Mi sup Kak Aye jadi tumpuan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mi sup Kak Aye jadi tumpuan

RESTORAN Kak Aye di Teluk Intan, Perak menjadi tumpuan penduduk tempatan pada waktu pagi hingga tengah hari kerana mi supnya, namun tidak meninggalkan selera lain seperti nasi lemak, lontong, pulut kukus, soto, mi dan mihun goreng pada harga berpatutan.

Menurut pemiliknya, Normah Jaafar, 60, Restoran Kak Aye dinamakan sempena panggilan mesra pelanggan kepadanya.

“Pada mulanya saya membahasakan diri sebagai ‘aye’ yang bermaksud ‘saya’ dalam loghat Perak. Pelanggan pula panggil saya Kak Aye, jadi untuk mudahkan pelanggan, saya namakan Restoran Kak Aye," cerita Normah.

Menurut Normah, makanan yang paling digemari dan menjadi tarikan pelanggan ke restoran ini adalah mi sup panas yang dijual dengan harga RM3.50 semangkuk.

Katanya, antara campuran mi sup berkenaan ialah daging cincang, sayur dan sos cili tomato buatan sendiri.

"Sebelum membuka perniagaan sendiri, saya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan seorang pemilik - Mohd Nor dan isterinya Ramlah.

"Dari situ saya belajar cara membuat mi sup selama 10 tahun bekerja dengan mereka.

“Sebelum membuka restoran, saya berniaga dengan menggunakan gerai bergerak dekat Mini Stadium, Jalan Speedy, Teluk Intan selama sembilan tahun dan berpindah ke tapak restoran sekarang yang tidak jauh dari situ sejak lapan tahun lalu," katanya.

Normah berkata, mi supnya kini memang terkenal di Teluk Intan terutama dalam kalangan kakitangan kerajaan yang bertugas di pejabat berdekatan.

“Kebanyakan mereka datang sebelum masuk kerja di pejabat, waktu rehat sebelah pagi dan makan tengah hari, “katanya.

Normah berkata, pelanggannya sanggup berbaris menunggu giliran setelah membuat pesanan kerana mahu merasai mi sup yang dijualnya sejak 17 tahun lalu.

Dengan menggunakan khidmat tiga pembantu termasuk seorang anak lelakinya, Shahreezam Abdul Wahab, 28 dia menjual makanan di situ dari awal pagi hingga 1.30 tengah hari sahaja.

Menurutnya, dia juga menyimpan hasrat mengembangkan lagi perniagaan di lokasi bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Shah Alam, Ipoh dan Johor Bahru.

0 Komentar untuk " Mi sup Kak Aye jadi tumpuan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ