Sejak berpuluh tahun lalu, Kapit yang menjadi pusat pentadbiran utama di kawasan pedalaman wilayah tengah Bumi Kenyalang, hanya boleh dihubungi menggunakan pengangkutan air dengan menyusuri Sungai Rejang dari Sibu, Kanowit, Song atau Belaga. Bentuk muka bumi yang berbukit bukau serta melalui banyak anak sungai menyukarkan jalan raya dibina untuk menghubungkan bandar kecil itu dengan daerah lain sehingga menyebabkan penduduknya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan bot ekspres sebagai pengangkutan utama.
Diperkenal penghujung 1950-an
Kesukaran penduduk untuk keluar ke daerah lain mendorong usahawan dari Sibu memperkenalkan perkhidmatan bot ekspres bagi menyusuri Sungai Rejang dari Sibu ke Kapit yang jaraknya hampir 130 kilometer. Difahamkan, ketika mula diperkenalkan pada penghujung 1950-an, bot ekspres yang dibina daripada kayu mengambil masa sehari perjalanan dari Sibu ke Kapit kerana bot berkenaan terpaksa berhenti di beberapa pekan kecil sepanjang laluan antaranya Durin, Kanowit dan Song. Malah, bot ekspres itu juga berhenti di hampir semua rumah panjang untuk mengambil dan menurunkan penumpang, selain menurunkan barangan keperluan harian yang dibeli penduduk dari bandar Sibu atau Kapit.
Pada awal 1970-an, perkhidmatan bot ekspres yang semakin popular di wilayah tengah Sarawak mengalami evolusi dengan enjin lebih berkuasa digunakan, manakala bot pula dibina daripada besi. Dengan enjin diesel yang lebih berkuasa, masa perjalanan menjadi lebih pendek apabila perjalanan antara dua destinasi utama di Sungai Rejang itu hanya lima jam berbanding sehari suntuk sebelumnya. Pada penghujung 1980-an, perkhidmatan bot ekspres terus mengalami perubahan dengan rekaan bot lebih aerodinamik dan dilengkapi enjin berkuasa tinggi. Perubahan itu terus berlaku hingga kini. Malah ada bot ekspres yang bahagian dalamnya menyerupai kapal terbang serta menawarkan tempat duduk mengikut kelas, termasuk kelas VIP dengan kadar tambang antara RM30 hingga RM38.
Masa perjalanan dari Sibu ke Kapit juga semakin pendek menjadi tiga jam sahaja dan jumlah perkhidmatan yang disediakan pula ditambah setiap jam antara dua destinasi itu, bermula jam 5.30 pagi hingga jam 2.30 petang, setiap hari. Setiap bot ekspres mampu membawa antara 100 hingga 120 penumpang untuk satu perjalanan, namun ada kalanya jumlah penumpang meningkat sehingga ada yang sanggup duduk di atas bumbung. Keadaan itu biasanya boleh dilihat pada musim perayaan Gawai Dayak yang disambut pada 1 Jun setiap tahun, kerana ketika itu ramai anak muda masyarakat Iban yang merantau balik ke rumah panjang masing-masing.
Pemeriksaan berkala
Berikutan peningkatan jumlah penumpang yang menggunakan bot ekspres, Lembaga Sungai Sungai Sarawak (LSS) mengambil langkah tegas dengan membuat pemeriksaan berkala untuk memastikan pengusaha bot mematuhi jumlah penumpang yang ditetapkan. Beberapa insiden bot karam yang berlaku akibat penumpang berlebihan membuatkan ramai pihak menggesa jalan raya dibina untuk menghubungkan Sibu dengan Kapit. Kini, impian penduduk Kapit merasai pengalaman memandu kenderaan keluar dari bandar kecil itu ke daerah lain semakin hampir menjadi kenyataan apabila Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan RM723 juta untuk membina jalan raya bagi menghubungkan Kapit dengan Kanowit, seterusnya ke Sibu.
Pembinaan jalan raya lebih 80 Kilometer itu kini sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) secara berperingkat dengan projek yang bermula dari Kapit dilaksanakan sejak dua tahun lalu. Projek jalan raya yang dijadualkan siap pada 2019 itu pasti menggembirakan ramai penduduk Kapit yang sejak sekian lama mahu memandu kenderaan dari daerah lain ke bandar itu, bukan lagi mengangkut kereta dengan tongkang menyusuri Sungai Rejang.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/124267

0 Komentar untuk " Evolusi bot ekspres Kapit bakal berakhir? "