Kempen Trump burukkan Islam khianati identiti AS - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kempen Trump burukkan Islam khianati identiti AS

CALON presiden Parti Republikan Donald Trump dalam kempennya untuk jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) membawa mesej yang salah kepada rakyat AS mahupun dunia mengenai Islam dan penganutnya. Trump dalam kempennya secara berterusan mengeluarkan kenyataan berbaur anti-Islam termasuk mengaitkan agama itu dengan kegiatan militan. Malah, sikap Trump itu dianggap Presiden Barack Obama sebagai sesuatu yang mengkhianati identiti AS.

Obama yang akan tamat tempoh perkhidmatannya tahun depan secara terbuka membidas calon presiden Republikan itu kerana menganggap calon Presiden Republikan itu menghina penduduk Muslim AS dan sikap ini akan meletakkan AS dalam keadaan tidak selamat. Dalam satu acara kempennya di Carolina Selatan, Trump mengarah anggota polis menghalau seorang wanita Islam bertudung, Rose Hamid dari dewan di Universiti Winthrop kerana wanita itu berdiri sebagai tanda protes senyap atas sikap Trump menuduh pelarian Syria bergabung dengan kumpulan militan IS. Penyokong Trump yang fanatik bertepuk sorak ketika wanita itu dibawa keluar dari dewan sambil seorang penyokong hartawan itu mendakwa wanita terbabit membawa bom.

Perasaan anti-Islam 

Trump, ahli perniagaan terkemuka itu juga mencadangkan supaya umat Islam dilarang masuk ke AS yang menyemarakkan perasaan anti-Islam dan penduduk Muslim di AS. Kenyataannya bahawa AS harus melarang kedatangan kaum Muslim ke AS atas alasan kononnya kaum imigran Muslim boleh bawa keganasan di negara itu adalah sesuatu yang sangat prejudis.

Padahal, jika diamati lebih rapat terhadap rekod keganasan di AS, jumlah jenayah keganasan yang dilakukan oleh warga AS sendiri begitu serius sekali sehingga mendorong Obama membuat kenyataan bahawa bangsa Amerika sedang hadapi saat menakutkan yang muncul daripada bangsanya sendiri. Trump sepatutnya menghormati orang lain, mempromosi interaksi toleransi dan meluaskan dialog peradaban atau dialog agama. Beliau sepatutnya sedar bahawa kefanatikan berlaku di mana-mana termasuk dalam kalangan rakyat AS sendiri.

Cintakan kedamaian 

Ia berlaku di setiap penjuru dunia dalam semua agama yang diselewengkan oleh pengikutnya yang berkepentingan atau mempunyai agenda tertentu. Namun, majoriti penduduk dunia cintakan kedamaian dan kesederhanaan. Trump terperangkap dengan ego dan kesombongan dirinya sendiri. Sikap lantangnya yang terus menerus bongkak menghina umat Islam menerima kecaman dari sebahagian besar masyarakat di seluruh dunia, terutamanya dari masyarakat Islam.

Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Islam-Amerika (Cair), Nihad Awad meminta Trump bertemu dengan pemimpin Islam di AS untuk meredakan situasi berikutan beberapa kenyataannya yang telah menyemarakkan lagi sikap rasisme dan kebencian terhadap penduduk Muslim di negara itu. Setakat ini Trump masih kekal dengan sikap bongkaknya itu. Kesimpulannya, sejak Trump berkempen untuk menjadi calon presiden AS dari Parti Republikan, suasana ketakutan dan kebencian orang bukan Islam terhadap Muslim di AS mula meningkat.

Mesej salah yang disampaikan oleh Trump mengenai Islam dan penganutnya boleh mencipta jurang pemisah baharu antara penduduk Muslim dan bukan Muslim di AS yang akhirnya akan mengakibatkan perpecahan dan pertumpahan darah. Oleh itu, jika Trump dipilih menjadi Presiden AS dan beliau terus kekal dengan sikapnya yang memusuhi Islam secara terang-terangan, maka kita bimbang ia akan menyemarakkan semangat anti-Islam dan Islamofobia di Eropah, padahal majoriti umat Islam di rantau berkenaan bersikap moderat dan anti keganasan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/117446
0 Komentar untuk " Kempen Trump burukkan Islam khianati identiti AS "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ