Kuasa menuntut kebijaksanaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kuasa menuntut kebijaksanaan

MUNGKIN filem Ali Baba Bujang Lapok yang dibuat oleh P Ramlee dalam tahun 1959 merupakan satu-satunya filem Melayu yang sangat halus dan berkesan sinismenya. Pihak-pihak penting pada zaman itu ialah media dan wartawan; pemegang-pemegang kuasa politik; polis; askar dan mahkamah.

Bila Aziz Satar (reporter) dijumpai di atas pokok, mengendap, beliau mengaku bahawa beliau seorang wartawan. Apabila S. Shamsudin (Kassim Baba) terperangkap dalam gua, ketua penyamun (P Ramlee) bukan saja bertindak sebagai ketua kerajaan, malah sebagai ketua pendakwa juga. Hakim dimomokkan: diminta jatuhkan hukuman bersalah untuk mewajarkan leher Kassim dipancung.

Pantasnya hukuman itu dijatuhkan sehinggakan ketua kerajaan sendiri terkejut besar! Seluruh penyamun seramai 40 orang secara kolektif bertindak sebagai polis dan tentera. Ia boleh membuat apa saja. Menyamun dan menipu.

Hartawan yang hendak lari dari membayar hutang dan cukai pendapatan meminta pertolongan ‘polis’ dan ‘tentera’ itu. Sesuai dengan resmi penyamun, mereka bukan menolong tetapi ‘mengebaskan’ segala kekayaan sehingga pihak peminta pertolongan menjadi ‘papa kedana’.

Terselit dalam segala itu semua ialah kehadiran atau ketiadaan kebijaksanaan penggunaan kuasa. Seperti yang selalu diungkapkan zaman berzaman, kuasa itu ibarat pisau: ia boleh memotong lauk-pauk, dan boleh membunuh.

Pisau ini boleh berfungsi sebaik dan sepatutnya apabila ia berada dalam tangan seorang yang bijak. Kini, keadaan negara laksana sudah terang lagi bersuluh, iaitu dalam keadaan yang rumit. Media utama tidak berdaya mengelakkan diri dari memperkatakan sesuatu yang boleh menyentuh pihak-pihak berkuasa meskipun dengan menggunakan bahasa yang tertib.

Media internet tidak silu mengecam, termasuk mengutip maklumat dari sumber-sumber di luar negara.

Dalam era letusan maklumat kini, Raja-Raja terdorong sama dalam kancah negara dan rakyat. Tidak berapa lama dulu, mereka meminta agar soal 1MDB dijadikan sesuatu yang telus dan jelas, justeru jalan penyelesaian sewajarnya harus didapati.

Kini mereka melahirkan rasa kecaknaan terhadap Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah diluluskan pada akhir tahun lepas. Ia mencerminkan satu rasa ‘tidak sedap’ dalam kalangan Raja-Raja selaku payung rakyat terhadap kemungkinan akta itu disalahgunakan.

Di mana letaknya kuasa Yang di-Pertuan Agong tidaklah begitu jelas. Secara perbandingan, Majlis Tindakan Negara (MTN) pada zaman Tun Razak dulu memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum perisytiharan MTN itu.

Walaupun mungkin tidak berlaku, akta MKN ini membolehkan perdana menteri mengisytiharkan darurat di satu-satu tempat tertentu, atau cantuman tempat-tempat itu sekali gus seluruh negara.

Inilah yang dilakukan oleh Jeneral Gerald Templar sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaya dari 1952 hingga 1954 melawan komunis. Kawasan-kawasan kemelut pengganas komunis dipanggil kawasan hitam yang bertabur seluruh negara. Dalam kawasan hitam, makanan dicatu dan pergerakan dikawal ketat. Kuasanya amat besar, sehingga boleh menjadikan 2.6 juta orang sebagai rakyat, kononnya, untuk mengambil hati agar mereka tidak menyokong komunis.

Jumlah penduduk Malaya waktu itu adalah l.k. 4 juta. Di Filipina, mendiang Presiden Marcos menggunakan kuasa darurat untuk menangguhkan pilihan raya demi melanjutkan kuasanya sebelum penggalnya tamat pada 1973. Akibatnya amat tragis sekali.  

Ini membawa kita kepada sekitar tahun 1969 apabila rusuhan ras berlaku selepas pilihan raya tahun itu. Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri menjadi Pengarah MTN. Fungsi beliau di jawatan itu amat berkesan sekali. Namun pihak kuasa barat meragui apa yang berlaku. Sebuah buku bertajuk The Death of Democracy in Malaysia menjadi tumpuan dalam dan luar negara.

Justeru sebagai seorang demokrat yang bertugas bersama Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, juga seorang demokrat besar, Tun Razak menunjukkan kepekaan, lalu memulakan langkah mengembalikan kepercayaan dunia. Dalam masa yang singkat saja, pilihan raya (satu institusi penting demokrasi) diadakan semula pada 1974.

Segala anggapan bahawa beliau akan menjadi diktator selepas demokrasi dibunuh tidak menjadi kenyataan.

Secara perbandingan, di samping banyak pihak politik yang begitu lantang bersuara, Raja-Raja kini terasa ada sesuatu yang patut mereka suarakan terhadap kemungkinan wujudnya MTN dengan baju baharu. Dengan kata-kata lain, rasa ‘tidak sedap’ mencerminkan keprihatinan rakyat jelata di bawah payungan baginda semua.          

0 Komentar untuk " Kuasa menuntut kebijaksanaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ