Perubatan naturopati tawar alternatif - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perubatan naturopati tawar alternatif

BIDANG keusahawanan perubatan naturopati kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat yang mementingkan perubatan secara alami.

Meskipun merupakan sejenis perubatan alternatif, namun bidang ini telah melebarkan sayapnya dengan penubuhan Akademi Keusahawanan Naturopati anjuran Malaysian Association of Naturopathic Medical Seniors (Manis).

Presiden Manis yang juga penasihat Kumpulan Perubatan Naturopati (KPN) Manis, Dr Azman Mohamad Tahir berkata, pengamal-pengamal perubatan komplimentari & holistik Malaysia berpengalaman yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam bidang perubatan Naturopati telah bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Manis dalam menubuhkan akademi keusahawanan.

“Memandangkan sambutan di bidang ini amat menggalakkan ditambah dengan peratusan kejayaan pesakit dalam rawatan ini, Manis telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan USM dalam program latihan dan pengiktirafan menggunakan kaedah Program Pencapaian Terdahulu.

“USM adalah satu-satunya universiti berprestij bertaraf Apex di Malaysia. Bermaksud, mereka yang ingin menyertai program diploma ini mestilah seorang pengamal perubatan tradisional dan komplimentari yang praktik selama lebih dua tahun dalam bidang seperti homeopati, naturopati, manipulasi badan seperti urutan badan, Akupunktur, terapi bekam dan lain-lain rawatan. Kita mengambil kira rekod-rekod mereka yang lama sebagai dokumentasi yang akan disampaikan kepada USM sebagai kelayakan mengikuti program tersebut,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini program hanya dibuka sehingga ke peringkat diploma sahaja dan dalam perbincangan ke arah mewujudkan peringkat sarjana muda dan ijazah sarjana di bidang seumpamanya.

Berasaskan vitalism

Dr Azman yang juga Pengasas Azbudi Pusat Pakar Perubatan Naturopati & Homeopati Ipoh, Perak, menjelaskan objektif akademi ini ditubuhkan adalah bagi membuka peluang kepada usahawan dan bakal usahawan yang berminat dalam menerokai bidang naturopati di Malaysia.

“Di samping itu, ia bakal membuka peluang latihan dan bimbingan kepada lepasan sekolah, kolej, universiti dan kepada warga kerja dan pengamal sedia ada untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang naturopati di peringkat sijil asas profesional sehingga ke peringkat diploma eksekutif dengan kerjasama pihak USM, Kluster Perubatan Tradisional & Integratif ,” katanya pada majlis sidang media pelancaran Akademi Usahawan KPN dan seminar peluang keusahawanan Naturopati Manis dan USM.

Menurutnya, perubatan naturopati adalah sejenis perubatan alternatif yang berasaskan kepada vitalism, yang meyakini bahawa terdapat kuasa dalaman diri istimewa yang dipanggil Vital Force yang menggerakkan proses kehidupan seperti metabolisme, reproduksi, tumbesaran dan adaptasi.

Naturopati menawarkan pendekatan holistik dan rawatan selamat yang kebanyakannya mengelak dari penggunaan pembedahan dan dadah.

“Dalam perubatan naturopati kita bukan merawat penyakit tetapi merawat pesakit. Ia membantu pesakit merangsang imun sistem tubuh badan sendiri. Itulah yang dikatakan pendekatan secara holistik. Kita mendiagnosis pesakit contohnya menerusi mata, lidah dan kuku serta otot.

"Ambil contoh konsep tumor misalnya, perubatan naturopati akan membantu pesakit merangsang imun sistem mereka sendiri agar tubuh badan lebih aktif untuk melawan balik tumor itu, sekali gus mengecutkannya sendiri,” katanya.

Hadir seminar sebagai asas

Sehubungan itu, siri jelajah seminar peluang keusahawanan naturopati akan diadakan secara bergerak di empat lokasi di Semenanjung Malaysia pada Februari ini iaitu Johor Bahru (20), Kuala Lumpur (21), Kota Bharu (27)  dan Pulau Pinang (28).

Seminar keusahawanan ini akan memberikan pengenalan kepada asas keusahawanan naturopati seperti diagnosis iridology, manipulasi badan, hipnoterapi, refleksologi, nutrisi, herba dan konsultasi.

Ia bakal mendedahkan peluang-peluang dan potensi besar industri naturopati di Malaysia yang disampaikan oleh pengamal naturopati Manis yang telah berjaya dan berpengalaman sekurang-kurangnya lima tahun.

Peserta yang hadir ke seminar akan turut didedahkan dengan rahsia potensi diri dan mendapat hadiah cenderamata tajaan KPN Manis.

“Kita juga akan membongkar potensi besar sebagai usahawan naturopati dan peluang menjadi ahli penuh Manis yang bernaung di bawah badan pengamal yang diiktiraf oleh KKM.

"Di samping itu juga ramai lagi pengamal dan usahawan naturopati akan berkongsi kejayaan bersama-sama peserta," katanya.

Pendaftaran boleh dibuat secara atas talian dengan yuran serendah RM80 seorang atau RM100 pakej dua orang.

0 Komentar untuk " Perubatan naturopati tawar alternatif "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ