Ditutup, tetapi masih terbuka - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ditutup, tetapi masih terbuka

*DATUK Seri Najib Razak disahkan bersih. Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memutuskan Perdana Menteri tidak melakukan kesalahan jenayah berhubung wang sumbangan berjumlah RM2.6 bilion.

“Tidak ada bukti mencukupi untuk mendakwa Perdana Menteri,” kata Apandi, dan meminta fail siasatan mengenai derma ikhlas dari Arab Saudi itu ditutup.

Tutup fail, tutup kes. Keputusan telah dibuat, kegelisahan dan keraguan pun sudah selesai, maka semua hendaklah tumpukan pada banyak lagi benda lain untuk negara. Sepatutnya begitulah...

*TETAPI, apakah betul semua sudah ditutup rapat? Bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kes yang sekian lama penuh kontroversi dan seribu satu misteri itu masih belum ditutup.

Walaupun Apandi meminta fail ditutup, SPRM menegaskan akan merujuk kes derma Pak Arab dan SRC International itu kepada Panel Penilaian Operasi (PPO).

“Tindakan merujuk kes Perdana Menteri kepada panel ini adalah satu proses biasa dan tidak sepatutnya ditafsir sebagai menolak apa yang diputuskan Peguam Negara,” kata suruhanjaya tersebut dalam satu kenyataan media.

*MAKA berkatalah Apandi mengenai kenyataan SPRM itu, seperti yang disiarkan media: “Mana-mana badan yang dibentuk untuk mempersoalkan keputusan peguam negara adalah bertentangan dengan Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.”

Menerusi teks pesanan (SMS) dari luar negara beliau menegaskan, Artikel 145 memberikan peguam negara, yang juga pendakwa raya, budi bicara sepenuhnya untuk memulakan, meneruskan atau menghentikan mana-mana prosiding jenayah terhadap individu tertuduh.

*ALKISAH, lain pula pandangan bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman. Kata beliau dalam satu interviu: Peguam Negara tidak ada bidang kuasa untuk mengarahkan SPRM menutup siasatan mengenai RM2.6 bilion.

Katanya: “Mengikut Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, peguam negara hanya ada kuasa untuk memula, menjalankan dan menghentikan sebarang prosiding (jenayah), tetapi tidak ada bidang kuasa mengarahkan sebarang agensi siasatan menutup kertas siasatannya.”

Katanya lagi: “Kes ini membabitkan kepentingan awam yang menarik perhatian seluruh dunia, peguam negara mesti bantu SPRM kumpul bukti kerana sumber wang itu datang dari luar Malaysia.”

Pulak!

*SAMA ada SPRM, Apandi dan Abu Talib semuanya mahir undang-undang. Masing-masing berhujah atas akta yang ada. Mereka tentu lebih arif mentafsir dan menghurai benda-benda yang ada kaitan dengan undang-undang.

Dalam pada itu umum yang tidak pandai undang-undang, termasuk ahli politik, akademia, orang agama, hatta peniaga teh tarik pun, terus bercakap mengenai perkara sama.

Masing-masing ada teori, masing-masing ada persepsi. Pendek kata walaupun Peguam Negara arahkan fail dan kes ditutup, mata, hati, minda dan mulut rakyat masih terbuka.

Soksek-soksek tidak berhenti, malah baru bermula satu episod baharu.

*BANYAK yang baik dalam pengubahsuaian Bajet 2016 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Khamis lalu. Dalam kemelut ekonomi sekarang, pengumuman Putrajaya itu memberi sedikit kelegaan.

Tetapi, ada juga yang tidak berapa sedap. Kata PM, pelancong dari China tidak perlu mendapatkan visa untuk melawat Malaysia, mulai 1 Mac hingga 31 Disember tahun ini.

Seperti yang dilaporkan, pengecualian visa untuk pelancong China itu akan tertakluk kepada syarat tertentu bagi tempoh kunjungan tidak melebihi 15 hari. Harap-harap syarat tersebut betul-betul dipatuhi, dan dikuatkuasakan.

Belum lama dulu pelancong dari beberapa buah negara – termasuk China – yang diberikan kemudahan VOA – pengeluaran visa semasa mendarat – telah menimbulkan masalah.

Berpuluh ribu pelancong menggunakan kemudahan tersebut untuk masuk ke negara ini, tetapi tidak keluar-keluar apabila tamat tempoh visa. Banyak juga yang menggunakan visa pelancong tetapi menjadi pelacur di sini.

Memang, kita hendak menarik pelancong luar untuk menambahkan laba pertukaran asing. Tetapi janganlah biarkan laluan terlalu mudah, takut-takut mereka akhirnya akan menyusahkan kita.

*AKHIR kalam, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) diluluskan. Syabas kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed @ Tok Pa yang bekerja keras sehingga Parlimen meluluskan perkara ini.

Sepatah kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu di lobi Parlimen sebaik TPP diluluskan: “Ini merupakan cabaran paling besar dalam hidup saya dalam karier saya sebagai menteri, tak pernah saya terlibat dalam sesuatu yang begini rumit.”

Cabaran Tok Pa sudah berakhir. Cabaran rakyat mengenai TPP akan bermula. Sama-sama kita doakan yang terbaik.

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Ditutup, tetapi masih terbuka "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ