Bertemu dan berpisah kerana ALLAH - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bertemu dan berpisah kerana ALLAH

SAYA tidak dapat menahan sebak membaca coretan beberapa rakan lama yang saya ziarah minggu lepas bersama sekumpulan sahabat. Semua mereka yang kami ziarah meluahkan perasaan terharu dengan lawatan itu melalui ucapan ringkas, yang kemudian diikuti dengan mesej melalui telefon.

Seorang daripada sahabat yang kami temui melalui Kembara Selatan meliputi tiga negeri - Negeri Sembilan, Melaka dan Johor - itu menghantar mesej begini:

“Terima kasih atas lawatan rakan-rakan semua. Ia meninggalkan banyak kenangan. Perjumpaan penuh kasih sayang, lillahi taala. Bukan antara dua insan, tapi antara sembilan sahabat yang terpisah selama 30 tahun.

Kemesraan yang tak terjangkau imaginasi sebelum ini. Begitu indah, tak dapat dibayangkan. Masya-ALLAH, Subhanallah, Alhamdulillah.

Ribuan terima kasih kerana rakan-rakan sudi masukkan diri saya ini dalam senarai sahabat-sahabat yang anda ziarah. Semoga ALLAH curahkan seluas-luas rahmatNya kepada kita semua. Semoga ALLAH kumpulkan kita berserta keluarga di syurga nanti. Aamiin. Insya-ALLAH.”

Sahabat saya itu berhenti kerja dan balik ke selatan sekitar 1983 untuk berniaga. Dia rakan serumah saya, seorang yang suka berseloroh, sedia membantu dan menjaga kepentingan rakan-rakan.

Tapi dalam menegakkan prinsip, sahabat saya itu tidak pernah mengaku kalah. Kalau anda jenis yang cakap besar dan berlagak, anda lebih baik jarakkan diri daripadanya. Dengan badannya yang tegap dan ketegasannya itu, saya kira dia akan lebih berjaya dan terkenal kalau dia jadikan tinju sebagai kerjaya. Wallahualam!

Sebenarnya jelajah yang kami lakukan itu berputik daripada majlis perjumpaan semula pada 2 Ogos lalu dihadiri oleh 160 rakan yang pernah bertugas di Jabatan Keselamatan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sejak 1970.

Lawatan minggu lepas adalah yang kedua. Yang pertama adalah ke utara tiga bulan lalu. Tujuan kami membuat jelajah itu hanya satu, iaitu menemui rakan-rakan yang kami sudah tidak bertemu begitu lama, sesetengahnya 40 tahun atau lebih.

Niat kami adalah bertemu kerana ALLAH dan berpisah kerana ALLAH. Mudahmudahan usaha kami diredai ALLAH.

Pertemuan seperti itu sebenarnya menimbulkan kesedaran. Dahulu semuanya muda-muda belaka, rambut hitam, kulit tegang, sihat dan pergerakan cergas.

Setelah 40 tahun berlalu, anda sedari bahawa semuanya berubah, kulit sudah kendur, mata semakin kabur dan satu demi satu gigi mulai goyang dan gugur!

Tetapi itulah hakikat hidup; yang muda menjadi tua, yang sihat menjadi lemah dan jatuh sakit dan yang hidup akan mati.

Ramai dalam kalangan kami - yang menziarahi dan diziarahi - mengalirkan air mata ketika bertemu rakan-rakan lama yang kebanyakan sudah berubah; jauh berbeza daripada yang kami kenali empat dekad yang lalu ketika sama-sama bekerja dan berjiran.

Seperti biasa, wajah, kesihatan, pergerakan dan susuk badan sudah jauh berubah, walaupun antara satu sama lain terus cuba meluahkan kata-kata manis untuk menyedapkan hati kawan-kawan dengan mengatakan anda seolah-olah masih cergas dan tampan seperti 30 atau 40 tahun lalu.

Masakan boleh sama ketika anda berusia 20 tahun dan apabila anda sudah memasuki zon umur bonus. Ia hanya sebuah impian.

Saya difahamkan, daripada lebih 300 orang kawan yang berkhidmat di Jabatan Keselamatan LPK sejak 1970, lebih 50 orang sudah kembali ke rahmatullah, setengahnya sebelum umur persaraan lagi. Moga ALLAH cucuri rahmat dan kumpulkan mereka bersama hamba-Nya yang solih. Aamiin!

Maka, lawatan seperti itu pasti memberi kesedaran juga tentang hakikat bahawa setinggi mana pencapaian anda di dunia, tiadalah yang akan mampu menongkat langit.

Suka atau tidak, bersedia atau tidak, anda mesti menemuiNya. Mati itu satu kepastian. Saya selalu ingatkan diri sendiri, bahawa saya tidak berkecuali. Tiba masanya, saya pun akan pergi menemuiNya. Apakah amalan yang mampu saya bawa untuk saya bentangkan di hadapan ALLAH?

0 Komentar untuk " Bertemu dan berpisah kerana ALLAH "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ