan apa yang dinikmati pada hari ini kerana ancaman pencerobohan tetap ada. Malah, kita mahu memantapkan lagi keupayaan dari segi aset bagi memastikan operasi pemantauan dan penguatkuasaan lebih lancar," katanya. Beliau berkata, usaha menggabungkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan menerusi ESSCOM adalah cabaran penting yang berjaya diatasinya ketika mengetuai agensi itu dan akhirnya berjaya mewujudkan sebuah pasukan yang semakin mantap.

Tingkat kesedaran rakyat 

Selain mengukuhkan aspek pertahanan, program mendekati masyarakat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung kepentingan kerjasama menjaga keselamatan di sekitar ESSZONE turut digerakkan berterusan. Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan, berkata program itu yang diadakan sepanjang masa penting sebagai usaha jangka panjang meningkatkan pembabitan orang ramai dalam aspek keselamatan.

"Kita meneruskan program mendekati masyarakat, khususnya di kawasan ESSZONE untuk menyedarkan penduduk berhubung peranan mereka dalam membantu agensi keselamatan menjaga kedaulatan dan keamanan tempat mereka. "Menerusi pendekatan ini, kita dapat berjumpa dengan pemimpin masyarakat dan penduduk kampung untuk memberi taklimat atau penjelasan berhubung isu keselamatan semasa, selain mendapatkan maklum balas mereka menerusi aktiviti dialog," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123934
0 Komentar untuk " Tingkat pemantauan, keselamatan ESSZONE "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ