Perintis teknologi pencetak 3D - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perintis teknologi pencetak 3D

TEKNOLOGI sentiasa berubah selari dengan perubahan zaman, begitu juga dengan industri pencetak.

Tidak lagi terkurung dengan teknologi cetak lama, inovasi baharu menampilkan pencetak 3 Dimensi (3D).

Mesin cetak 3D itu menghasilkan objek mengikut rekaan industri atau individu tersebut.

Pemilik syarikat 3D Kreatif Media, Muhammad Azlan Jismani, 26, bersama rakan kongsinya Hilli Fahmi Md Asri berani berubah sering dengan perkembangan teknologi.

Bermula dengan percetakan kad, mereka memberanikan diri dengan menerokai bidang baharu dunia pencetak.

Bagi Muhammad Azlan, perniagaan bermula Jun lalu tercetus kerana berhadapan   kesukaran mencetak model 3D bagi projek kelasnya.

“Pelajar Seni Reka wajib menghasilkan model 3D bagi tugasan kumpulan atau individu.

“Ketika belajar di sebuah pusat pengajian swasta tempatan, pihak kolej menyediakan mesin ini kepada pelajar.

“Tetapi kerja pelajar sering tergendala sekiranya mesin cetak meragam atau rosak,” katanya.

Walaupun mesin tersebut bernilai jutaan ringgit, namun kerja pelajar tergendala sekiranya ia rosak atau terputus bekalan elektrik.

Menurut graduan Sarjana Muda Rekaan Industri dari Universiti of Newcastle Australia, penggunaan mesin tersebut menjadi keperluan setiap pelajar seni reka.

Siap dalam masa 30 jam

Menarik mengenai mesin tersebut, ia mampu mencetak model otak manusia dewasa sebenar namun mengambil masa 30 jam untuk disiapkan.

“Ia merupakan cabaran terbesar saya untuk menyiapkan model otak ini.

“Bayangkan sebelah otak mengambil masa 15 jam dan terpaksa bermalam di pejabat demi memantau proses pencetakan,” katanya.

Sekiranya proses tersebut berhenti separuh jalan, dia terpaksa bermula dari kosong semula.

Model rekaan 3D ditawarkan dalam pelbagai warna termasuk emas dan perak.

Manakala harga setiap model pula bergantung kepada saiz dan berat iaitu RM1.50 satu gram.

“Setakat ini, saya mempunyai lima buah mesin dalam lingkungan harga RM4,000 hingga RM10,000 jenama dari Amerika Syarikat.

“Rekaan paling menarik dan pelik pernah diterima adalah berus gigi tempahan daripada pelajar seni reka,” katanya.

Tempahan model diterima pula mengikut kehendak pelanggannya seperti logo syarikat, arca, perabot dan sebagainya.

“Setiap model menggunakan plastik acrylonitrile butadiene styrene (ABS) dan polylactic acid (PLA) turut digunakan dalam industri automotif.

“Kelebihan plastik ini adalah tahan suhu panas, lasak dan ringan berbanding plastik biasa,” katanya.

Proses dengan rekaan grafik kemudian ditukar kepada model 3D menggunakan software Auto CAD,  Catia, 3D Max dan sebagainya.

“Fail ditukar kepada standard triangle language (STL) dan software menukar rekaan kepada model 3D,” katanya.

Saiz yang dihasilkan mesin cetak 3D pula senipis kad (0.1 milimeter) sehingga ketebalan kamera DSLR.

Sedia buka kelas

Selain menawarkan perkhidmatan pencetak 3D, syarikat itu turut membekalkan mesin tersebut kepada pusat pengajian tinggi.

“Kami juga antara pengedar utama di Malaysia kerana tidak banyak syarikat menjual mesin ini.

“Selepas tujuh bulan beroperasi, kami berjaya menjual 10 buah mesin ini dengan saiz lebih kecil berbanding industri,” katanya.

Bahkan dia turut menerima tempahan mesin daripada Sarawak selain Semenanjung Malaysia.

“Bukan sahaja menjual mesin ini, saya turut menyediakan khidmat kesedaran kepada masyarakat mengenai mesin ini.

“Saya ingin mewujudkan kelas bagi pendedahan kepada remaja dan kanak-kanak supaya terokai dalam bidang rekaan 3D dan pencetakan,” katanya.

0 Komentar untuk " Perintis teknologi pencetak 3D "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ