Selendang manik naik seri pemakai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Selendang manik naik seri pemakai

CANTIK dan unik. Selendang manik menjadi pilihan untuk berfesyen dan menjadikan pemakai lebih anggun dan sopan. Persepsi berselendang tidak lagi menjadi sukar berfesyen kerana ia boleh digayakan mengikut kesesuaian majlis.

Kini berselendang manik menjadi pilihan wanita pada masa kini tidak mengira usia terutamanya jenis halfmoon atau separuh bulatan dan oblong.

Serlahkan penampilan Muslimah

Suri rumah, Sharifah Munirah Syed Mustafa berkata, pemakaian selendang manik menyerlahkan penampilan Muslimah kerana rekaannya tampak moden, eksklusif dan bersesuaian dengan busana.

“Saya mula menggemari selendang bermanik sejak tahun lalu. Ia mudah digayakan kerana tidak memerlukan aksesori yang padat.

“Saya suka pada selendang manik yang ringkas dan boleh digayakan menghadiri majlis tertentu antaranya makan malam, majlis keraian dan majlis perkahwinan. Saya tidak kisah mengeluarkan wang lebih untuk membeli selendang manik asalkan menepati cita rasa saya yang mahukan ia patuh syariah dan berwarna pastel,” katanya.

“Kekuatan koleksi ini terletak ada pencirian manik-manik, batu permata, mutiara dan labuci. Menggunakan sifon lembut, selendang boleh digayakan dengan pelbagai cara mudah mengikut wajah seseorang,” katanya.

Kini, Syarifah Munirah mempunyai lebih 10 koleksi selendang manik dan mempunyai pelbagai warna.

Keyakinan si pemakai

Bagi kakitangan awam, Siti Nurul Ain Basiran berkata, dia memilih selendang manik kerana memberikan keyakinan untuk bekerja dan bertemu orang ramai pada setiap hari.

Katanya, ia boleh digayakan dengan pelbagai cara dan dengan adanya hiasan di selendang yang dipakai menambahkan kecantikan kepada pemakainya.

“Saya meminati selendang manik kerana ia hasil jahitan tangan dan menunjukkan tukang jahitnya kreatif. Saya menggemari selendang manik sejak tujuh bulan lalu dan menjadi pelanggan setia kepada The Bubblepearl,” katanya.

Siti Nurul Ain berkata, dia tidak kisah berbelanja membeli selendang manik kerana harga ditawarkan mampu milik.

“Selendang The Bubblepearl selesa, lain daripada yang lain dan jahitannya kemas untuk mengelakkan perincian tertanggal dan rosak,” katanya.

Permintaan selendang manik tinggi

Bagi pemilik The Bubblepearl, Mellisa Burhan, dia menjual selendang manik sejak Jun 2015 dan permintaan sangat tinggi terutamanya pada musim perayaan.

“Alhamdulillah, The Bubblepearl adalah jahitan sendiri dengan menggunakan elemen kristal, mutiara dan sebagainya. Setiap selendang saya mempunyai tiga identiti dan mempunyai pelbagai rekaan antaranya berbentuk kerawang, flora dan fauna,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan pelanggan akan menempah mengikut idea mereka dan menyerahkan sepenuhnya kepada kreativitinya.

“Saya menjual lebih lima rekaan selendang manik antaranya Sabreena, Aleeya, Hafeeda, Iris, Teja, Saleena dan Zulaikha. Pada setiap hari saya mampu menyiapkan lebih 20 tempahan,” katanya.

Menurutnya, peminat selendang manik boleh menempah selendangnya kerana dia mempunyai 15 stokis di seluruh negara.

“Selendang manik saya kini memasuki pasaran Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan akan ke pasaran Filipina.

"Saya hanya mempromosikan rekaan saya di media sosial dan kawan-kawan saya yang mengesyorkan kepada rakan-rakan mereka,” katanya.

Mellisa berkata, selendang manik boleh dimiliki dengan harga bermula RM65.

0 Komentar untuk " Selendang manik naik seri pemakai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ