Masa silam yang melaknatkan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Masa silam yang melaknatkan

MENDIANG Presiden Marcos di Filipina dipilih dalam tahun 1965 dan, setelah melalui sejarah gelap serta berdarah, meninggal dalam usia 72 di Honolulu, Hawaii. Sejarah yang digubahnya itu sesuai dengan kata-kata hikmat yang berbunyi: "Sesiapa yang lupa sejarah dilaknati mengulanginya."

Kata-kata hikmat itu datangnya daripada mulut Jorge atau George Santayana berketurunan Sepanyol, ahli falsafah dan sejarawan besar. Beliau meninggal pada 1952 dalam usia 89.

Dulu University Oxford dan Cambridge di England banyak melahirkan siswazah dalam disiplin sejarah dan klasik (pengajian zaman bahari) dan siswazah-siswazah itu dihantar ke tanah-tanah jajahan, termasuk India, Malaya, Australia dan negara-negara Afrika, di mana mereka mentadbir dan mengembangkan empayar British.

Disiplin ini bukan berbentuk vocation (ketukangan) tetapi lebih memberi tekanan kepada cara berfikir yang logik. Oleh itu jika diminta jangan melupakan dan mengulangi sejarah, ia bererti jangan mengetepikan buruk-baik apa yang sudah kita lihat berlaku. Sebahagian besar kejadian penting dalam dunia berlaku hasil daripada kemampuan kita mengelakkan diri dari keburukan dan malapetaka.

Sejarah naik dan turun Marcos adalah sejarah baharu, hanya berlaku kira-kira 30 tahun dulu. Pengajaran dari sejarahnya harus dielak. Jika tidak, akibat dan rentetannya menelan kos yang banyak, justeru anak cucu akan menanggung bayaran balik yang lama, seperti dialami rakyat Filipina hingga kini.

Beliau dipilih sebagai Presiden pada 1965 dalam usia 48 setelah menewaskan penjawat, Diosdado Macapagal. Keangkuhan memegang kuasa membawakannya banyak kesilapan jenayah, dalam bentuk kewangan dan kezaliman. Disebabkan amat takut menghadapi tamat tempoh sebagai presiden pada 1973, beliau mengisytiharkan darurat di bawah undang-undang tentera, lalu terus berkuasa sebagai diktator. Musuh ketatnya, Benigno Aquino, bapa Presiden Filipina kini, dibunuh ketika pulang dari buangan.

Sejak itu Filipina sentiasa bergelora. Apabila menghadapi kehampaan yang amat sangat, rakyat keluar melimpah-ruah di jalan-jalan raya dan tempat-tempat lapang membentak dan memaki hamun dalam keadaan anarki yang tidak terkawal, mendesak Marcos dan konco-konconya melepaskan kuasa. Akibatnya AS sebagai rakan rapat Marcos mengaku tidak boleh membuat apa-apa, lalu menasihatkan Marcos dan suku-sakatnya meninggalkan Filipina dan berpindah ke Hawaii.

Perlu diingatkan bahawa cetusan terakhir sebelum ‘kuasa rakyat’ (people’s power) meletus, terdapat pilihan raya umum untuk jawatan Presiden pada tahun 1986. Corazon Aquino, emak Presiden kini, telah menang tetapi Marcos menafikannya dan isytiharkan dirinya pemenang. Setelah Marcos dalam buangan, Corazan ditabalkan Presiden.

Walaupun berkuasa sehingga habis penggal, Corazon tidak dapat elak daripada menghadapi cabaran keadaan baharu yang diakibatkan oleh pemindahan kuasa yang berlaku dalam keadaan sengit dan berdarah. Sikap sinis dan tidak yakin rakyat kepada pemegang kuasa menular dan berleluasa. Rakyat sudah menjadi terlalu berani.

Undang-undang anti-rasuah menjadi lantang dan kerap digunakan terhadap pemegang kuasa untuk menjatuhkannya.  Joseph Estrada, bintang filem kacak dan popular yang menjadi Presiden dengan majoriti besar, terpaksa turun kerana serkupan undang-undang rasuah.

Jelas sekali kedegilan Marcos untuk melepaskan kuasa secara teratur dan baik menurut peruntukan undang-undang telah membawa padah berat kepada rakyat dan negara. Pada hakikatnya kedegilan itu menjadi satu kegilaan di luar kewarasan minda sehingga sanggup membuat apa saja agar beliau terselamat dari menghadapi perbicaraan dan penghakiman. Beliau amat takut menghadapi prospek meringkuk seumur hidup di penjara atau ke tali gantung.

Pepatah Melayu berkata: jangan nasi menjadi bubur. Moralnya: sebelum memasak nasi, kita mesti teliti dulu; jangan terlebih air, jangan api terlalu semarak; jangan lupa nasi sedang ditanak.

Mayat Marcos yang diperlalaikan di Manila seolah-olah diterapkan dengan epita yang berbunyi: Di sini bersemadi seorang anak watan yang cemerlang yang mendaki dari lembah sehingga ke puncak kuasa nusa kesayangannya dan, apabila lupa diri serta melakukan salah guna kuasa yang menghancurkan keyakinan rakyat, tergelincir dan terlorot semula ke dalam lembah… yang hina.  Itulah sejarah yang patut kita hindarkan daripada melaknati kita.

0 Komentar untuk " Masa silam yang melaknatkan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ