Sudah tahu bertanya pula - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sudah tahu bertanya pula

HARI ini saya ingin berkongsi tentang budaya berbahasa khususnya amalan bertegur sapa dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Masyarakat kita memang ringan mulut untuk menyapa dan menegur seseorang yang ditemui, khususnya mereka yang telah dikenali. Amalan ini amatlah baik demi mengeratkan silaturahim dan kemesraan dalam perhubungan.

Tambahan pula, dalam kehidupan masyarakat yang sentiasa sibuk mengejar masa, budaya bertegur sapa ketika bertemu tentu sedikit sebanyak dapat mengisi lompang-lompang ikatan yang semakin merenggang mutakhir ini.

Namun dalam keghairahan tersebut, masih ada beberapa kekurangan yang boleh kita bincang agar budaya kesantunan itu lebih segar dan berkesan baik, dari segi pergaulan, juga dari aspek ketajaman fikiran.

Bukanlah niat saya untuk merendah-rendahkan amalan mulia yang telah diwarisi sejak generasi datuk nenek kita dahulu. Sesuai dengan peredaran masa, sesuatu perkara itu sewajarnya ditambah baik. Cuba kita kaji beberapa situasi amalan bertegur sapa yang sering terjadi dalam masyarakat kita selama ini.

Misalnya, “Hai Pak Mat, buat apa tu?” Ketika teguran itu dibuat, Pak Mat sedang menyabit rumput di halaman rumah. Manakala teguran kedua pula, “Hai Pak Mat, sabit rumput ke?” Padahal Pak Mat memang sedang menyabit rumput.

Ada juga berlaku ketika seseorang sedang menoreh getah, kita menegurnya “Hai Pak Tam, menoreh ke?” Jika kita membuat analisis mengenai perbualan tersebut, nampak sangat bahawa masyarakat kita kekurangan ketajaman pemikiran.

Proses penjanaan minda, budaya pemikiran kritis dan analitis begitu jauh. Jadi, tidak hairanlah mengapa sesetengah golongan masyarakat kita lemah dalam menilai sesuatu, sukar menerima sesuatu yang baru dan terlalu jumud terhadap sesuatu yang dipercayainya.

Kembali kepada situasi teguran di atas tadi, mengapa tidak berlaku teguran sebegini,  “Hai Pak Mat, rajin nampak menyabit rumput, nak adakan majlis apa-apa ke?”,  atau “Hai Pak Mat, rajin nampak menyabit rumput, biasanya Mak Timah yang buat, dia tak ada ke?”  Kedua-dua teguran itu menampakkan penggunaan pemikiran semasa bertegur sapa.

Hal ini bermakna, kita bertanya sesuatu yang sememangnya tidak diketahui. Minda kita dan orang yang ditegur tentunya beroperasi, maklumat baru pun kita dapat. Tidaklah hanya bercakap kosong, kata orang sambil menyelam sambil minum air.

Cuba bayangkan jika Pak Mat atau Pak Tam tidak mahu menjawab teguran kita seperti di atas tadi. Jangan marah, kerana kita bertanya apa yang telah kita tahu. Lebih parah lagi kalaulah Pak Mat atau Pak Tam hanya menjawab, “Hai, takkan kamu tak nampak aku sedang buat apa ni”. Baik-baik niat kita hendak bertegur sapa, lain pula jadinya.

Apabila kita kaitkan budaya berbahasa dengan matlamat membina sebuah negara maju, tentu sahaja peranan bahasa dan komunikasi tidak boleh dielakkan. Peranan bahasa amat penting kerana proses berbahasa itu ialah manifestasi daripada proses penjanaan minda dan ketajaman akal budi seseorang.

Jadi, amalan dan adab berbahasa itu mestilah berteraskan pemikiran yang tajam, kritis, kreatif, inovatif dan berkesan. Oleh sebab itulah sistem pendidikan kita pun telah bergerak ke arah melahirkan generasi minda kelas pertama, umpamanya melalui program KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) yang menjadi teras dalam setiap subjek melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Kelak nantinya negara kita mampu memiliki generasi berfikiran tinggi dan berdaya saing hingga ke paras antarabangsa. Inilah aset utama untuk menjayakan matlamat negara maju.

Natijah daripada perkongsian tadi menunjukkan bahawa masyarakat kita sememangnya mempunyai adab dan budaya berbahasa, khususnya amalan bertegur sapa yang baik dan tinggi nilai moralnya. Namun, jika ditambah baik dengan kemahiran berfikiran kritis dan tajam, tentu sahaja bahasa kita menjadi lebih perkasa dan dikagumi ramai.

Kalau dulu kita berbangga dengan peribahasa ‘sediakan payung sebelum hujan’, alangkah elok jika kita amalkan slogan ‘sediakan payung yang baik sebelum hujan’,  kerana jikalau payung yang kita miliki itu buruk atau koyak, belum tentu kita tidak basah bila berhujan. Bahasa menggambarkan keperibadian bangsa. Bahasa yang hebat bangsanya perkasa.

0 Komentar untuk " Sudah tahu bertanya pula "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ