Istilah ‘Abang Bangla’ lebih manja... - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Istilah ‘Abang Bangla’ lebih manja...

*TIDAKLAH saya ketahui mengapa satu ketika dulu istilah ‘Abang Bangla’ tidak boleh digunakan, sebab itu dikatakan menghina pendatang asing dari Bangladesh.

Tetapi, di ruangan ini saya ikhlas dan tidak ada apa-apa niat buruk apabila menggunakan perkataan Abang Bangla.

Pada saya tidak ada apa yang hina pada istilah tersebut, sebaliknya sama seperti gelaran Abang Jawa, Abang Arab, Abang Mat, malah Abang Jamil dalam filem P Ramlee Madu Tiga.

Lagi pun gelaran terhadap pendatang berkenaan yang disebut setiap hari dalam media sosial sebenarnya lebih teruk dan menghina. Pengguna maya menyebut pendatang Bangladesh sebagai perogol, penyangak, perompak, sampah, dan sebagainya.

Jadi, apa salahnya memanggil mereka Abang Bangla? Kedengaran lebih mesra dan manja gituuu!

*ADA pun sekian banyak istilah negatif yang diluahkan di media sosial semenjak dua menjak ini adalah sebagai rasa marah yang meluap-luap terhadap rancangan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja dari negara berkenaan ke sini.

Seperti yang dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jumlah 1.5 juta itu bukan datang ke tempat kita sekali gus, tetapi berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

Menurut Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, kemasukan pekerja asing itu tidak dapat dielakkan bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

Walaupun telah dijelaskan, warga siber tetap marah kepada Zahid, sehingga ada yang menggelar beliau sebagai Menteri Bangla. Ini tidak patut, sebab beliau bukan Bangla, tetapi Jawa dari Bagan Datoh.

*SECARA peribadi saya tidak kisah sangat berapa banyak pendatang Bangladesh hendak dibawa masuk. Berapa kapal terbang, berapa kapal laut, berapa lori, saya tidak akan bising.

Lagi pun apa yang hendak dibisingkan mengenai Abang Bangla, sedangkan orang lain pun banyak masuk ke sini sejak dulu, berkapal-kapal, bertongkang-tongkang.

Seperti yang diketahui ada lebih 6 juta pendatang asing – baik yang masuk secara sah dan secara haram @ Pati – di keliling kita sekarang. Ada dari Indonesia, India, Thailand, Filipina, Kemboja.

Bahawa semua orang dari seluruh alam dan negeri antah-berantah tergila-gila untuk datang dan mencari rezeki di sini membuktikan negara kita penuh dengan peluang, aman, damai, sejahtera...

*CUMA yang saya minta pihak berkuasa mesti tegas dalam menangani masalah dan kerenah pendatang asing. Kita benarkan dia masuk, tetapi jangan biarkan mereka buat sesuka hati, mesti ikut undang-undang kita.

Sekarang pihak berkuasa kita macam tutup sebelah mata dalam hal-hal tertentu mengenai pendatang asing.

Ada pendatang menjadi peneroka haram dengan mendirikan rumah @ kongsi di kawasan tertentu, sehingga kawasan berkenaan menjadi seperti negara mereka. Puas laporan dibuat tiada tindakan. Bila sudah masuk TV baru ada tindakan.

Sudah bertahun menjadi setinggan, banyak laporan dibuat, tetapi lambat sangat penguat kuasa kita bertindak. Ada apa-apa ke?

*SELALU disiarkan media mengenai pendatang kulit hitam @ Awang Hitam yang berani membuat onar dengan mengusik dan memperkosa gadis dan wanita kita. Mereka menyewa flat atau apartmen, dan langsung tidak mempedulikan undang-undang kita.

Ada yang lebih biadab, masuk ke tempat-tempat hiburan ramai-ramai, mabuk dan membuat kacau. Malah, ada yang berani kencing di khalayak ramai sambil dengan megah menunjukkan kemaluan.

Kita tidak tegas, sebab itu orang hitam terus kurang ajar dan menayangkan telur mereka. Ini yang perlu ditangani oleh agensi dan penguat kuasa kita. Buktikan kita pun ada telur!

*AKHIR kalam, ada yang bimbang lambakan pendatang dari Bangladesh akan mendedahkan gadis dan wanita kita untuk terlibat dalam kisah cinta ala-ala filem Hindustan.

Mereka kata lelaki dari negara berkenaan ramai yang tampan dan mirip ikon-ikon filem Hindi. Ada yang macam Shah Rukh Khan, Salman Khan. Sudahlah tampan, baik hati pula, ramailah ‘Kajol’ tempatan yang terpaut perasaan terhadap Abang Bangla.

Tetapi, pada hemat saya, kalau tidak ada Abang Bangla pun ramai gadis dan wanita kita tergoda dengan lelaki dan jejaka dari luar. Dulu heboh mengenai gadis dan wanita kita – termasuk janda dan isteri orang – dipujuk, dirayu dan akhirnya dilarikan oleh lelaki Lombok...

0 Komentar untuk " Istilah ‘Abang Bangla’ lebih manja... "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ